Kerana Allah Tidak Pernah Tidur

 Assalamu’alaikum. Hidup kita memang tak selalu indah, tapi itulah asam garam sebuah kehidupan. Alam pun begitu juga, kerana dunia ini hanya sementara dan kesempurnaan tiada di sini. Walau bagaimanapun, sebagai khalifah yang menyahut pelawaan Allah setelah sekalian makhluk lain tidak sanggup menggalas tanggungjawab, maka tiada jalan mahupun kaedah untuk kita mengelak, apatah lagi mengelat.. jauh sekali. 

Apa pun yang terjadi, kita hanya wajib meyakini bahawa Allah swt Maha Pentadbir dan segala-galanya akan baik-baik belaka. Sementara itu, selagi nafas masih dikandung badan, terus sahaja kita melangkah kerana kita tidak punya kuasa, tidak punya apa-apa jika tidak punya redha Yang Maha Berkuasa. 

Ingatlah, Allah tidak pernah tidur. Maka dengan itu, kekal yakin dan percaya bahawa setiap titis air mata sepanjang malam nan sepi akan ada ganjarannya kerana air mata juga adalah suatu bentuk doa. Air mata adalah doa yang kering di pipi, meresap ke hati dan berhimpun di syurga selagi redha Allah mengiringinya. 

Menangislah, tidak mengapa. Menangislah sehingga tangisan pun penat denganmu, lalu ia sebati dan menjadi damai bersama doa-doamu. Kerana tangisan itu terbit dari perasaan sedih, yang juga merupakan makhluk Allah sepertimu. Tuhannya juga sama seperti Tuhanmu, dan Dia TIDAK PERNAH TIDUR. 


~ Nai @ Tak Pe Je.

Comments

Popular posts from this blog

Mematikan Setem Hasil Di Hadapan Pesuruhjaya Sumpah

Dress Code Peguam Muslimah

Onak, Duri & Ranjau Kehidupan