Nuffnangx

Wednesday, 14 October 2015

Ikan Siakap Stim Ma'al Hijrah

Assalamu'alaikum. Hari ni cuti sempena Ma'al Hijrah, aku tak gi mana-mana pun, duk rumah je. Bangun seawal 5 pagi, mulakan hari dengan produktif, sesuai dengan permulaan Tahun Baru Hijrah. Ambik segala supplement, makan nasi impit sambal ikan yang mak buat malam tadi, minum kopi sambil lepak borak-borak kosong dengan mak. Ni ha semuanya aku letakkan atas Lazy Susan yang aku buat sendiri dengan menggunakan barang-barang dari Mr. DIY. 


Duk pelan-pelan update blog sambil teman mak tengok siaran langsung Majlis Sambutan Ma'al Hijrah dalam TV, habis jugak 1 mug kopi yang sangat best dan dalam masa yang sama, rendam kaki dengan air garam laut mati. Divine...! Sekali mak sound, dah dekat pukul 11 awak nak masak apa hari ni? Terbantut segala rasa divine tadi, tetiba kembali ke alam realiti. Ha'ah kan? Nanti cik abang balik beriadah aku nak hidang apa? 

Bibik duk bercinta lagi kulu kilir buat keja sana sikit, tinggal... Buat keja sini sikit, tinggal. Bila aku jenguk dapur, rasa nak menyumpah pun ada. Adoi amenda jenis sistem dia guna pun aku tak paham. Malas nak pening kepala, aku masak nasi cepat-cepat, keluarkan ikan dari freezer, cuci cawan, pinggan mangkuk dan fikirkan yang indah-indah aje.


Apa lagi yang ringkas, sedap dan mudah disediakan selain daripada ikan stim? Maka itulah yang aku buat hari ni, bijak lagi praktikal gitu, guna ayat Go-Shop sikit. Panaskan air, bila mendidih letakkan ikan, biarkannya dikukus kejap. Sementara tu, sediakan bahan-bahan yang nak dituang ke atas ikan dan sambung kukus kejap jugak.


Kejap je, dah masak dan bleh makan dengan selambanya. Demikianlah cara aku berfikir dan melaksanakan pelan dan tindakan di dapur. Orang pemalas la katakan... Semua nak mudah.


Alang-alang ambik gambar, baik buat entry kat blog. Tajuk sengaja je aku buat bombastik gitu, haruslah kenn? Okay, terima kasih sudi baca. Jaga diri hiasi peribadi. Assalamu'alaikum.


~ Nai at Tak Pe Je.





Ngedet & Ngopi di Cimory Resto, Cisarua-Bogor, Bandung

Assalamu'alaikum. Orang Bandung pandai menata-rias kafetaria, restoran dan toko-toko jualan, itu yang aku perasan. Kadang-kadang masuk kedai kasut rasa macam tak mau keluar sebab cantik sangat dekorasinya. Konsep yang diketengahkan pulak memang pelbagai. Contohnya Cimory Resto di Cisarua-Bogor, sungguh mendamaikan jiwa sepanjang waktu lepak di situ. Pemandangan dan angin malam yang berpuput lembut melengkapkan suasana romantis, sesuai untuk pasangan bercinta ataupun orang yang penuh rasa cinta dalam dada. Macam aku la, ehemmmm! 


Sebenarnya menapak ke situ dari hotel dengan tujuan nak carik wifi, standard la kan bila travel. Sekali takde pun, padan muka! Tapi takpe, janji boleh lepak secara berjemaah dan membasahkan tekak sambil berborak kosong ataupun bergossip kecil-kecilan. Dah kenapa aku berjaket bagai? Sebab badan aku terasa sekejap seram sekejap sejuk tanda nak demam, dah pulak angin malam kat Puncak memang sejuk sampai ke tulang, lebih-lebih lagi baru lepas hujan. Orang lain takde hal pun, aku je yang berdarah sejuk tak berapa nak normal.


Punyalah merayap mata aku ke seluruh pelosok kawasan, sampai atap pun aku ambik gambar. Attention to details yang bagi aku wajib dihargai. Elemen kayu dan tumbuh-tumbuhan yang bersatu begitu indah. Ikhlas betul tatariasnya di mataku.


Kalau nak hias dinding rumah pun boleh ambik inspirasi dan dijadikan contoh, macam dalam gambar-gambar kat bawah ni.


Tapi tak payah la letak gambar lembu pulak kan... Agak-agak la, korang kot ye pun! Gantikan dengan gambar ikan ke, kuda ke, kucing ke... Tak pun, letak je gambar pemandangan ataupun frame kan kain batik lepas/songket/saree buat hiasan.


Senang nak jadikan focal point ambik selfie gitu... Tetiba.


Makanannya pun boleh tahan, tapi kami pesan yang ringan-ringan aje sebab dah kenyang makan nasi sebelum pergi situ. 


Tumpang roaming, mummy! 


Nampak tu patung lembu kat atas atap? Bukan main mulia lagi kedudukan dia, kan? Dairy products la katakan, haruslah begitu gamaknya.


Kalau korang kebetulan ada kat Bandung dan terasa nak ngedet atau ngopi bersama yang tersayang, jenguk la tempat ni. Ambik gambar sampai lebam. Okay la, terima kasih sudi baca sampai habis. Jumpa lagi panjang umur, murah rezeki. Assalamu'alaikum.

~ Nai at Tak Pe Je.










Monday, 12 October 2015

Sebuah Tempat Bernama Tokyo

Assalamu'alaikum. Kita sambung cerita Tokyo bersama kami tiga beranak, jom! Sementara aku ada mood ni, baik teruskan momentum sebelum kuncup jadi semalu. 


Itu gambar kat Starbucks daerah Toritsu Daigaku, masa mula-mula sampai dari Narita Airport. Lepak kat Starbucks besar-besaran dengan bagasi yang mesra perjalanan. Entry kali ni aku share dengan korang apa yang kami buat pada hari ketiga kat sana. Hari kedua kat Disneyland nanti aku cerita lain kali, bila tu tak boleh gerenti. 


Antara tempat wajib dikunjungi kat Tokyo adalah Akibahara, especially untuk penggemar-penggemar gadgets dan games. IT Centre kat situ gedabak dan double triple happening daripada Low Yat. Tapi kena tau apa yang dihajati siang-siang, kalau tak masak korang nak singgah semua kedai dalam waktu sehari. 


Anak teruna yang teruja dapat pegang kamera ala-ala pengarah filem...


Aku pergi jugak buat lintasan hormat, terus tuju tempat hero kecik nak beli toys. Aku pun kena sampuk jugak, masih sangat kanak-kanak sebab tak boleh tahan tengok menda-menda comel yang dijual. Lebih 5 ekor jugak la anak2 patung kawai yang aku angkut keluar kedai, dari yang kecik sampailah yang tak berapa kecik. Itu pun aku kena kawal diri daripada beli patung watak-watak cerita Dragon Ball. Bila dah bayar semer menda dan selamat sejahtera di'pow' anak teruna dengan cemerlangnya, aku turun pergi lepak cari kopi. Daddy dia sambung jalan-jalan dengan junior.


Vie de France Cafe kat Akiba ni besar jugak, tapi kena Q nak dapatkan tempat kosong sebab permintaan memang melebihi pengeluaran. Masalah sket je bab-bab pesan minuman, pekerja-pekerja depa tak berapa fasih English. Aku pesan "1 hot cafe latte" tapi dapat secawan kopi O dan secawan cafe latte. Macam comel je, bisik hatiku sambil tertawa sorang-sorang. 


Perut mintak diisi bila tiba tengahari, biasalah. Jalan punya jalan ternampak gerai Doner Kebab berlogo 'halal', berenti la kami lepak makan kat situ. Gambar anak bujang kat depan sosej gergasi tu saje aku letak, nak tayang dekorasi orang Tokyo jemput pelanggan masuk kedai. Kat situ jangan berenti makan pulak, bukan untuk orang Islam yang menjaga halal haram.


Gerai kebab bersepah kat Tokyo, cuma kena hati-hati carik logo halal. Dan mengikut kata tauke kedai dalam gambar yang korang tengok ni, seluruh Tokyo yang terjamin halal kat kedai kebab hanyalah daging ayam, tak termasuk daging lembu. 

YouTube Video

Bohong dia bohonglah aku. 


 Kejap-kejap tu jugak tekak aku terasa kembang teringat masa mula-mula singgah makan kebab dan order beef special. Astaghfirullahal 'adzhim! Menyampah betul kalau mamat-mamat Arab bersumpah dengan nama Allah "Wallahi halal, sister!", walhal dah tau orang carik makanan yang betul-betul halal. Pengajaran untuk aku : Kalau dah rasa was-was tolong ikut kata hati! 


Kami macam biasa kalau pergi travel, memang guna public transport. Dah pulak sistem rangkaian pengangkutan secanggih dan sepraktikal Jepun, lagi gumbira riang ria menapak berlari dan berlenggang kangkung sehabis baik. Yang best nya, bila rasa leceh nak membimbit barang-barang ataupun hasil tangkapan perabis duit, kita boleh sewa locker kat stesen tren dan ambik semula masa nak balik. 


Baca arahan dan ikut je apa yang perlu dibuat. Mesra pengguna, jangan bimbang masalah bahasa sebab ada English translation kat mesin tu. Susah sket mula-mula tu terkial-kial jugak la separuh detik pertama. Tapi apa ada hal, agi idup agi ngelaban. Kita kat tempat orang jiwa harus kental, nak manja-manja duk rumah tengok DVD sudah. 


Lepas Akibahara, kami pergi carik barang aku pulak kat Komehyo, Shinjuku. Kat situ memang kena istighfar panjang dan bertenang ingat masa depan, kalau tidak nahaslah poket korang. Aku takpe, sebab takde wang yang sedia untuk dibakar, baik tunai mahupun plastik. Pergi pun memang dengan tujuan khas nak cari dua menda : bekas letak spek hitam dan personal agenda. Maka dengan penuh disiplin, itu je la yang aku bawak pulang. 


Ok, ada 1 menda yang takde dalam list aku beli jugak, small wallet kaler merah, comel gila tak tertolak godaannya. Anak terunaku pelik, "Tu je mummy beli? Sikitnya...!" Mak ai... Daddy dia duk tahan gelak sambil pandang aku turut mengejek. Ye la, bukan datang nak shopping pun, jawab aku selamba. 


Kami lepak kat Starbucks Shibuya, sebelum balik ke apartment sebelah malamnya. Solat jama' qasar kat ruang tangga satu mall ni, lupa dah nama apa, janji selesaikan Zuhur dan Asar sebelum masuk waktu Maghrib. Lepak situ melepaskan lelah, bagi anak teruna layan cerita Naruto dan aku betulkan kaki.


Manusia yang bertali-arus tanpa henti di Shibuya Crossing jelas kelihatan dari tingkap kaca Starbucks. Macam-macam pesen ada dengan kisah masing-masing.


Balik apartment, masak nasi dan lauk serba ringkas, makan bertiga dengan penuh selera. Rehat, sebelum sambung jalan-jalan keesokan harinya.


Okay, aku tinggalkan korang dengan salah satu daripada menda comel yang aku beli kat Akibahara. Disolek sana-sini, jadilah ia key chain/card holder 2 dalam 1 yang aku kelek ke hulu ke hilir. Nanti ada masa aku cerita lagi, ya. Terima kasih sudi baca sampai habis. Jumpa lagi, Assalamu'alaikum.

~ Nai at Tak Pe Je.

























Sunday, 11 October 2015

Syamel : Hidup Dalam Mati

Assalamu'alaikum. Ok, dah dekat seminggu aku tunggu lagu ni keluar dalam i-Tunes. Elok je konsert akhir Akademi Fantasia mula dan Syamel persembahkan lagu 'Hidup Dalam Mati', berdesup aku taip nama dia dan download lagu yang sangat-sangat memejamkan mataku ini.


Dahsyat betul Syamel boleh buat lagu dan lirik sehebat ini, memang speechless aku. Macam jugak masa tengok Aizat dulu, aku dah tau aku akan minat Syamel ni sungguh-sungguh. Dia tak perlu menang pun AF, secondary je semua tu. Bonus la kalau menang, kan.. Tapi tak menang pun takde hal. Dah pulak boleh compose lagu dan tulis lirik, memang lebih-lebih lagi la boleh berjaya. Good luck, Syamel... I'm gonna be your fan forever!



~ Nai at Tak Pe Je.

Saturday, 10 October 2015

Tokyo Dalam Kenangan

Assalamu'alaikum. Ditakdirkan Allah aku pergi ke Tokyo dalam keadaan yang tak berapa sihat, tapi memandangkan tiket dah lama beli dan anak pun sangat-sangat berharap, aku gagahkan jugak. Banyak rencana yang harus kami ubah, kedua-dua hero hidupku itu begitu memahami dan aku pun tak beralasan ataupun mengeruhkan keadaan. Kami sama-sama susah dan sama-sama senang, yang mana aku perlu berterima kasih dan bersyukur selalu.


Kami tiba awal pagi di Narita Airport dan mintak drebar teksi turunkan dulu di Starbucks sementara menunggu apartment sedia untuk dimasuki. Lama melangut kat situ, ada la dalam 3 jam lebih. Nasib baik ada wifi, kalau tak masak jugak nak handle anak teruna kebosanan. Bila dah ready, tuan rumah telefon dan kami pun menapak la ke stesen tren yang dekat sangat-sangat dengan Starbucks tu pun. Bagasi memang dah diikhtiar dari KL untuk mudah dikendalikan, maklum la aku kurang sihat. Smart travel, apa adanya. Dan lagi satu plus point, apartment pun dekat-dekat stesen tren tu jugak, Toritsu Daigaku Station. Semuanya dah diuruskan oleh master planner kami, macam biasa. Alhamdulillah.

Borak dengan tuan rumah tu sangatlah senang sebab dia lama duk US, fasih berbahasa Inggeris, sesuai dengan kerjayanya sebagai penterjemah professional. Apartment dia sangatlah bersih, teratur dan serba lengkap. Aku terkesima dengan susun atur segala menda dalam tu, lama aku terkebil-kebil menikmatinya. Berangan-angan nak buat menda yang sama bila tiba waktunya nanti.

Hari tu aku dah buat entry pasal Tokyo secara general kalau tak silapnya, tapi takde cerita dan letak gambar-gambar kat Shibuya Crossing aje posing dengan anak teruna. SINI.

Jap, kat sini aku nak share video amatur dari henfon yang aku selalu ulang tonton sendirian. Malam tu lepas tidur, makan kenyang-kenyang dan rehat semahunya, kami naik tren ke Shibuya. Kira macam Bukit Bintang la kalau kat KL ni, lebih kurang. Happening memang lain macam, padat dan sarat dengan lautan manusia. Apa yang menyambut kami adalah sekumpulan pemuzik jalanan yang sangat ohsem yang membuatkan kami kehilangan kata-kata. Kalau macam tu kualiti kat kaki lima, jauh laginya lahai kita nak kejar. 


Aku ada jugak follow instagram the Throttle ni tapi ye la, mana nak paham Bahasa Jepun kan? Rugi betul aku ni malas belajar bahasa, ishhh! Ikut mana pun, mamat-mamat Jepun ni dah menambat hati dan perasaan pencinta muzik seperti aku. Nak pergi lagi ada rezeki, bila dah cukup sihat gagah perkasa, dipanjangkan usia hendaknya. Ameeeen...! 

Nak cerita karang sampai ke pagi esok pulak entry ni tak siap-siap. Meh aku belanja gambar la mana yang sempat, ya? 


Anak bertuah aku ni peminat tegar muzium, asal pergi mana-mana mesti nak carik muzium. Maka layankanlah aje, maklumlah anak sepuluh. Kami jenguk National Museum depa, besar bukan main lagi. Aku duduk-duduk je la kan, nak buat apa lagi. Jalan terlebih karang menggelupur sakit siapa yang susah?


Dapat kamera kat anak bertuah, gambar bangku yang kosong pun diambilnya. Paham sebenarnya, dia suka tengok kecantikan dan kebersihan keadaan sekitar kawasan muzium tu. 


Takde orang duduk, maklumlah tengah terik mentari awal musim panas. Depa duk sibuk berpayung bertopi bagai, takkan la nak berjemur pulak kat bangku tu, kan? 


Depan muzium siap ada taman, dan sudah tentu bersih yang amat sangat. Kalau musim bunga ataupun musim luruh mesti meletup-letup ohsem posing kat situ! 


Dah ada dua buah pulak muzium sebelah menyebelah, tiga penjuru sebenarnya. Tengah, kanan dan kiri. Aku dah tahap tertekan tapi buat dono aje ler, karang rosak mood semua orang. Nasib baik dia tak mintak jenguk secara terperinci kat semua tempat. Alhamdulillah.


Tak nak bagi aku berjalan jauh, cik abang ajak naik teksi pergi ke stesen tren, pelik drebar tu katanya dekat aje toksah buang duit. Nak buat macamana, dah kurang upaya kenn? 


Hentian seterusnya, Ueno Station.. Nak gi carik kopi dan barang-barang wajib pengumpul Hard Rock Cafe. Sukalah berjalan tempat sejuk masa tak sejuk tak panas, sedang-sedang saje. Pakai pun senang macam kat tempat kita je, tak yah berangkut dengan baju sejuk berlapis-lapis bagai.


Dah la dulu sampai sini, korang. Tengok la kot2 ada mood nak sambung lain kali. Terima kasih sudi baca sampai habis, tau. Sampai jumpa, jaga diri hiasi peribadi. Assalamu'alaikum.

~ Nai at Tak Pe Je.












Zahir Tak Terucap

Assalamu'alaikum. Aku seorang yang penuh dengan kata-kata, selalu mudah meluahkan rasa walaupun perlu berselindung di sebalik bahasa. Tapi aku dikelilingi manusia yang lebih senang berbahasa bisu, memendam rasa. Lalu aku mula belajar untuk berdiam pada kebanyakan masa, bimbang terlebih mengungkapkan jiwa. 


Mereka mungkin tidak tahu betapa hidup ini terlalu singkat untuk berteka-teki. Esok belum tentu milik kita, mengapa harus dipersia waktu yang masih bersisa? Hargailah hari ini. Berterima kasihlah pada semalam, pada kelmarin dan masa silam.


Zahirkanlah yang tersirat, usah biarkannya kekal bungkam di sudut hati. 

~ Nai at Tak Pe Je.


Friday, 9 October 2015

Juma'ah Barakah : Hi-Tea @ Harrods Cafe, KLCC

Assalamu'alaikum. Thank God It's Friday, huh? I'm writing this within the comfort of my zone (read : home) in front of a silent tv. Still clad in the attire you're seeing in the following pictures. Junior has long gone to his qur'an class and my other half taken his light dinner. As for me, once reached home at 7.30pm and prayed Maghrib, I finally had my lunch for today. Didn't even bother to shower or change, mind you, I chose to just pray in the same attire. That explains why I'm still clad in it up to this point. 

After a month of stumbling and juggling and working things out, today is quite calm and tender. What a moist choice of words, but wait, why am I writing in English? 

Adoi la. Takpe la, kita teruskan aje dalam bahasa pasar macam biasa, okay? Kadang-kadang angin menulis dalam English menyerang dengan kencang, seperti kenderang mau perang gitu. Macam-macam kejadian berlaku hari ni, tapi yang sesuai dikongsi kat sini adalah upacara membasahkan tekak di Harrods Cafe, KLCC pada separuh masa terakhir hari Jumaat. Nampak tak aku yang pakai tudung hijau tu? Haa... Tak sempat nak berbedak dan lipstik pun dah tak nampak, sungguh basic lagaknya!


Aku sampai paling lambat, tapi aku tetap komited dengan janji untuk hadir. Memang tak 
terkejar nak tepati masa hari ni sebab tersangat banyak kejadian di luar kawalan aku terjadi. Nasib baik la orang dah tau bukan pesen aku mungkir janji. Ada gak pekdahnya jaga masa selama hari ni, kan? Tapi memang patut kena gitu pun, jaga masa dan bina reputasi. Orang Jepun tengok macamana depa jaga masa dan bina reputasi, hendak jugak aku praktikkan walaupun susahnya Tuhan aje yang tau.


Aku order cafe latte je segelas, makan apa yang ada atas hi-tea tray tu haa... Bukan habis pun kami mengadapnya, sampai sudah duk berbaki lagi pakat tolak siapa nak tapau. 


Aku tak suka sebenarnya Harrods Cafe KLCC ni, sejak kejadian mula-mula aku pergi dulu... Mintak refill air panas dalam teko teh depa tak kasi. Dah pulak pandang aku atas bawah dengan memek muka macam aku sangatlah jakun sebab mintak refill. Cara bagitau aku pun waduh waduh... Kat mana la dia belajar kesedaran sivik. Aku dalam hati berkata: "Chill la sister, nak suruh bayar pun takpe.. Tak yah la kerek sangat, kan?" Tapi ye la, susah nak bagi aku hilang sabar so takpe je la, aku senyum dan relakan aje. 

Demikianlah aku hari ni order cafe latte, tak ingin minum teh yang depa tak nak bagi refill air panas. Kuih-muih dalam tray tu pun tak menepati piawaian tekak aku, tapi aku diam aje sebab menghormati kawan-kawan. Sekali depa pun komplen menda yang sama, maknanya bukan aku sorang la rasa macam tu kan? Jauh lagi best makan kat Delicious sana, walaupun kalau diikutkan tekak ni, masih tak best. Even kat TWG Pavilion yang mahal gila tu pun tak best. Sebab, aku suka kuih koci, bahulu, sago gula Melaka, kuih nyonya, bubur kacang, pulut panggang inti ikan dan yang sewaktu dengannya. 

Cuba letakkan kuih-muih tradisi kita dalam tray tu tengok, memang rapat la aku mengadapnya! Dasar orang kampung, ish ish ish! Gitu...

Okay la korang, selamat berhujung minggu. Sampai jumpa.. Jaga diri hiasi peribadi! Assalamu'alaikum.

~ Nai at Tak Pe Je.




Thursday, 8 October 2015

Aku dan Topi Itu

Assalamu'alaikum.  Aku suka betul pakai topi, pelik jugak sebenarnya sebab orang perempuan kalau berhijab susah sikit nak jumpa jenis bertopi, kecuali la masa tengah panas teman anak kat sukaneka sekolah ataupun cuti-cuti tepi pantai. Ini tidak, hujan ke panas ke asyik bertopi memanjang. Itulah aku. Maka tak heran la kalau aku banyak nau koleksi topi, malas nak ambik gambo tayang kat sini tapi. Jenuh la orang baru belajar BM nak paham bahasa pasar aku ni, kan?


Antara sengaja dengan tidak, aku asyik pakai topi warna shocking pink lately. Mungkin sebab diletakkan paling depan dalam susunan, maka senang aku capai yang sama je tiapkali nak keluar bilik. Mungkin jugak sebab warna tu menjerit-jerit "Pilihlah aku jadi temanmu...!" Gitu.


Satu menda dengan aku, takde masalah pun nak suai-padankan warna topi dengan hijab. Kalau tak masuk nada warna, ada aku kesah? Gasakkan aje, yang penting tak menyalahi undang-undang jalan raya. 


Ada satu topi ni warna baby pink aku beli kat Disneyland Hong Kong, sayang bukan kepalang padanya. Entah apa yang bibik buat, sekali ada kesan putih kloroks yang mencacatkan pandangan. Aku punya rawan tu tak terubat sampai hari ni, tahap maksimum! Tak mungkin aku buang topi itu, so aku lekatkan brooch empat segi kat tempat kejadian. Asal pandang aje, hatiku berdarah. Memang parah! 


Masalahnya, Disney takkan jual menda yang sama bila dah habis stok. Kira macam limited edition, macam Hard Rock jugak. Ngam-ngam je depa buat, habis tu habislah. Lagi pulak setiap outlet ada keluaran khas masing-masing. Memang takkan dapat pengganti la jawabnya. Sabar aje ler...! 


Ok la, takde menda pun entry ni. Cakap pasal topi je pun, berjela-jela jugak. Tengah buat treatment rendam kaki dengan air garam, elok sejuk dah air dalam baldi ni boleh la sambung keja lain.  Daripada melangut je boleh jugak update blog, kennn? Terima kasih sudi baca sampai habis. Jaga diri, hiasi peribadi. Sampai jumpa, Assalamu'alaikum.

~ Nai at Tak Pe Je.