Jom, ilmiahkan diri..

As salam. Kali ni terasa nak share 1 artikel yg ilmiah kat sini. Dalam usaha mengumpul mana-mana yang ada dalam simpanan, utk kepentingan bersama. Artikel ni sebenarnya kerja kursus yg diberi oleh lecturer, kira assignment diriku la, apa adanya. Cuma tak masuk la footnote sekali, jadi ayat2 qur'an tak appear la detail nye. Ada masa nanti akan update..

Soalan: Agama Islam Menuntut Keadilan dan Menentang Kezaliman. Jelaskan Peranan Peguam Syari’e Dalam Mematuhi Tuntutan Islam Tanpa Menggadaikan Kepentingan Hak Anakguamnya. Then, entered my answer, as follows:

MUKADDIMAH

Adil memberi maksud ‘Meletakkan hak pada tempatnya’ sebagai antonim kepada Zalim yang bermaksud ‘Tidak meletakkan hak pada tempatnya. Kedua-duanya mempunyai hubung-kait yang amat rapat kerana jika seseorang berlaku adil, maka dia tidak berlaku zalim. Demikian jugalah jika seseorang tidak berlaku adil, maka dia pada hakikatnya berlaku zalim. Semudah itu definisinya, yang selanjutnya menjemput dua implikasi yang jauh bertentangan antara satu dengan yang lain. Hanya ada dua persimpangan, yang mana sifat adil membawa manusia pada hari Kebangkitan nanti bersama rombongan ke syurga, manakalah sifat zalim pula membawa manusia bersama rombongan ke neraka.

Meletakkan prinsip keadilan dan akibat perlanggaran prinsip tersebut sebagai penanda aras dalam kerjaya, tugas dan beban yang menanti seorang peguam syari’e sudah pastinya bukan sesuatu yang mudah. Dalam pada menangani kemelut yang dihadapi anakguam, sejauh manakah seorang peguam syari’e dibenarkan pergi demi memastikan prinsip menentang kezaliman dan memperkasa keadilan itu tetap dipatuhi? Apa yang pasti, peguam syari’e perlulah sentiasa menepuk dada dan bertanya pada iman. Neracanya tetap akal fikiran, cuma harus sentiasa meletakkan keimanan kepada Allah swt sebagai teras yang paling utama agar jalan yang dilalui tidak akan terpesong dari kebenaran.

Keharusan Berlaku Adil

Seseorang individu pada asalnya bebas dari sebarang kesalahan (“Al-Asl Bara’at al-Dhimmah”). Oleh itu, sesiapa sahaja yang mendakwa bahawa haknya berada di tangan tertuduh sudah pasti berada dalam situasi yang bercanggah dengan zahir keadaan. Sedangkan si tertuduh menafikan hak tersebut dan prinsip asas jelas bersamanya, iaitu dia tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya.

Berdasarkan prinsip asas kehakiman tersebut, seorang peguam syari’e mempunyai peranan untuk membuktikan dakwaan anak guamnya jika dia bertindak bagi pihak Plaintif dengan mengemukakan segala keterangan yang relevan selagi ia tidak termasuk dalam kategori menghalalkan yang haram ataupun mengharamkan yang halal. Begitu juga keadaannya jika peguam syari’e tersebut mewakili Defendan dalam kes mal ataupun Orang Kena Tuduh dalam kes jenayah. Dalam apa jua keadaan, peguam syari’e seharusnya meletakkan prinsip keadilan di tempat yang paling tinggi agar tidak melakukan sebarang bentuk kezaliman terhadap mana-mana pihak. Ini kerana matlamat mutakhir seorang hamba Allah sebagai Khalifah di muka bumi ini adalah untuk mencapai keredhaan Allah swt. agar setiap perbuatan dan perlakuan dilimpahi barakah di dunia dan di akhirat kelak.

Kewajipan berlaku adil dan jujur ini telah diperincikan oleh Allah swt di dalam ayat Al-Qur’an yang bermaksud “Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu menjadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) kerana Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan”.

Allah swt di dalam ayat yang lain terus menitikberatkan kewajipan berlaku adil, iaitu “Wahai orang-orang yang beriman, jadilah kamu orang yang benar-benar menegakkan keadilan, menjadi saksi kerana Allah biarpun terhadap dirimu sendiri atau ibu-bapa dan kaum kerabatmu. Jika ia (orang yang didakwa) kaya ataupun miskin, maka Allah lebih tahu kemaslahatannya. Maka janganlah kamu mengikuti hawa nafsu kerana ingin menyimpang dari kebenaran. Dan jika kamu memutar-belitkan (kata-kata) atau enggan menjadi saksi, maka sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui segala apa yang kamu kerjakan”.

Jujurlah Pada Hati

Bagaimana harus seorang peguam syari’e membezakan antara memenangkan kes anakguam dengan menggunakan apa sahaja cara yang dibenarkan syarak dan mengelak daripada menuruti hawa nafsu lalu membuat perbuatan yang dikategorikan berdosa? Barangkali Hadith sahih berikut boleh dijadikan teladan dan sempadan:

Dari al-Nawwas bin Sim’an (r.a) dari Nabi s.a.w sabdanya: “Kebaikan itu adalah elok budi pekerti. Dan dosa itu adalah apa yang tergetar dalam dirimu dan kamu enggan perbuatannya diketahui orang lain”. (Riwayat Muslim).

Dari Wabisat bin Ma’bad (r.a) katanya: Aku datang kepada Rasulullah s.a.w lalu baginda bertanya: “Engkau datang bertanya tentang kebaikan?” Aku menjawab: “Ya”. Baginda berkata: “Mintalah fatwa hatimu. Kebaikan itu adalah apa yang mententeramkan dirimu dan mententeramkan hatimu juga. Dan dosa itu adalah apa yang bergetar dalam diri dan ragu dalam dada, sekalipun dikhabarkan sebaliknya kepadamu oleh manusia”. (Riwayat Imam Ahmad bin Hanbal dan al-Darimi).

Hadith tersebut menggambarkan dosa itu sebagai getaran dalam hati, iaitu jauh di lubuk hati yang paling dalam kita sejujurnya arif dan tahu bahawa ia sesuatu yang salah untuk dilakukan dan seboleh-bolehnya ingin menyembunyikannya daripada pengetahuan orang lain. Oleh yang demikian, seorang peguam syari’e perlu bersikap jujur terhadap diri sendiri dan sedaya-upaya mengelak daripada melakukan apa sahaja perbuatan yang sudah diketahui halal-haramnya semata-mata untuk memastikan kejayaan tuntutan mahupun pembelaan anakguamnya.

Peguam Syari’e: Peranan & Dilema

Persoalannya, adakah seorang yang memang diketahui benar-benar bersalah tidak boleh diwakili oleh seorang peguam syari’e? Adakah peguam syari’e tersebut menanggung dosa kerana mewakili tertuduh yang memang diketahui bersalah sejak awal lagi? Mungkin kita perlu menyingkap sejarah perundangan Islam pada zaman Rasulullah dan para sahabat sebelum terburu-buru menjatuhkan hukuman terhadap peguam syari’e tersebut.

​Saidina Ali karamallahuwajhah adalah contoh peguambela yang terhebat pada zaman kegemilangan Islam, dimana beliau menggunakan ilmu pengetahuan dan kepakaran dalam pelbagai bidang untuk mengupas kes-kes rumit yang pada dasarnya kelihatan seolah-olah tidak mempunyai harapan untuk menang. Berikut adalah contoh kes-kes klasik yang jelas membuktikan kehebatan Saidina Ali berhujah dan membuktikan kebenaran tanpa melanggar hukum syarak mahupun menggadaikan kepentingan anakguamnya:

1) Seorang wanita didapati bersalah atas tuduhan berzina kerana hamil tanpa nikah. Saidina Ali bertindak sebagai peguambela dan berjaya membuktikan bahawa wanita tersebut terpaksa menyerahkan kehormatannya dalam keadaan darurat kepada seorang pengembara yang mempunyai bekalan susu. Dalam perjalanan yang jauh di padang pasir, dia terjumpa pengembara tersebut dan berkali-kali meminta diberikan sedikit minuman. Melihatkan keadaannya yang terdesak itu, pengembara tersebut menangguk di air yang keruh dan mensyaratkan agar wanita malang tersebut menyerahkan dirinya sebagai ganti segelas minuman. Khalifah Umar r.a menerima hujah atas dasar darurat dan seterusnya melepaskan wanita tersebut daripada hadd zina walaupun empunya badan mengaku bersalah.

2) Seorang lelaki diheret untuk dihukum atas dakwaan memperkosa seorang wanita. Saidina Ali memohon perintah penangguhan pelaksanaan hukuman dan memeriksa kesan yang didakwa wanita tersebut sebagai air mani, dengan menggunakan air panas mendidih dan seterusnya membuktikan kesan tersebut adalah putih telur yang sengaja diletakkan oleh wanita tersebut dengan tujuan memfitnah. Kemudian, Khalifah Umar r.a telah membebaskan lelaki tersebut dan menghukum wanita tersebut atas kesalahan hadd qadhaf.

3) Seorang lelaki membuat pengakuan bahawa dirinya adalah dari kalangan mereka yang suka kepada fitnah, benci kepada kebenaran dan membuat kesaksian di atas perkara yang tidak dilihatnya. Khalifah Umar r.a mengarahkan lelaki itu dipenjara. Saidina Ali meminta hukuman itu dibatalkan dan mengupas kata-kata lelaki itu dari sudut yang berbeza, iaitu fitnah yang dimaksudkan adalah harta dan anak-anak sepertimana Allah berfirman bahawa kedua-duanya adalah fitnah (Al-Taghabun 64: 15). Manakala kebenaran yang dibenci itu adalah kematian. Kesaksian itu pula merujuk kepada naik saksi bahawa Nabi Muhammad itu pesuruh Allah sedangkan dia tidak pernah melihatnya. Lalu Saidina Umar telah membebaskan lelaki tadi berlandaskan pembelaan yang telah dilakukan oleh genius undang-undang, iaitu Saidina Ali.  

Berdasarkan kisah-kisah di atas, terang lagi bersuluh bahawa seorang peguam syari’e tidak perlu meminggirkan hukum syarak semata-mata untuk membebaskan anakguamnya daripada dakwaan dan/atau hukuman. Apa yang paling utama adalah ilmu pengetahuan dan kerja-kerja siasatan yang perlu diterjemahkan dalam keterangan dan pembuktian sesuatu kes. Tidak perlu menggunakan taktik-taktik kotor untuk mencapai hasrat tersebut sekiranya peguam syari’e benar-benar tulus menjalankan tanggungjawab yang telah diamanahkan oleh anakguamnya. Ini kerana tidak semestinya peguam syari’e perlu memutar-belitkan fakta atau kata-kata untuk memastikan kemenangan kes. Buktinya, Saidina Ali bergantung sepenuhnya kepada kepandaian dan kemahirannya dalam pelbagai bidang dan ilmu pengetahuan tanpa perlu menipu walaupun sedikit.

Terpulanglah kepada Niat

Dalam masa yang sama, sekalipun peguam syari’e mengetahui status sebenar anakguamnya, adalah tidak menjadi kesalahan jika beliau terus mewakili anakguam tersebut kerana setiap individu mempunyai sebab dan penerangan tersendiri yang perlu diketengahkan kepada Mahkamah agar keadilan yang sewajarnya dapat dilaksanakan. Ini sebenarnya berkait-rapat dengan tugas peguam syari’e sebagai pembantu hakim dan terpulanglah kepada niat sebenar peguam syari’e itu sendiri. Selagi beliau tidak sampai ke tahap menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal, maka siapalah kita untuk menuding jari dan menjatuhkan hukuman terhadapnya.

Imam Nawawi dalam himpunan Hadith 40 (Hadith yang pertama) menyentuh soal Niat, iaitu Dari Amir-ul-Mukminin Abu Has ‘Umar Ibn Khattab r.a katanya: Aku mendengar Rasulullah saw bersabda: “Hanya segala amal dengan niat dan hanya bagi tiap-tiap seorang apa yang ia niatkan”. (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim).

​Imam Syafi’e dan Imam-imam yang lain berpendapat bahawa hadith ini perlu dibaca bersama-sama dengan dua lagi hadith yang mana ketiga-tiganya membentuk agama Islam itu sendiri, iaitu seperti berikut: 

“Sesungguhnya yang halal itu nyata, dan yang haram itu pun nyata”

“Daripada keelokan Islam seseorang adalah meninggalkan apa yang tidak berguna kepadanya”.

Niat menurut istilah syarak ialah tergerak hati ke arah satu pekerjaan untuk mencari keredhaan Allah dan menyatakan perasaan tunduk dan patuh kepada perintah-Nya. Ia adalah keikhlasan atau kejujuran dalam melaksanakan sesuatu perbuatan. Pendek kata, niat yang terlintas di hati adalah punca yang menentukan kesan sesuatu perbuatan. Mulia niatnya, maka mulialah amalnya. Jahat niatnya, maka jahatlah amalnya meskipun amal itu pada dasarnya mulia.

Walau bagaimanapun, harus diingat bahawa hukuman dalam perundangan Islam kebanyakannya berbentuk ‘exemplary’ ataupun memberi teladan, baik kepada pesalah mahupun masyarakat sekeliling. Bahkan Islam juga turut memberikan peluang kepada para pesalah untuk bertaubat dan menyesali perbuatan yang telah dilakukan terdahulu. Di sinilah peguam syari’e boleh berperanan untuk mengupas keadaan-keadaan mendesak, sebab-musabab dan penjelasan sebenar yang mendorong anakguamnya melakukan kesalahan dan/atau jenayah itu sendiri. Apabila ini berjaya dilakukan dengan penuh dedikasi, tanggungjawab dan amanah, maka sudah pasti ia akan membantu hakim untuk menjatuhkan hukuman yang setimpal dan secara tidak langsung telah benar-benar memberikan peluang kepada hakim tersebut untuk melaksanakan tugasnya pula dengan penuh dedikasi, tanggungjawab dan amanah juga. Ini kerana para hakim bertanggung jawab untuk memutuskan sesuatu kes berdasarkan keterangan dan bukti yang dikemukakan kepadanya, yang mana peguam syari’e mempunyai peranan penting memastikan perkara tersebut dapat dilaksanakan dengan penuh kewajaran.

Pengamatan ini sesuai sekali dengan hakikat bahawa seorang hakim perlu setiap masa mengagungkan keadilan itu sendiri dalam memutuskan sesuatu kes yang dikemukakan di hadapannya, sepertimana disebut di dalam Hadith yang bermaksud:

Dari Ummu Salamah, bahawa Nabi saw bersabda: “Aku ini hanyalah manusia biasa, sedang kamu mengadukan perkara kepada aku. Barangkali sebahagian kamu lebih pintar berhujah daripada yang lain, lalu aku memutuskan berdasar apa yang aku dengar. Oleh sebab itu siapa yang dengan keputusanku mendapatkan hak saudaranya, maka janganlah menerimanya, kerana apa yang diputuskan untuknya itu adalah bererti sepotong api neraka.”
(Sunan Abu Dawud kitab Al-Aqdiyah Vol 3 h. 1016)

Sebenarnya, seringkali kita terlupa tentang peranan peguam syari’e sebagai pembantu Mahkamah. Bahkan dalam kebanyakan hal, mereka adalah salah seorang pegawai Mahkamah yang tidak menerima gaji daripada kerajaan, tetapi diberikan upah oleh anak-guam masing-masing. Mereka mempunyai tanggungjawab yang lebih bersifat khusus, iaitu sebelum, semasa dan selepas perbicaraan.

Peguam syari’e boleh memainkan peranan yang pro-aktif sebagai perunding-cara, mediator mahupun hakam sebelum perbicaraan bermula. Jika kena caranya, kes boleh diselesaikan di luar mahkamah tanpa perlu dipanjangkan ke peringkat litigasi. Ini sudah pastinya menjimatkan masa pihak-pihak dan masa Mahkamah selain menjimatkan kos litigasi itu sendiri. Ia secara tidak langsung akan mengelakkan permusuhan yang berpanjangan antara pihak-pihak bertelagah kerana masing-masing mendapat apa yang dihajati secara persetujuan bersama. Kaedah penyelesaian di luar Mahkamah sebegini adalah jauh lebih baik berbanding dengan sama-sama cuba menegakkan benang yang basah di muka pengadilan. Ini adalah kerana tidak ada mana-mana pihak pun yang sebenarnya menang atau kalah dalam perspektif kes-kes di Mahkamah Syariah. Pokok-pangkalnya kemaslahatan semua pihak boleh diselesaikan dengan meletakkan Hukum Syarak sebagai panduan dan matlamat akhir.

Peguam Syari’e juga perlu mengambil inisiatif untuk menggali duduk perkara sebenar sesuatu kes sebelum diteruskan ke peringkat yang lebih tinggi. Sepatutnya tidak perlu timbul soal hanya anakguam mereka berada di pihak yang benar dan pihak lawan memang sah-sah di pihak yang salah. Sikap professionalism amat perlu diterapkan agar tidak terbawa-bawa dengan pertelingkahan anakguam itu sendiri, bahkan seharusnya peguam syari’e harus bijak mengawal keadaan dan membimbing anakguam mereka sepraktikal yang mungkin.

Sehubungan dengan itu, peguam syari’e sewajarnya sentiasa mengingatkan diri mereka sendiri betapa prinsip keadilan Islam adalah lebih baik melepaskan 10 orang yang benar-benar bersalah daripada menghukum seorang yang benar-benar tidak bersalah. Justeru, jika diamati betul-betul, peguam syari’e berperanan untuk menyiasat duduk perkara sebenar agar keterangan yang dikemukakan itu sejelas mentari, sebagaimana yang telah diperuntukkan oleh kaedah bayyinah atau pembuktian itu sendiri.

 Berakhir la sudaa jawapan itu. 
 ~ Ilmiahnya... Eheheh. ~ 




Comments

Popular posts from this blog

Mematikan Setem Hasil Di Hadapan Pesuruhjaya Sumpah

Dress Code Peguam Muslimah

Onak, Duri & Ranjau Kehidupan