Nuffnangx

Wednesday, 27 July 2011

Belaian Jiwa

Sebenarnya hidup aku ni komplikated. Banyak hati nak kena jaga. Hati sendiri selalunya tak penting. Rupa-rupanya salah macam tu. Aku terlupa konsep ihsan tu juga terhadap diri sendiri. Ayat-ayat al-Qur'an banyak sentuh pasal orang2 yang membuat kebajikan (al-muhsinin) dan orang2 yang bertaqwa (al-Muttaqin). Biasanya aku sibuk interpret al-muhsinin dan al-muttaqin untuk orang2 sekeliling aje. Tak pernah sekalipun aku teringat kat diri sendiri. Padahal, seperti juga konsep nafkah dalam Islam yang merangkumi peruntukan kepada diri sendiri, sama gak keadaannya dengan ihsan. Sehinggalah aku start baca buku "Self-Compassion', sebuah master-piece karya Dr. Kristen Neff, yang dibesarkan dengan fahaman Buddhism.

Tiba-tiba semua intipati, teori dan pesanan-pesanan rohani yang aku dapat daripada buku-buku motivasi, baik oleh ilmuan Islam mahupun pakar ilmuan Barat, bersatu dalam diri. Aku terasa bagaikan berada dalam drama Korea pujaanku, Winter Sonata, dalam adegan Yu Jin melengkapkan sepotong jig-saw puzzle yang belum disiapkan oleh Jun Sang. Complete. Kira macam sekarang aku tau apa sebenarnya yang belum cukup. Aku perlu belajar mengasihi, mengasihani dan memaafkan diri sendiri, walau apapun kesengsaraan atau misfortune yang aku alami dalam hidup ni.

Aku tak patut nafikan apa yang aku rasa. Kalau aku terluka, aku kena ambik masa iktiraf kelukaan tu. Ambik masa untuk menangis dan meratapinya, kalau perlu. Ambik masa untuk menenangkan diri sendiri, hatta memeluk diri sendiri. Sebab perawat luka tu sebenarnya ada dalam diriku sendiri, tak perlu pergi ke hujung dunia mencari orang untuk merawatinya. Bukan macam yang selalu aku lakukan sepanjang hidup : langsung tak bagi peluang kepada diri sendiri untuk duduk dan meratapi kelukaanku. Aku akan terus berusaha mencari penyelesaian yang akan memanfaatkan orang sekeliling. Perasaan sendiri tak pernah aku utamakan.

Sekarang aku rasa lebih tenang. Aku tak terlampau terbeban dengan pandangan orang-orang sekeliling. Sebab aku belajar memahami keadaan mereka DAN dalam masa yang sama ambik masa memahami keadaan diriku pula. Kalaupun orang tersalah anggap terhadap diriku, mereka punya sebab tersendiri dan aku harus menghormatinya. Aku tak lagi kecik hati tak tentu pasal, tertanya2 kenapa orang tak paham aku. 

Macamana orang nak paham kalau aku sendiri pun tak pernah cuba memahami diri sendiri? Dan aku terima, itu semua bukan juga sebaliknya salah aku. Kalaupun seluruh dunia tak mau paham keadaan aku, sekurang2 nya aku kena la belajar memahaminya sendiri. Lagipun, aku kena ingat 1 perkara : kalau aku duduk dalam situasi yang bertentangan dengan kenyataan asal, maka tak salah kalau orang menghukum dengan pemerhatian mereka. Sebab pada pandangan mata kasar, memang begitu la keadaannya. Cuma aku sekarang paham, kalau aku tak boleh ubah keadaan tu sebab ada benda yang lebih besar aku  kena pelihara, maka aku kena berenti menghukum dan membebankan diri sendiri.

Tak bodoh aku sebab orang kata. Tak pandai aku sebab orang puji. Yang penting, aku perlu terus berusaha dan berusaha agar akhirnya janjiku pada arwah ayah akan dapat kutunaikan. Kalau dulu mungkin macam tak nampak peluang nak sambung belajar, tapi sekarang dah selesai satu tahap. Aku celik je mata fikir pasal nak selesaikan hutang lapuk yang dah jadi pusaka. Nak tidur itulah jugak yang terakhir aku fikir. Cuma sekarang aku tak lagi rasa terbeban dek self-critics yang menghukum, menyiat-nyiat tangkai hati. Kalaupun aku mati dulu, sebelum difaraidkan harta2 tinggalanku mana yang ada, akan ditolak hutang itu...

Malam tadi susah aku nak tidur fikirkan cara nak selesaikan masalah ni. Tak putus-putus aku baca Ayat 1000 Dinar, mohon Tuhan lorongkan jalan dan permudahkannya. Petang tadi aku dapat satu peluang yang memungkinkan itu terjadi. Aku dah mintak siap2 dah bahagian yang akan digunakan untuk melunaskan hutang lapuk tu. Cuma aku berdoa sungguh2 ia akan dipercepatkan oleh Allah swt. Sementara itu, akan tetap berusaha selagi daya. Tuhan tahu itu, aku percaya.


Aku kena cuba selalu belai jiwaku. Tak payah la sibuk-sibuk nak jadi lilin. Yang penting, aku kena tau, niat aku nak tarik rambut dari tepung akan diberikan kredit sewajarnya oleh Tuhan semesta alam. Apa-apapun, setiap dugaan akan pasti ada penyelesaiannya.







Monday, 25 July 2011

Bakat & Usaha Seiringan

Hari tu ada yang tanya aku, mana dapat idea tulis entry panjang-panjang? 
Aku tanya la balik, panjang ke entry aku? 
Sungguh kurang sopan soalan dijawab dengan soalan yang lain! 
Well, what to do...
 Dah memang sejak azali kot perangai kebanyakan manusia macam gitu.

Tapi aku jawab la balik, bukan tergantung kat situ je pon. 
Aku bagitau la dia, menulis ni bagi aku dah jadi rutin. 
kira macam tabiat yang aku dah terbiasa buat sejak kecik. 

Apa yang aku tak bagitau dia, 
masa sekolah rendah aku banyak kali menang pertandingan menulis cerpen peringkat kebangsaan. 
Tapi hadiahnya sungguh tak menarik ~ buku pasal Leftenan Adnan 
dan yang sewaktu dengannya. 

Ada sekali tu aku buat cerpen imaginasi, 
terbang dengan kunang-kunang jumpa arwah nenek. 
Owh! Kuat sungguh berimaginasi cikpuan Tak Pe Je rupanya! 
Cerpen tu aku menang peringkat kebangsaan, 
buatkan cikgu Bahasa Melayu aku, 
Cikgu Muhammad nama dia, kembang semangkuk-jeluk, kebanggaan. 
Tapi macam biasa la, aku tak teruja pon dengan hadiah buku yang aku dapat. 
Apasal la tak dapat duit? Selalu je hatiku bertanya. 
Mak ai, sungguh materialistik diri ini sejak kecik!

Aku bagitau lagi, menulis ni kira ganti kebolehan melukis la. 
Kalau la aku pandai melukis, lagi senang nak luahkan apa yang aku rasa. 
Tapi sebab tak pandai, maka kena la luahkan dengan cara yang aku pandai, 
iaitu menulis. 
Bila dah start menulis, perasaan tu keluar la ikut flow. 
Ada pasang-surutnya, ada lenggang-lenggoknya. 
Macam gak berjalan. 
Selagi kaki melangkah, tetap la namanya berjalan. 
Kalau berlari pun sama, macam tu la perjalanannya. 
Tak ada beza pon dengan menulis. 
Selagi dikembangkan isinya, 
maka akan bertambah la bait-bait kata yang diolah menjadi cerita.

Tak pun, macam ada bakat main alat muzik.
Kalau la aku pandai main piano, contohnya.
Masa jiwang, belai piano tu dengan lagu-lagu soundtrack Winter Sonata.
Masa panas, ketuk piano tu dengan lagu Beethoven.
Macam masa dia nak marah hilang pendengaran dulu.
Tapi sebab tak pandai, boleh duduk atas gitar macam kucing ni pun ok dah..
Kot tahan gitar tu, tak pecah.






Apa yang aku tak bagitau dia, 
bagi aku menulis ni tak ubah macam KISS. 
Kalau dah start, memang selalunya melarat-larat susah nak berenti. 
Oops! Tetiba sungguh 18 SX pulak kategori penerangan ini!
Ehem!






Lain la kalu macam air kopi kat atas tu, takde tangan.
Itu pun tengok la, macam susah je nak berenti?

Anyways, aku rasa may be aku mewarisi bakat penulisan arwah ayah.
It's in the blood, let's juz say.
Adik2 aku pon suka menulis, at least tulis diari.
Dah zaman sekarang ni ada blog, sibuk pulak tulis blog.


Sebenarnya menulis ni boleh dipelajari, bakat hanya satu bonus.
Yang berbakat pun kalau dibiarkan tak berasah, tak berkembang.
Semua orang boleh menulis, tinggal nak dengan tak nak aje.
Mulakan pelan-pelan, lama-lama laju la.
Yang penting, usaha.
Hendak 1000 daya, tak hendak 1 alasan pun dah cukup.


Begitulah adanya...














Wednesday, 20 July 2011

Bertemu Padamu?

Sejakku bertemu padamu
Fikiranku telah terharu
Hanya kekanda yang akan dapat
Mengobatkan hatiku rindu

Tu dia.. Catchy betul lagu Puan Sanisah Huri kita ni. 
Sejakku Bertemu Padamu tajuk nya.
Jap2 ini aku rasa nak tempah baju kebaya pendek pakai dgn kain kembang. 
Tak pon kain sendat, kena jalan kepit2 mcm Saloma. 
Jangan marah...  
Kalau ikut style cover album cik puan ni pon ok gak, retro gitu! 
Paling2 kena berambat dgn mak je suh pi tukar baju. 
Tak pon, kena jeling 360 darjah dengan tuan besar. 
Ampun...

Tapi, kan.. konpius kawan. 
Melopong kejap masa perasan lirik lagu nih bila dah tak berapa nak muda nih. 
Ada pulak bertemu padamu? Tepuk dahi la aku jadinya. 
Dah fikiran terharu pulak tuh! Adeh... 
Apa nak buat, masa tu DBP dah ada ke belum aku pon tak sure.
Lepas ni kena riki2 kat Google kejap.  
Tergaru2 gak kepala duk pikir pasal fikiran yang terharu. 
Bertemu pulak padamu, owh sungguh tragis..! 
Biru mata hitam cikgu Tatabahasa nak betulkan ayat tu, jangan main-main! 
Kata sendi nama dah jadi kata sendi lutut, weh.. 

Tak kisah la, at least maksudnya sampai. 
Dimaafkan la, sebab masa tu BM kan gaya klasik gitu. 
Lagipun, ejaan & gaya bahasa bukan macam sekarang. 
Tak masuk akal kalau zaman sekarang ada orang buat lirik macam gitu. 
Tapi hebatnya P. Ramlee bleh cipta lagu ni.  Tak lekang dek panas, tak lapuk dek hujan.
 Feel good song, pada hemat kawan. 
Tak sabar pulak nak bertemu padamu kanda, agar fikiranku jadi terharu...




Terbaik....
Bangga aku jadi peminat P. Ramlee.





Monday, 18 July 2011

Dari DUKE ke Germany

Soal hati memang susah nak dimengerti. Bagi yang tak mengalami, apatah lagi. Ibaratnya pegi diving dalam lautan hati pun tak semestinya boleh paham perasaan sendiri. Kira macam minum kopi kaw sebelum tidur la, gamaknya. Terkebil-kebil sampai pagi. Alih-alih, pejamkan la matamu ratnaku, cubalah senyum. Hehehe. 

Kata bijakpandai, tak kisah la apa yang dah terjadi zaman dulu-dulu, yang penting masa depan. Jangan sampai terbuai dengan kisah-kisah lalu, masa depan kita perjudikan. Kata bijaksini, kalau asyik kisahkan masa depan, macamana dengan masa sekarang? Abis tu macamana? Konpius kawan. Mungkin patut ambik jalan tengah, kot? Tengok mana yang baik untuk semua pihak, kita buat. Tapi, baik ke tidak untuk diri kita? Apa yang kita impikan tak penting ke? Penting ke impian kita tu pon? Eh, mesti la penting..!

Banyak yang kita rencanakan dalam hidup, kan? Banyak juga yang harus kita lupakan. Sebab, realiti tak selalunya seiring dengan fantasi. Itu la yang orang tua-tua selalu cakap: "Ikut Hati Mati. Ikut Rasa Binasa". Takpun, "Terlajak Perahu Boleh Diundur. Terlajak Kata Badan Binasa". Semua tu ada kaitan dengan realiti dan fantasi la tu, gamaknya. Depa kan cakap bukan main berlapik lagi, dalam benar maksudnya. Jenuh nak ekstrak isi-isi penting, kasi manfaat kita generasi pelapis. Tapi dah lumrahnya begitu, orang-orang lama lagi banyak pengalaman. Depa kan 'lebih dulu makan garam' daripada kita?

Perumpamaan, peribahasa, kata-kata hikmah semuanya datang dari pengamatan hidup. Zaman depa walaupun takde internet, takde fesbuk, takde skype, takde email, tapi sejarah peradaban manusia ni pi mai-pi mai duk tang tu jugak nye. Selagi ada masyarakat, interaksi kaum, peraturan asas baik dan buruk, sama aje kitarannya. Sekompleks dan semaju mana pun manusia, takkan lari jauh dari hati dan perasaan, dari realiti dan fantasi.

Agaknya amenda la motif entry aku hari ni, kan? Takpe la, aku pun tak reti nak explain. Saje nak dokumenkan apa yang terlintas di fikiran. Banyak sangat benda yang tak boleh nak explain pun dalam hidup ni, perasan tak? Agaknya sebab tu la banyak lagu tentang zahir tak terucap. Like, you say the best when you say nothing at all? Perhaps, darling. Perhaps, baby. Perhaps, perhaps, perhaps. 

Aku rasa, sebab tu la William Shakespeare bleh buat sajak dan skrip pementasan yang luarbiasa hebat.. Sebab, dia banyak menda yang tak bleh dizahirkan. Zaman dia tak menyebelahi apa yang ada dalam hatinya. Kalau dia hidup zaman sekarang, belum tentu impak karyanya semaksimum itu. Sebab dia dah sah2 boleh ikut apa yang dia rasa, buat apa yang dia hajatkan. 

Sama la dengan Mozart, Beethoven, Bach.. Depa bikin muzik yang meruntun jiwa, disebabkan tekanan dan desakan hidup. Sampai nak pecah la jantung dengar alunan muzik depa kalau tengah sedih. Kalau bawak keta pasang lagu 'Air' (udara tau, bukan air, heheh..) oleh J.S.Bach silap aribulan bleh sampai German la dari DUKE Highway! Nampak sangat menipu, ye dak? Serius la weh, aku ni minat muzik2 depa. Minat yang amat. Tapi biasa la, aku memang suka muzik pun. Susah gak sebenarnya jiwa macam aku nih. Baik jadi mak aku, suka Tarannum. Macam la tarannum tu bukan lagu. Heheh. Cuma ya la, itu hiburan Islamik. Eh, aku suka nasyid, apa? But then again, semer jenis muzik pon aku suka, lupa pulak. Kat sini ada aku letakkan link muzik peberet ku sepanjang masa, dari Johan Sebastian Bach, versi saxaphone punya. Yang violin punya pun best, tapi panjang la pulak, kot korang tak suka.

Dah meraban jadinya entry nih, destinasi tak dapat dikenalpasti. Kalau zaman belajar dulu, biasa la aku duk dalam LRT dari Masjid Jamek sampai ke Gombak, ke Kelana Jaya dan balik semula ke Gombak. Heheh. Tertidur sorang2 sambil pegang buku. Nasib baik la dipelihara Tuhan daripada apa2 yang tak diingini. Tapi tak la selalu jadi gitu, time blur sangat je, dekat2 nak exam ke, masa tengah frust bercinta ke... Hehehe.

Apa2 pun, seperti biasa, meh la kita jadi tuan kepada emosi sendiri. Itu la Etika Insan Cemerlang. Bukan takat nak gebang, bukan takat nak temberang. Kita pakat jadi terbilang lagi gemilang di dunia dan di akhirnya.

Moh ler kita...! 




Sunday, 17 July 2011

Garisan Penamat

Merdeka! Merdeka! Mahathir kaa? Hehehe... 

TQ, my stationeries...

Hari ni genaplah 3 semester aku berhempas dan berpulas sambil makan buah pulasan sambung belajar. Lama dah aku pospon niat sambung belajar nih. Dari anak umur 3 bulan sampai la dia 7 tujuh tahun. Dari yuran RM2k sampai la RM7k. Hari ni baru la selesai dengan jayanya.... Itu la namanya Diploma in Syariah Legal Practice (DSLP). Gamaknya  3 & 7 kena jadi nombor-nombor bertuah aku nih!  Dengar cerita tahun depan Pak Aji nak naikkan yuran DSLP jadi RM15k... Fuyyyo! Magik lagi Tragik nombor itu. Konpem 15 bukan nombor bertuah aku.

Terlaksana la salah satu janjiku kepada arwah ayah. Macamana la agaknya nak tunaikan janji belajar sampai dapat Doktor nih? Sampai je kat rumah tadi mak cakap udah2 la tu belajar, bukan nak jadi lecturer pon. Owh.. Belajar ni kalau nak jadi lecturer je rupanya, baru ku tau.... Abis aritu apasal la dia suruh aku jadi loyar? Ish, ish ish.. Mak tak paham isi hatiku, tak pe la. May be dia kesian tengok aku terkejar sana terkejar sini, semata-mata nak jadi bijaksana dan bijaksini. Macamana la nak tambah anak? Eh, relevan kaa? Lain kali kalau mak larang belajar lagi, aku kena kasi analogi dia suka sangat pi semayang kat masjid 5 kali sehari semalam. Bukan wajib pon panjat tangga masjid, redah hujan ribut segala. Tapi mak tetap usaha. Kenapa? Sebab mak suka, kan? Tak ada orang paksa pon.. Sama la dengan anakmu ini, bonda.. Chewah.

Cuma itu la, kan? Aku tak pernah harap menda ni semua senang, memang dah konpem susah. Dulu masa degree, buat full time. Bila dah keja, ada rumah-tangga segala, siapa pon tau akan jadi beban bab2 belajar ni. Menda yang susah, kalau ada kemahuan, mesti akan ada jalannya. Tuhan tu kan ada.. Dia Maha Penyayang Lagi Maha Pemurah. Masa yang Dia kasi sebenarnya cukup untuk semua tu, kena ada perancangan dan pelan tindakan yang berkesan la. Yang penting, usaha. Itukan namanya tangga kejayaan. Kenapa frasa yang digunakan tu tangga? Baik guna lif ataupun eskalator, cepat sket sampai. Sebabnya memang kena ada penat dan lelah, ada keja lebih kasi berpeluh sket. 

Apa-apa pun, syukur Alhamdulillah aku lepas jugak ke garisan penamat. Jalan aku ditakdirkan Allah lebih berliku daripada orang lain. Tapi takpe, aku ok je jadi arnab yang lembab. Akhirnya sampai jugak. Buat masa ni aku isytiharkan waktu beriddah daripada istilah sambung belajar. Nabi kita kan pernah pesan suruh umatnya menuntut ilmu hingga ke liang lahad? Jadi, takpe la aku rehat kejap.. Panjang umur, murah rezeki, belajar lagi.

Sementara tu, boleh la aku start baca 2 biji buku yang dah sebulan lebih aku beli kat MPH Mid Valley aritu. Duk pandang-pandang jeling-jeling je kelibat depa selama hari ni. Saje biarkan kat seat belakang keta kecikku. Ke mana-mana pun ikut aku, setia menemani. Kalau simpan karang sampai tahun depan belum tentu boleh baca! Owh... sungguh bahagia orang merdeka. Better jangan pegi window shopping, karang tak pasal-pasal ceria jadi gundah gulana pulak. Puasa dah tak lama, banyak nak guna duit, weh... Kempen berjimat-cermat la nih kononnya kat diri sendiri...

Sekian la dulu, ya..





Saturday, 16 July 2011

Blues Tandas Kita

Assalamu'alaikum & Selamat sejahtera. Auwh, formalnya blog ini...? Hari ni kita sentuh bab Bersuci pulak, ya tuan-tuan. Dah lama nak tulis pasal nih, tapi asyik tergendala je rencana. May be sebab dah lama tak masuk tandas awam dua tiga menjak nih. Cumanya dah lama sangat gambar2 yang relevan pasal entry nih terperap dlm henfon, maka tibalah saatnya utk teruskan jugak niat yang terpendam sekian lama...

Tandas kat Malaysia nih bagus. Tandas bermangkuk, ya puan-puan. Sebabnya, ada paip air. Ada gak yang tak de paip, kira sama style dgn oversea la. Especially kat tempat2 yang high end gitu, baik restoren maupun hotel, selalunya kena kreatif gunakan tisu je la.. Tapi mostly nya, memang ada paip. Tak kira la yang old school jenis paip tu ataupun yang modern jenis built in tu, janji ada.

Yang tu bagus. Yang tak bagusnya, orang2 kita ni dah terlebih kreatif. Terlebih agresif. Terlebih aktif. Terlebih akai. Sampai nak panjat mangkuk tu, kasi pengguna2 seterusnya berbahagia dgn tinggalan tapak kasut masing2. Dah tu memang sangat bermurah hati la, dengan senang hatinya tak usaha nak lap balik hitam gelap kelabu asap kesan tapak kasut yang bercampur dgn air paip. Terbaekk.. Bukan kita pun nak duduk atas mangkuk tu nanti. Nasib la, saper suruh duduk?

Orang guna tisu, kita guna tisu. Orang buang elok2 dalam tong sampah, kita elok2 buang merata luar tong sampah. Paling baik hatipun, kita buang dalam mangkuk tandas atapun sumbat dalam tong tuala wanita. Siap pampers budak pon kita sumbat gak dalam tuh. Padahal dah sah2 tempat tu tertulis penggunaan khususnya, yakni utk buang tuala wanita semata-mata. Tapi pedulik apa, kan? Bukan kita pon keja cuci tandas tu..



Arahan dah jelas. 

 

Buat tetap buat.

Dah terbiasa guna tandas old school yang bukan style mangkuk, selalunya orang akan pilih cara yang depa selesa, iaitu tandas cangkung, ya tuan-tuan. Pernah tak terbaca notis-notis rayuan yang ditampal kat tandas-tandas awam? Dalam bahasa kasarnya: "Hey, mangkuk! Kalau tak reti guna tandas mangkuk, sila gunakan tandas cangkung!" Tapi of course la notis-notis rayuan tu berbentuk memujuk rayu, bukan guna bahasa kasar cam gitu.. Meh kita upload contoh-contoh rayuan tersebut, ya puan-puan?


 

No Squatting...


Sila carik tandas lain...



Teringat lak tetiba kat Prof. Dr. Aziz Bari. Dia pun pernah gelakkan perangai orang2 kita pasal tandas awam ni. Sebab dia terjumpa 1 notis rayuan, "Sila flush DENGAN TANGAN!" Aku belum la terserempak dengan reminder macam tu. Tapi ada la terjumpa dengan reminder tak kasi orang buang air kecik maupun besar kat tempat ambik wudhu'. Yang tu selalu. Kat surau stesen minyak ada. Kat R&R Lebuhraya ada. Kat pusat beli-belah ada. Maknanya, memang dah jadi budaya la gamaknya depa nih wee wee kat tempat ambik wudhu'.

Itu la kita dan keperdulian kita....










Tuesday, 12 July 2011

Kad Laporan & Doa Warisan

Baru-baru ni aku ambik Kad Laporan anak kat sekolah. Patutnya big boss yang pergi dan aku kena pergi tempat lain. Tapi dah dapat MC sakit mata, kena la kensel program aku. Dah ada kes PEKIDA mana entah gaduh, kena la mamat tu temankan klien dia. Kena la pulak aku gantikan dia amik Kad Laporan. Macam berlagak la sangatnya, tak bukak-bukak spek hitam macam artis. Masa tunggu giliran, banyak ragam dan reaksi ibu-bapa yang aku dapat tengok. Pelik pun ada, sebab macam aku relax sangat. Ada yang tanya, aku tak berdebar ke? Ha'ah kan, aku tak berdebar pun, baru aku perasan. Tapi, nak berdebar menda nya? Darjah 1 je pun. Semester 1 pulak tu. Aku tak ada expectation apa-apa. 

Ada parents ni keluar je dari jumpa cikgu kelas dan dapat Kad Laporan, nampak tension sangat dan carik cikgu-cikgu untuk dua-tiga subjek yang gamaknya anak depa lemah. Bagus la, maknanya depa prihatin. Alhamdulillah. Aku lepak je, sibuk duk layan anak yang memang banyak nau soalannya. Sambil facebooking dan ber'bbm'. Jenuh jugak nak sampai giliran aku, padan muka datang lambat. Tapi rasanya kalau turun awal sangat pun lagi panjang Q. Masa aku duk menunggu tu pun ada lagi parents yang baru sampai. Ada yang bergegas pergi bayar yuran lagi, tak nak lepaskan peluang ambik Kad Laporan anak masing-masing.

Tiba giliran, aku masuk sorang-sorang, disambut oleh Teacher Siti yang sangat mesra rakyat. Terjongol pulak kepala si junior kat pintu, tersengih-sengih mintak nak masuk sama. Aku nak protes sebab kononnya ikut prosedur anak-anak kena duk luar je. Tapi Teacher Siti beriya-iya la pulak mengajak, si mamat tu apa lagi, kan? Oh! Sungguh serius wajah Teacher Siti masa serahkan Kad Laporan anakku, naik takut pulak rasanya. Dengan penuh kebimbangan dia tunjukkan satu-persatu keputusan Encik Junior, ditekankan 2 subjek yang paling rendah markahnya, iaitu Bahasa Arab dan Imlaa'. Junior pun tunduk aje sebelah aku, kejap-kejap nampak sendeng ke bahu mummy. Muka bersalah gila budak tu, tau cikgu dia duk komplen.

Sekali lalu aku pandang markah-markah Junior. Maklum la, pakai spek hitam. Kebetulan pulak mata tengah bengkak, conjunctivitis. Bukak karang, tak mengajar cikgu tu seminggu dua, berjangkit. Jap-jap itu la aku rasa terharu, elok je keputusan budak tu. Nak sibukkan dia 'lemah' Bahasa Arab kenapa? Baru berapa bulan dia kenal subjek tu.. Lain la nenek dia orang Arab, atuk dia orang Sudan. Bila aku terpandang markah Bahasa Mandarin dia, aku lagi rasa terbuai, padahal dia kenal subjek tu masa skolah kat Smart Reader Kids tahun lepas. Ikut logik akal, tahun depan meningkat la Bahasa Arab dia tu, alahai Teacher Siti...! Dia punya menggelabah macam la budak tu nak mintak keja esok. Tak sedar tiba-tiba aku dah peluk anak bertuahku itu. Baru nampak dia lega sket. Teacher Siti pun nampak lega. Agaknya dia saspen kot-kot aku komplen ke ape ker, jadi baik dia yang terlebih explain dulu. Agaknya la... Heheheh.

Masa berhenti kat traffic light, aku hantar mesej kat big boss. Kasik full results anak dia. Selang setengah jam kemudian dia sampai rumah. Nampak macam terharu pun ada, macam tak percaya pun ada. Tetiba aku teringat janji nak belikan budak bertuah tu komputer kalau dia dapat elok exam. Aku pun takde la maksudkan sangat actually masa janji tu. Saje bagi alasan penangguhan bila dia tanya boleh tak nak komputer masa birthday. Bukan apa, bertambah la satu lagi medium dia main game. Dia memang diajar kena deserve apa-apa yang dia mintak. Berkesan jugak rupa-rupanya. Maklum la, mak ayah dia ni dulu bukan senang nak dapat apa-apa, kena usaha cari dan dapatkan sendiri. Kalau senang sangat dia nak dapat apa-apa, mana aci? Kena la ada motivasi sket. Mana boleh main petik je semua dapat.. amboi..!

Tapi sebenarnya kan, aku rasa berbaloi sangat. Baru sikit 'pencapaian' dia. Itu pun dah kembang satu taman dalam hati. Aku cakap la kat dia, aku terima kasih sangat dia buat elok kat sekolah. Sebab aku dengan ayah dia kerja tunggang terbalik untuk dia. Bukan senang pun ayah dia nak adakan ongkos bayar yuran semester dia. Insurans dia lagi. Agaknya sebab tu mamat tu terdiam macam mamai pun ada dapat Kad Laporan. Hehehe. Aku tau, dia mesti rasa macam aku jugak. Syukur Alhamdulillah. Mudah-mudahan anak aku terus menggembirakan hati. Macam yang selalu aku pesan tiapkali berleter bila dia buat salah: Mummy tak mintak apa-apa pun dari awak. Cukuplah jadi anak yang baik, macam Mummy selalu cuba jadi emak yang terbaik untuk awak. Mak ai.. seriusnya bunyi, kan? Tapi itu la yang selalu aku cakap kat dia. Paham ke tidak aku pun tak sure. Yang penting, aku dah cakap. Selalu cakap. Akan terus cakap.

Dua hari lepas dia sibuk pegang tapak kaki aku kat meja masa dinner. Mata dia direct pandang aku, syahdu je. Ayah dia tanya kenapa. Jawabnya: Teacher cakap syurga ada kat bawah tapak kaki Mummy, kita je tak nampak. Aku tak tau nak gelak ke nak nangis. Nak nyakat dia nampak macam bening sangat mata. Even ayah dia pun terdiam. Dalam hati, terdetik satu rasa. Anak.. mummy tunggu doa awak buat bekalan hidup di sana. Amin.








Monday, 11 July 2011

Jom, ilmiahkan diri..

As salam. Kali ni terasa nak share 1 artikel yg ilmiah kat sini. Dalam usaha mengumpul mana-mana yang ada dalam simpanan, utk kepentingan bersama. Artikel ni sebenarnya kerja kursus yg diberi oleh lecturer, kira assignment diriku la, apa adanya. Cuma tak masuk la footnote sekali, jadi ayat2 qur'an tak appear la detail nye. Ada masa nanti akan update..

Soalan: Agama Islam Menuntut Keadilan dan Menentang Kezaliman. Jelaskan Peranan Peguam Syari’e Dalam Mematuhi Tuntutan Islam Tanpa Menggadaikan Kepentingan Hak Anakguamnya. Then, entered my answer, as follows:

MUKADDIMAH

Adil memberi maksud ‘Meletakkan hak pada tempatnya’ sebagai antonim kepada Zalim yang bermaksud ‘Tidak meletakkan hak pada tempatnya. Kedua-duanya mempunyai hubung-kait yang amat rapat kerana jika seseorang berlaku adil, maka dia tidak berlaku zalim. Demikian jugalah jika seseorang tidak berlaku adil, maka dia pada hakikatnya berlaku zalim. Semudah itu definisinya, yang selanjutnya menjemput dua implikasi yang jauh bertentangan antara satu dengan yang lain. Hanya ada dua persimpangan, yang mana sifat adil membawa manusia pada hari Kebangkitan nanti bersama rombongan ke syurga, manakalah sifat zalim pula membawa manusia bersama rombongan ke neraka.

Meletakkan prinsip keadilan dan akibat perlanggaran prinsip tersebut sebagai penanda aras dalam kerjaya, tugas dan beban yang menanti seorang peguam syari’e sudah pastinya bukan sesuatu yang mudah. Dalam pada menangani kemelut yang dihadapi anakguam, sejauh manakah seorang peguam syari’e dibenarkan pergi demi memastikan prinsip menentang kezaliman dan memperkasa keadilan itu tetap dipatuhi? Apa yang pasti, peguam syari’e perlulah sentiasa menepuk dada dan bertanya pada iman. Neracanya tetap akal fikiran, cuma harus sentiasa meletakkan keimanan kepada Allah swt sebagai teras yang paling utama agar jalan yang dilalui tidak akan terpesong dari kebenaran.

Keharusan Berlaku Adil

Seseorang individu pada asalnya bebas dari sebarang kesalahan (“Al-Asl Bara’at al-Dhimmah”). Oleh itu, sesiapa sahaja yang mendakwa bahawa haknya berada di tangan tertuduh sudah pasti berada dalam situasi yang bercanggah dengan zahir keadaan. Sedangkan si tertuduh menafikan hak tersebut dan prinsip asas jelas bersamanya, iaitu dia tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya.

Berdasarkan prinsip asas kehakiman tersebut, seorang peguam syari’e mempunyai peranan untuk membuktikan dakwaan anak guamnya jika dia bertindak bagi pihak Plaintif dengan mengemukakan segala keterangan yang relevan selagi ia tidak termasuk dalam kategori menghalalkan yang haram ataupun mengharamkan yang halal. Begitu juga keadaannya jika peguam syari’e tersebut mewakili Defendan dalam kes mal ataupun Orang Kena Tuduh dalam kes jenayah. Dalam apa jua keadaan, peguam syari’e seharusnya meletakkan prinsip keadilan di tempat yang paling tinggi agar tidak melakukan sebarang bentuk kezaliman terhadap mana-mana pihak. Ini kerana matlamat mutakhir seorang hamba Allah sebagai Khalifah di muka bumi ini adalah untuk mencapai keredhaan Allah swt. agar setiap perbuatan dan perlakuan dilimpahi barakah di dunia dan di akhirat kelak.

Kewajipan berlaku adil dan jujur ini telah diperincikan oleh Allah swt di dalam ayat Al-Qur’an yang bermaksud “Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu menjadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) kerana Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan”.

Allah swt di dalam ayat yang lain terus menitikberatkan kewajipan berlaku adil, iaitu “Wahai orang-orang yang beriman, jadilah kamu orang yang benar-benar menegakkan keadilan, menjadi saksi kerana Allah biarpun terhadap dirimu sendiri atau ibu-bapa dan kaum kerabatmu. Jika ia (orang yang didakwa) kaya ataupun miskin, maka Allah lebih tahu kemaslahatannya. Maka janganlah kamu mengikuti hawa nafsu kerana ingin menyimpang dari kebenaran. Dan jika kamu memutar-belitkan (kata-kata) atau enggan menjadi saksi, maka sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui segala apa yang kamu kerjakan”.

Jujurlah Pada Hati

Bagaimana harus seorang peguam syari’e membezakan antara memenangkan kes anakguam dengan menggunakan apa sahaja cara yang dibenarkan syarak dan mengelak daripada menuruti hawa nafsu lalu membuat perbuatan yang dikategorikan berdosa? Barangkali Hadith sahih berikut boleh dijadikan teladan dan sempadan:

Dari al-Nawwas bin Sim’an (r.a) dari Nabi s.a.w sabdanya: “Kebaikan itu adalah elok budi pekerti. Dan dosa itu adalah apa yang tergetar dalam dirimu dan kamu enggan perbuatannya diketahui orang lain”. (Riwayat Muslim).

Dari Wabisat bin Ma’bad (r.a) katanya: Aku datang kepada Rasulullah s.a.w lalu baginda bertanya: “Engkau datang bertanya tentang kebaikan?” Aku menjawab: “Ya”. Baginda berkata: “Mintalah fatwa hatimu. Kebaikan itu adalah apa yang mententeramkan dirimu dan mententeramkan hatimu juga. Dan dosa itu adalah apa yang bergetar dalam diri dan ragu dalam dada, sekalipun dikhabarkan sebaliknya kepadamu oleh manusia”. (Riwayat Imam Ahmad bin Hanbal dan al-Darimi).

Hadith tersebut menggambarkan dosa itu sebagai getaran dalam hati, iaitu jauh di lubuk hati yang paling dalam kita sejujurnya arif dan tahu bahawa ia sesuatu yang salah untuk dilakukan dan seboleh-bolehnya ingin menyembunyikannya daripada pengetahuan orang lain. Oleh yang demikian, seorang peguam syari’e perlu bersikap jujur terhadap diri sendiri dan sedaya-upaya mengelak daripada melakukan apa sahaja perbuatan yang sudah diketahui halal-haramnya semata-mata untuk memastikan kejayaan tuntutan mahupun pembelaan anakguamnya.

Peguam Syari’e: Peranan & Dilema

Persoalannya, adakah seorang yang memang diketahui benar-benar bersalah tidak boleh diwakili oleh seorang peguam syari’e? Adakah peguam syari’e tersebut menanggung dosa kerana mewakili tertuduh yang memang diketahui bersalah sejak awal lagi? Mungkin kita perlu menyingkap sejarah perundangan Islam pada zaman Rasulullah dan para sahabat sebelum terburu-buru menjatuhkan hukuman terhadap peguam syari’e tersebut.

​Saidina Ali karamallahuwajhah adalah contoh peguambela yang terhebat pada zaman kegemilangan Islam, dimana beliau menggunakan ilmu pengetahuan dan kepakaran dalam pelbagai bidang untuk mengupas kes-kes rumit yang pada dasarnya kelihatan seolah-olah tidak mempunyai harapan untuk menang. Berikut adalah contoh kes-kes klasik yang jelas membuktikan kehebatan Saidina Ali berhujah dan membuktikan kebenaran tanpa melanggar hukum syarak mahupun menggadaikan kepentingan anakguamnya:

1) Seorang wanita didapati bersalah atas tuduhan berzina kerana hamil tanpa nikah. Saidina Ali bertindak sebagai peguambela dan berjaya membuktikan bahawa wanita tersebut terpaksa menyerahkan kehormatannya dalam keadaan darurat kepada seorang pengembara yang mempunyai bekalan susu. Dalam perjalanan yang jauh di padang pasir, dia terjumpa pengembara tersebut dan berkali-kali meminta diberikan sedikit minuman. Melihatkan keadaannya yang terdesak itu, pengembara tersebut menangguk di air yang keruh dan mensyaratkan agar wanita malang tersebut menyerahkan dirinya sebagai ganti segelas minuman. Khalifah Umar r.a menerima hujah atas dasar darurat dan seterusnya melepaskan wanita tersebut daripada hadd zina walaupun empunya badan mengaku bersalah.

2) Seorang lelaki diheret untuk dihukum atas dakwaan memperkosa seorang wanita. Saidina Ali memohon perintah penangguhan pelaksanaan hukuman dan memeriksa kesan yang didakwa wanita tersebut sebagai air mani, dengan menggunakan air panas mendidih dan seterusnya membuktikan kesan tersebut adalah putih telur yang sengaja diletakkan oleh wanita tersebut dengan tujuan memfitnah. Kemudian, Khalifah Umar r.a telah membebaskan lelaki tersebut dan menghukum wanita tersebut atas kesalahan hadd qadhaf.

3) Seorang lelaki membuat pengakuan bahawa dirinya adalah dari kalangan mereka yang suka kepada fitnah, benci kepada kebenaran dan membuat kesaksian di atas perkara yang tidak dilihatnya. Khalifah Umar r.a mengarahkan lelaki itu dipenjara. Saidina Ali meminta hukuman itu dibatalkan dan mengupas kata-kata lelaki itu dari sudut yang berbeza, iaitu fitnah yang dimaksudkan adalah harta dan anak-anak sepertimana Allah berfirman bahawa kedua-duanya adalah fitnah (Al-Taghabun 64: 15). Manakala kebenaran yang dibenci itu adalah kematian. Kesaksian itu pula merujuk kepada naik saksi bahawa Nabi Muhammad itu pesuruh Allah sedangkan dia tidak pernah melihatnya. Lalu Saidina Umar telah membebaskan lelaki tadi berlandaskan pembelaan yang telah dilakukan oleh genius undang-undang, iaitu Saidina Ali.  

Berdasarkan kisah-kisah di atas, terang lagi bersuluh bahawa seorang peguam syari’e tidak perlu meminggirkan hukum syarak semata-mata untuk membebaskan anakguamnya daripada dakwaan dan/atau hukuman. Apa yang paling utama adalah ilmu pengetahuan dan kerja-kerja siasatan yang perlu diterjemahkan dalam keterangan dan pembuktian sesuatu kes. Tidak perlu menggunakan taktik-taktik kotor untuk mencapai hasrat tersebut sekiranya peguam syari’e benar-benar tulus menjalankan tanggungjawab yang telah diamanahkan oleh anakguamnya. Ini kerana tidak semestinya peguam syari’e perlu memutar-belitkan fakta atau kata-kata untuk memastikan kemenangan kes. Buktinya, Saidina Ali bergantung sepenuhnya kepada kepandaian dan kemahirannya dalam pelbagai bidang dan ilmu pengetahuan tanpa perlu menipu walaupun sedikit.

Terpulanglah kepada Niat

Dalam masa yang sama, sekalipun peguam syari’e mengetahui status sebenar anakguamnya, adalah tidak menjadi kesalahan jika beliau terus mewakili anakguam tersebut kerana setiap individu mempunyai sebab dan penerangan tersendiri yang perlu diketengahkan kepada Mahkamah agar keadilan yang sewajarnya dapat dilaksanakan. Ini sebenarnya berkait-rapat dengan tugas peguam syari’e sebagai pembantu hakim dan terpulanglah kepada niat sebenar peguam syari’e itu sendiri. Selagi beliau tidak sampai ke tahap menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal, maka siapalah kita untuk menuding jari dan menjatuhkan hukuman terhadapnya.

Imam Nawawi dalam himpunan Hadith 40 (Hadith yang pertama) menyentuh soal Niat, iaitu Dari Amir-ul-Mukminin Abu Has ‘Umar Ibn Khattab r.a katanya: Aku mendengar Rasulullah saw bersabda: “Hanya segala amal dengan niat dan hanya bagi tiap-tiap seorang apa yang ia niatkan”. (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim).

​Imam Syafi’e dan Imam-imam yang lain berpendapat bahawa hadith ini perlu dibaca bersama-sama dengan dua lagi hadith yang mana ketiga-tiganya membentuk agama Islam itu sendiri, iaitu seperti berikut: 

“Sesungguhnya yang halal itu nyata, dan yang haram itu pun nyata”

“Daripada keelokan Islam seseorang adalah meninggalkan apa yang tidak berguna kepadanya”.

Niat menurut istilah syarak ialah tergerak hati ke arah satu pekerjaan untuk mencari keredhaan Allah dan menyatakan perasaan tunduk dan patuh kepada perintah-Nya. Ia adalah keikhlasan atau kejujuran dalam melaksanakan sesuatu perbuatan. Pendek kata, niat yang terlintas di hati adalah punca yang menentukan kesan sesuatu perbuatan. Mulia niatnya, maka mulialah amalnya. Jahat niatnya, maka jahatlah amalnya meskipun amal itu pada dasarnya mulia.

Walau bagaimanapun, harus diingat bahawa hukuman dalam perundangan Islam kebanyakannya berbentuk ‘exemplary’ ataupun memberi teladan, baik kepada pesalah mahupun masyarakat sekeliling. Bahkan Islam juga turut memberikan peluang kepada para pesalah untuk bertaubat dan menyesali perbuatan yang telah dilakukan terdahulu. Di sinilah peguam syari’e boleh berperanan untuk mengupas keadaan-keadaan mendesak, sebab-musabab dan penjelasan sebenar yang mendorong anakguamnya melakukan kesalahan dan/atau jenayah itu sendiri. Apabila ini berjaya dilakukan dengan penuh dedikasi, tanggungjawab dan amanah, maka sudah pasti ia akan membantu hakim untuk menjatuhkan hukuman yang setimpal dan secara tidak langsung telah benar-benar memberikan peluang kepada hakim tersebut untuk melaksanakan tugasnya pula dengan penuh dedikasi, tanggungjawab dan amanah juga. Ini kerana para hakim bertanggung jawab untuk memutuskan sesuatu kes berdasarkan keterangan dan bukti yang dikemukakan kepadanya, yang mana peguam syari’e mempunyai peranan penting memastikan perkara tersebut dapat dilaksanakan dengan penuh kewajaran.

Pengamatan ini sesuai sekali dengan hakikat bahawa seorang hakim perlu setiap masa mengagungkan keadilan itu sendiri dalam memutuskan sesuatu kes yang dikemukakan di hadapannya, sepertimana disebut di dalam Hadith yang bermaksud:

Dari Ummu Salamah, bahawa Nabi saw bersabda: “Aku ini hanyalah manusia biasa, sedang kamu mengadukan perkara kepada aku. Barangkali sebahagian kamu lebih pintar berhujah daripada yang lain, lalu aku memutuskan berdasar apa yang aku dengar. Oleh sebab itu siapa yang dengan keputusanku mendapatkan hak saudaranya, maka janganlah menerimanya, kerana apa yang diputuskan untuknya itu adalah bererti sepotong api neraka.”
(Sunan Abu Dawud kitab Al-Aqdiyah Vol 3 h. 1016)

Sebenarnya, seringkali kita terlupa tentang peranan peguam syari’e sebagai pembantu Mahkamah. Bahkan dalam kebanyakan hal, mereka adalah salah seorang pegawai Mahkamah yang tidak menerima gaji daripada kerajaan, tetapi diberikan upah oleh anak-guam masing-masing. Mereka mempunyai tanggungjawab yang lebih bersifat khusus, iaitu sebelum, semasa dan selepas perbicaraan.

Peguam syari’e boleh memainkan peranan yang pro-aktif sebagai perunding-cara, mediator mahupun hakam sebelum perbicaraan bermula. Jika kena caranya, kes boleh diselesaikan di luar mahkamah tanpa perlu dipanjangkan ke peringkat litigasi. Ini sudah pastinya menjimatkan masa pihak-pihak dan masa Mahkamah selain menjimatkan kos litigasi itu sendiri. Ia secara tidak langsung akan mengelakkan permusuhan yang berpanjangan antara pihak-pihak bertelagah kerana masing-masing mendapat apa yang dihajati secara persetujuan bersama. Kaedah penyelesaian di luar Mahkamah sebegini adalah jauh lebih baik berbanding dengan sama-sama cuba menegakkan benang yang basah di muka pengadilan. Ini adalah kerana tidak ada mana-mana pihak pun yang sebenarnya menang atau kalah dalam perspektif kes-kes di Mahkamah Syariah. Pokok-pangkalnya kemaslahatan semua pihak boleh diselesaikan dengan meletakkan Hukum Syarak sebagai panduan dan matlamat akhir.

Peguam Syari’e juga perlu mengambil inisiatif untuk menggali duduk perkara sebenar sesuatu kes sebelum diteruskan ke peringkat yang lebih tinggi. Sepatutnya tidak perlu timbul soal hanya anakguam mereka berada di pihak yang benar dan pihak lawan memang sah-sah di pihak yang salah. Sikap professionalism amat perlu diterapkan agar tidak terbawa-bawa dengan pertelingkahan anakguam itu sendiri, bahkan seharusnya peguam syari’e harus bijak mengawal keadaan dan membimbing anakguam mereka sepraktikal yang mungkin.

Sehubungan dengan itu, peguam syari’e sewajarnya sentiasa mengingatkan diri mereka sendiri betapa prinsip keadilan Islam adalah lebih baik melepaskan 10 orang yang benar-benar bersalah daripada menghukum seorang yang benar-benar tidak bersalah. Justeru, jika diamati betul-betul, peguam syari’e berperanan untuk menyiasat duduk perkara sebenar agar keterangan yang dikemukakan itu sejelas mentari, sebagaimana yang telah diperuntukkan oleh kaedah bayyinah atau pembuktian itu sendiri.

 Berakhir la sudaa jawapan itu. 
 ~ Ilmiahnya... Eheheh. ~