Kad Laporan & Doa Warisan

Baru-baru ni aku ambik Kad Laporan anak kat sekolah. Patutnya big boss yang pergi dan aku kena pergi tempat lain. Tapi dah dapat MC sakit mata, kena la kensel program aku. Dah ada kes PEKIDA mana entah gaduh, kena la mamat tu temankan klien dia. Kena la pulak aku gantikan dia amik Kad Laporan. Macam berlagak la sangatnya, tak bukak-bukak spek hitam macam artis. Masa tunggu giliran, banyak ragam dan reaksi ibu-bapa yang aku dapat tengok. Pelik pun ada, sebab macam aku relax sangat. Ada yang tanya, aku tak berdebar ke? Ha'ah kan, aku tak berdebar pun, baru aku perasan. Tapi, nak berdebar menda nya? Darjah 1 je pun. Semester 1 pulak tu. Aku tak ada expectation apa-apa. 

Ada parents ni keluar je dari jumpa cikgu kelas dan dapat Kad Laporan, nampak tension sangat dan carik cikgu-cikgu untuk dua-tiga subjek yang gamaknya anak depa lemah. Bagus la, maknanya depa prihatin. Alhamdulillah. Aku lepak je, sibuk duk layan anak yang memang banyak nau soalannya. Sambil facebooking dan ber'bbm'. Jenuh jugak nak sampai giliran aku, padan muka datang lambat. Tapi rasanya kalau turun awal sangat pun lagi panjang Q. Masa aku duk menunggu tu pun ada lagi parents yang baru sampai. Ada yang bergegas pergi bayar yuran lagi, tak nak lepaskan peluang ambik Kad Laporan anak masing-masing.

Tiba giliran, aku masuk sorang-sorang, disambut oleh Teacher Siti yang sangat mesra rakyat. Terjongol pulak kepala si junior kat pintu, tersengih-sengih mintak nak masuk sama. Aku nak protes sebab kononnya ikut prosedur anak-anak kena duk luar je. Tapi Teacher Siti beriya-iya la pulak mengajak, si mamat tu apa lagi, kan? Oh! Sungguh serius wajah Teacher Siti masa serahkan Kad Laporan anakku, naik takut pulak rasanya. Dengan penuh kebimbangan dia tunjukkan satu-persatu keputusan Encik Junior, ditekankan 2 subjek yang paling rendah markahnya, iaitu Bahasa Arab dan Imlaa'. Junior pun tunduk aje sebelah aku, kejap-kejap nampak sendeng ke bahu mummy. Muka bersalah gila budak tu, tau cikgu dia duk komplen.

Sekali lalu aku pandang markah-markah Junior. Maklum la, pakai spek hitam. Kebetulan pulak mata tengah bengkak, conjunctivitis. Bukak karang, tak mengajar cikgu tu seminggu dua, berjangkit. Jap-jap itu la aku rasa terharu, elok je keputusan budak tu. Nak sibukkan dia 'lemah' Bahasa Arab kenapa? Baru berapa bulan dia kenal subjek tu.. Lain la nenek dia orang Arab, atuk dia orang Sudan. Bila aku terpandang markah Bahasa Mandarin dia, aku lagi rasa terbuai, padahal dia kenal subjek tu masa skolah kat Smart Reader Kids tahun lepas. Ikut logik akal, tahun depan meningkat la Bahasa Arab dia tu, alahai Teacher Siti...! Dia punya menggelabah macam la budak tu nak mintak keja esok. Tak sedar tiba-tiba aku dah peluk anak bertuahku itu. Baru nampak dia lega sket. Teacher Siti pun nampak lega. Agaknya dia saspen kot-kot aku komplen ke ape ker, jadi baik dia yang terlebih explain dulu. Agaknya la... Heheheh.

Masa berhenti kat traffic light, aku hantar mesej kat big boss. Kasik full results anak dia. Selang setengah jam kemudian dia sampai rumah. Nampak macam terharu pun ada, macam tak percaya pun ada. Tetiba aku teringat janji nak belikan budak bertuah tu komputer kalau dia dapat elok exam. Aku pun takde la maksudkan sangat actually masa janji tu. Saje bagi alasan penangguhan bila dia tanya boleh tak nak komputer masa birthday. Bukan apa, bertambah la satu lagi medium dia main game. Dia memang diajar kena deserve apa-apa yang dia mintak. Berkesan jugak rupa-rupanya. Maklum la, mak ayah dia ni dulu bukan senang nak dapat apa-apa, kena usaha cari dan dapatkan sendiri. Kalau senang sangat dia nak dapat apa-apa, mana aci? Kena la ada motivasi sket. Mana boleh main petik je semua dapat.. amboi..!

Tapi sebenarnya kan, aku rasa berbaloi sangat. Baru sikit 'pencapaian' dia. Itu pun dah kembang satu taman dalam hati. Aku cakap la kat dia, aku terima kasih sangat dia buat elok kat sekolah. Sebab aku dengan ayah dia kerja tunggang terbalik untuk dia. Bukan senang pun ayah dia nak adakan ongkos bayar yuran semester dia. Insurans dia lagi. Agaknya sebab tu mamat tu terdiam macam mamai pun ada dapat Kad Laporan. Hehehe. Aku tau, dia mesti rasa macam aku jugak. Syukur Alhamdulillah. Mudah-mudahan anak aku terus menggembirakan hati. Macam yang selalu aku pesan tiapkali berleter bila dia buat salah: Mummy tak mintak apa-apa pun dari awak. Cukuplah jadi anak yang baik, macam Mummy selalu cuba jadi emak yang terbaik untuk awak. Mak ai.. seriusnya bunyi, kan? Tapi itu la yang selalu aku cakap kat dia. Paham ke tidak aku pun tak sure. Yang penting, aku dah cakap. Selalu cakap. Akan terus cakap.

Dua hari lepas dia sibuk pegang tapak kaki aku kat meja masa dinner. Mata dia direct pandang aku, syahdu je. Ayah dia tanya kenapa. Jawabnya: Teacher cakap syurga ada kat bawah tapak kaki Mummy, kita je tak nampak. Aku tak tau nak gelak ke nak nangis. Nak nyakat dia nampak macam bening sangat mata. Even ayah dia pun terdiam. Dalam hati, terdetik satu rasa. Anak.. mummy tunggu doa awak buat bekalan hidup di sana. Amin.








Comments

Popular posts from this blog

Mematikan Setem Hasil Di Hadapan Pesuruhjaya Sumpah

Dress Code Peguam Muslimah

Onak, Duri & Ranjau Kehidupan