Ketika Duka
As salam. Bila ada kematian aku tersedar. Betapa lelaki itu memang lebih perkasa dalam banyak perkara. Dari segi emosi terutamanya. Dari segi kudrat sudah tentunya. Saat itulah akan terserlah asal kejadian, fitrah mereka. Untuk melindungi. Untuk mengepalai. Sebagai nakhoda.
Dan dalam masa yang sama, aku turut tersedar. Betapa lelaki itu dalam kegagahan seorang nakhoda, sebenarnya amat memerlukan sokongan wanita. Dengan kelembutan. Walau hanya sebuah senyuman. Atau sekadar dengan sorot pandangan yang penuh pengertian. Tanpa kata-kata pun tak mengapa. Akan tetap tersampai pesanan. Bahawa dirinya disayangi. Dihargai. Dicintai. Oleh pasangannya. Kerana sesungguhnya walaupun mungkin tak meratapi, walau kelihatan tidak terkesan dengan keadaan, di hati mereka sarat dengan kepiluan. Cara meluahkan saja membezakan. Wanita menangis habis-habisan, mereka juga begitu. Cuma tangisan mereka sepi di pandangan khalayak, menggila di jiwa.
Dengan itu, sesungguhnya lelaki dan wanita saling lengkap-melengkapi. Hidup berpasangan pun begitulah. Sejauh mana keistimewaan yang disyukuri, kekurangan juga harus dikompromi. Mana mungkin segalanya sempurna. Sedangkan kesempurnaan itu tak pernah menjadi milik yang dinamakan insan. Kita cuma mampu berusaha sedaya mungkin untuk menjadi sempurna. Yang mengizinkan tetap Dia. Setakat yang diizinkan, terimalah dengan hati yang terbuka. Usaha itu yang lebih utama, sekurang-kurangnya bukan hanya menadah tangan menunggu bulan jatuh ke ribaan. Apa adanya, bersyukurlah. Kembali lagi kepada hakikat: Kesempurnaan hanya milik Yang Esa.
Sekian, untuk renungan kita bersama...
Usah Dinanti Yang Tak Pasti... |
Comments
Post a Comment