Sofa Make Over : DIY Reupholstery Project
Assalamu'alaikum. Hari tu aku ada tayang gambar sofa, tapi takde cerita apa-apa pasal tu, kan? Haa.. Meh aku cerita sekarang, okay?
Aku ada satu fasa yang tak boleh disekat-sekat dek apa-apa mahupun sesiapa menggilai kerja-kerja DIY. Itu adalah waktu-waktu yang aku banyak menyepi dari dunia blogging khasnya dan dunia media social amnya. Hatta telefon pun aku tak ambik port masa tu, tenggelam dalam dunia aku sendiri.
Masa tu aku siap boleh buat kerja menukar kain sofa dari kayu jati yang mak aku hadiahkan 4 tahun lepas. Nak hantar kat orang, harganya dah boleh beli sofa baru. Takde hal nak angkat baru, kalau dikira keadaan dan keperluan masa tu. Tinggal lagi aku pening kepala pikir apa nak buat dengan sofa yang dah sedia ada. Nak bagi adik-beradik, takde yang hendak. Jadi aku ambik keputusan nekad dan bertekad untuk buat total makeover biar elok semula sofa tu dari segi empuk tempat duduk dan sejuk mata memandang.
Aku start dengan sofa single seater yang paling kecik dalam set 3 bijik kat ruang tamu, kira kasi test market kata orang. Beli kain pun yang murah je, kalau tak jadi pun takde la sakit hati sangat kan? Dah siap tu, aku gi beli lace dan lekatkan kat sekeliling sofa, kasi tutup staples yang sudah tentu tak cantik dibiarkan terdedah auratnya.
Hasilnya, dapat la sebijik sofa yang lain benar rupa parasnya daripada asal kejadian. Nak tukar cat kayunya kepada putih sebenarnya tapi aku takde masa nak tunggu kering bagai, siapa nak menyelianya pun, kan?
Selesai yang itu, aku teruskan dengan aktiviti 'mengerjakan' kerusi panjang yang lagi dua beradik tu. Dah cekap kali ni, sehari je aku dah berjaya tanggalkan staples, paku dan segala kain sofa. Bila kita bukak sofa tu, berderau darah tengok apa sebenarnya isi kandungannya. Berderau sebab tak logik akal langsung dengan harga yang kita bayar. Kain-kain yang digunakan untuk membalut isi dalaman boleh pulak dari cadar hospital dan tali ropia je pun yang mengikat apa yang patut.
Tapi dalam masa yang sama, bagi aku ia adalah suatu proses yang sangat 'humbling' dan buat kita lebih menghargai penat lelah tenaga buruh yang menghasilkan sofa tu sebelum tauke perabot buat duit yang berlipat kali ganda daripada keringat mereka. Sedangkan mereka dapat upah ciput sangat-sangat.
Jadi, perasaan aku bercampur-baur. Sekejap rasa bengang dengan harga yang diletakkan kat kedai, sekejap lagi rasa kesian kat tenaga buruh yang digunakan. Tapi ye la, itu memang dah lumrah hidup kat dunia ni.
Yang ni gambar lepas siap sofa 3 seaters, tunggu masa bukak kain sofa 2 seaters pulak. Sekarang ni dah siap semuanya, sekali dengan matching bantal kekabu yang aku buat sendiri. Ye, korang tau tak? Aku gi beli kekabu dan buat bantal, kemudian aku buat sampulnya sekali. Memang maximum tahap gaban aku punya kehendak DIY, sekarang nampak tak kekdahnya?
Aku tak sempat-sempat nak ambik gambar keadaan semasa. Kalau hari ni memang tak dapat nak tolong, sebab adik-beradik aku datang dan biasalah tunggang-langgang la kekdahnya pemandangan. Nanti aku update gambar yang elok sket, tapi buat masa ni aku hanya boleh letak yang ni:
Sebenarnya, ada 1 final step nak dibuat. Aku belum jumpa decorative lace yang sesuai untuk aku lekatkan kat sekeliling sofa yang kini berwarna peachy orange itu. Senang je kerjanya, takkan sempat berpeluh pun. Cuma aku memang nak carik item yang betul-betul memenuhi citarasaku. Sementara tu, aku berpuas hati dulu dengan hasil yang sedia ada.
Lepas siap je projek sofa aku dan bantal-bantal kekabu itu, aku dah start sibuk dengan kerja-kerja ofis. Aku rindu nak pegang mesin jahit Singer mak aku yang vintage itu dan merekacipta apa yang termampu. Aku memang dah lama nak menjahit tapi tak pernah ambik inisiatif untuk belajar. Selama ni aku jahit tangan aje, takat jahit butang baju laki dan sembat kaki skirt je kot. Tapi sekarang bila dah pandai guna mesin jahit, betapa bahagia rasa di hati... Bila dah ada bajet lebih, boleh la beli mesin power rangers sket kan? Gitu...
Demikianlah kisah aku dan DIY Reupholstery Project yang bolehlah dikategorikan menjadik. Alhamdulillah... Sekarang tak timbul dah isu nak 'buang' sofa tu, menda dah elok balik. Kain dah elok, tempat duduk pun dah empuk balik lepas ditambahkan span. Bolehlah berkhidmat untuk 4 tahun lagi, Insya Allah. Kalau dah ada masa yang sesuai, boleh la cat kayunya kepada putih pulak, kan?
Terima kasih sudi baca, kita jumpa lagi lain kali. Jaga diri, hiasi peribadi. Assalamu'alaikum.
~ Nai at Tak Pe Je.
Salam...boleh rupanya diy sendiri ye..saya punya pun kain dah habis koyak.guna stapler gun tu je ke dik?
ReplyDeleteSalam Kak Yang, terima kasih sudi singgah dan tinggalkan komen. Ya, guna staple gun, kak.. Cuma perlu ada jugak yg heavy duty punya satu, takut nanti tak cukup kuat grip.
Delete