Cerita Tentang Covid-19
Assalamu’alaikum. Lama tak update blog, aku kembali dengan berita ‘sensasi’ sikit kali ni. Allah bagi aku merasa secara direct apa benda rasanya positif covid. Bagi yang duk gebang kata semua ni konspirasi segala, tunggulah bila dorang merasa sendiri. Mana dapat, ramai kawan dan sanak saudara tanya. Kalau ikutkan kandungan virus yang dikesan hasil swab test PCR kat Klinik Anda aritu, bibik paling lama kena, diikuti bonda, Nazri (adik bongsu) dan aku paling baru dijangkiti. Boleh la kita katakan bibik adalah pembawa, takde la jatuh fitnah pulak. Lagipun dia memang selalu keluar pergi beli barang 3, 4 kali sehari dah balik bukannya reti nak mandi.
Sudahnya, mak checked-in Hospital Ampang dan bernafas menggunakan bantuan oksigen lebih kurang 4 hari. Nazri, bibik dan aku kuarantin kat rumah dalam bilik berasingan. Merasalah berjauhan dengan pasangan 10 hari berturut-turut: dekat tapi jauh. Allah tu adil, pakwe dan anak aku negatif bersama dengan isteri Nazri yang sarat tunggu hari. Disebabkan bibik dan aku positif, takde la orang nak masak. Segala urusan makan minum pagi, tengahari, petang dan malam diuruskan pakwe penuh dedikasi. Saham naik mencanak ke langit ke-7 la masa ni kan, terserlah husband material nya. Gichu.
Swab test di klinik swasta kejap je boleh dapat result, dalam masa sehari (yang premium tak sampai sehari boleh dapat). Dah tau keputusannya, aku cepat-cepat wassap PKD Titiwangsa (+60 11-5554 8572) untuk tindakan seterusnya, di mana PKD akan mintak kita isi borang maklumat dan forward keputusan swab test. Nanti akan dapat reply macam ni:
CAC STADIUM TITIWANGSA
*TEMUJANJI DI COVID-19 ASSESSMENT CENTRE (CAC) STADIUM TITIWANGSA*
*❗️CHECKLIST SEBELUM TEMUJANJI❗️*
✅ PENGENALAN DIRI IC/PASSPORT
✅ KEPUTUSAN POSITIF COVID TEST (HARDCOPY/SOFTCOPY)
✅ BERSIAPSEDIA BAWA BARANG KEPERLUAN HARIAN UNTUK KEMASUKAN KE PUSAT KUARANTIN (keputusan 'admission' akan ditentukan oleh Doktor) -sila rujuk gambar
❌ *TIDAK DIBENARKAN MENGGUNA PENGANGKUTAN AWAM/GRAB UNTUK KE STADIUM TITIWANGSA*
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,
Tuan/Puan diminta untuk hadir ke COVID-19 ASSESSMENT CENTRE (CAC) seperti di bawah bagi tujuan pemeriksaan kesihatan, pemberian borang kuarantin dan pemakaian gelang pink.
*TARIKH : 9/6/2021*
*MASA : 2 PTG*
*TEMPAT: STADIUM TITIWANGSA*
Jalan Tembeling, Titiwangsa, 53200 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Malaysia
https://goo.gl/maps/3f8p6ActpJMWimkx6
Mohon pakai facemask dan jaga jarak anda.
Pasukan CAC
PK Titiwangsa
Walaupun arahan depa suruh bawak pakaian, tak payah sibuk bawak pun kalau takat ada gejala ringan. Aku drive ke situ dengan bibik yang blur habis macam hilang ingatan dah. Sesampainya di PKD Titiwangsa, punyalah meriah dan padat dengan manusia yang telah disahkan positif covid-19. Memang mengerikan, tapi semua petugas KKM dari luar sehingga ke dalam stadium amatlah mesra, murah senyuman dan efisien. Bangga tengok dorang kekal tersenyum dalam baju PPE dari awal pagi hingga ke petang. Tahniah buat KKM!
Gejala-gejala ringan virus ni sedebik demam selesema biasa, cuma diganda tiga, tengok nasib la kena yang mana. Macam aku demam, selesema, lemah longlai, sakit kepala, hilang deria rasa dan bau. Selesema tak lama, tapi sakit kepala tak kunjung padam. Hari ke-3 dah sendat dada dan mengah naik turun tangga, aku spray IV mist jadi elok balik. Takde pulak aku panik, terlebih relax lenggang kangkung lagi, terfikir kena covid jauh sekali! Ada setback jugak terlampau biasa sakit, sampai tak perasan diri dah kena virus.
Orang lain duk cerita dorang seram sejuk demam, aku pulak terbalik kot. Aircond depan muka pun aku tak rasa sejuk, siap bukak pintu peti ais tadah muka penuh pasrah. Bayangkanlah bila kuarantin dalam bilik aku tak pasang aircond, dah katanya virus tu akan bermaharajalela nanti. Kipas siling campur kipas meja yang 24 jam terpasang tu bagi aku cuma makin menyebarkan udara panas, bukannya menyamankan. Merah muka toksah cakap la kan, ruam pakat bercambah di dahi dan di bawah rahang. Masuk hari ke-8 kuarantin barulah aku tak panas, cukup guna kipas siling je dah.
Masa pergi saringan di Pusat Kuarantin Daerah di Stadium Titiwangsa, doktor takde kasi ubat apa pun, pandai-pandai la nak hidup. Pastikan ada panadol (kalau boleh panadol extra lagi bagus), ubat selesema, vicks, tiger balm dan spray resdung IV Mist dalam tempat yang kita kuarantin. Vitamin C, Multi Vitamin, B Complex dan segala bagai supplement pun kena ada. Duk viral pasal wap bunga cengkih, tapi aku tak cuba pun, bukan ada tenaga nak buat semua tu. Cengkih ni bagus untuk tingkatkan sistem ketahanan badan, kebetulan aku memang gemar minum teh chamomile yang sama fungsi, jadi ok la pilih satu. Air kelapa jangan lupa, bagus untuk menyejukkan badan dan melegakan sakit kepala.
Sebut pasal sakit kepala, aku jenuh la rasa nak guling-guling walaupun dah makan panadol. Sejenis yang bila tahan telan sebiji, esok naik setangga sakit kena makan 2 biji. Elok lega tak sakit sehari, esoknya sakit balik dan tak jalan dah 2 biji panadol, terpaksa mintak pakwe beli panadol extra pulak. Lepas tu elok 2 hari, esoknya sakit semula. Virus ni dia main peekaboo pulak dengan kepala aku, nak tembak tak nampak. Akhir sekali aku ambik air mineral, rukyah apa yang patut, minum.. baru la nampak masa depan sikit.
Hari ke-10 kuarantin alhamdulillah aku makin lega dan kadangkala sakit kepala tu menjadi lebat, kira macam cuaca kat Lembah Kelang la. Hari ke-11 gambar kat atas tu aku dah selamat potong gelang pink, dengan muka yang dah suram terbakar. Itulah sebabnya aku seriau fikir pasal api neraka, aku jenis tak tahan panas! (Tiber).
Untuk makluman, status merah kat My Sejahtera akan kekal menyala seminggu lepas potong gelang pink, sila jangan panik. Bagi yang perlu ke mana-mana, bawak je Surat Pelepasan Kuarantin tunjuk kalau diminta. Kes di PKD Titiwangsa kalau gejala tahap 2 (macam aku) boleh kuarantin kendiri di rumah dan update soalan-soalan harian di My Sejahtera, kat Selangor tak boleh tau. Kawan aku di Seri Kembangan takat batuk-batuk ringan pun dah kena angkut ke Pusat Kuarantin.
Anyway, apa yang aku nak tekankan di sini adalah kalau kita ditakdirkan positif covid-19, jangan sekali-kali berfikiran negatif. Kalaupun tiba-tiba panik menyerang apabila dada terasa sendat dan nafas terasa semput, pegang hati jangan sampai hilang pertimbangan. Sapu dulu minyak panas ke vicks ke tiger balm ke IV Mist Spray ke, kalau tak elok jugak cepat-cepatlah call ambulans. Kalau pun dikategorikan sebagai tahap 3 dan ke atas, tetap perlu tenang. Mak aku yang ada masalah paru-paru pun relax je kat hospital aritu, dia pulun baca Selawat Nariyah 3,000 sehari engkau! Cukup 10 hari dia boleh keluar wad dan duduk seminggu kat rumah adik aku di Ampang. Jadi bolehlah dikatakan bahawa kombinasi faktor psikologi, ubat-ubatan medikal dan tradisional serta spiritual memang penting untuk memerangi virus ni. Itu fakta bukannya auta.
Gambar kat atas diambil minggu lepas, muka dah kurang terbakar dan ruam di dahi pun makin menghilang. Sakit kepala masih tetap datang sekali sekala, pasca-covid memang macam tu. Support system membuatkan aku kekal positif, jadi kalau ada orang di sekeliling kita yang disahkan positif covid-19, jangan lokek untuk berbagi semangat. Takde susah pun, bukannya kita kena berbagi suami atau isteri, ko rasa? Tak semestinya kena kongsi kata-kata motivasi, cukuplah kita bertanya khabar dan tumpang mendengar keluh kesah. Ambik peduli dan cakna, semoga diringankan beban di hati mereka.
Okay la, banyak dah aku membebel… terima kasih sudi baca, jaga diri semua! Assalamu’alaikum.
~ Nai @ Tak Pe Je.
Comments
Post a Comment