Arkib Seminggu, Awal Ramadan
Assalamu'alaikum. Ramadan sudah bermula, apa khabar korang semua? Tahun ni awal-awal lagi dah terasa perit dugaan, maklumlah ekonomi makin merudum dan menjejaskan segenap lapisan sektor dan profesion, terutamanya servis. Hampir semua orang yang aku kenal mengadu benda yang sama, rata-ratanya mengeluh lambat dapat payment daripada klien. Kitar hidup kan macam tu, satu lapis terjejas, lapisan lain akan terjejas sama, sebabnya hidup kita ni kan saling perlu memerlukan antara satu sama lain. Dan dalam keadaan kronik sebegini, sabar memang wajib dilipatgandakan.
Walau bagaimanapun keadaannya, kita perlu terus menghadapi setiap hari yang mendatang dengan penuh tenang kerana segala-galanya berada dalam kekuasaan Yang Maha Kuasa. Serahkan seluruh kepercayaan kepada-Nya, nescaya akan ada jalan penyelesaian dari mana-mana pintu misteri. Bimbang itu biasa, kerana itu ada sifat kita sebagai manusia, yang sudah pasti resah akan sesuatu yang tak pasti. Tapi itu semua tidak ada dalam kamus Yang Maha Mengetahui, sementelah pula segala yang di langit dah di bumi adalah milik-Nya. Jadi, sempena Ramadan yang mulia ini, apa kata kalau kita belajar meminggirkan apa jua kebimbangan dan keresahan, letakkanlah seluruh jiwa dan raga di bawah pengendalian-Nya? Dialah sebaik-baik pentadbir, kan?
Anyways, seperti biasa Ramadan bagi aku bermakna lebih banyak mengenakan dress dan tudung sarung, senang nak bawak solat. Masa ni la tudung-turung sarung Mosscrepe yang aku beli kat Shopee nak bawak pergi umrah hujung tahun lepas boleh digunakan sepenuhnya. Setakat ni, aku ulang pakai sehelai tudung dua hari berturut-turut, sebabnya nak bagi ringan kerja bibik yang berganda sepanjang Ramadan. Lagipun bukan kotor pun, takat bawak pergi ofis dan ambik anak sekolah.
Pagi Ramadan kedua aku sakit betul kepala, ngantuk toksah cakap la, berapa kali nak terbabas kat MRR2. Sindrom kurang caffein dalam badan, biasalah awal-awal Ramadan, sistem badan masih belum sesuai dengan keadaan. Punyalah sakit kepala, balik rumah terus terbaring atas sofa, urut-urut sendiri belakang kepala, alhamdulillah lega dan boleh naik mandi manda, siap-siap masuk ofis. Tapi takde memori kat mana letak spek sebelum baring. Nasib baik ada spek lama yang masih sama power dan elok lagi nak pakai. Lepas ambik anak petang tu, aku ajak dia teman pergi cari aiskrim waffle dari Jepun kat Family Mart. Azieq google outlet terdekat, kami sama-sama menuju Setapak menggunakan aplikasi Waze. Sampai situ, takde mendanya, frust tak tau nak cakap. Azieq ajak try outlet lain pulak kat Taman Bunga Raya. Alhamdulillah kat situ ada, RM7.17 sekeping, beli semua 9 stok yang ada sebab alang-alang dah jumpa tempat. Budak bertuah tu beli jugak onigiri, siap makan masa iftar. Aku rasa sket, boleh tahan jugak sedapnya dan kenyang sekata, maklumlah pulut dibalut rumpai laut dan isinya ikan salmon.
Hari ketiga Ramadan aku pakai tudung Mosscrepe warna maroon, jodoh dengan matching dress yang aku beli beberapa tahun lepas kat Dataran Jelatek. Demam selesema hari ni, tekak rasa perit dan badan membahang, perut pun memulas lain macam. Sejak serasi makan ubat herba AK Sines, dah lama aku tak demam, bersin pun dah takde. Bila datang balik bersin ni, baru tau betapa nikmatnya tak diserang sinus. Mesti sebab bahang cuaca panas dan hujan setiap hari, kalah jugak aku dengan perubahan suhu alam sekitar. Malam tu terpaksa jugak telan ubat selesema, ponstant, allergik dan panadol. Apa lagi, pengsan la.
Bangun pagi ni dah elok, alhamdulillah. Tekak masih perit, telan air liur terasa payau tapi takde la miserable semacam je, jiwa kacau. Oh ya, aku ulang pakai tudung warna maroon pulak hari ni, esok baru pakai yang lain. Bila dijodohkan dengan jubah hijau, tak nampak macam pakai tudung semalam dalam gambar, terus ada kesan khas tona lain. Lighting pun memainkan peranan penting, sebenarnya.
Esok tak boleh janji ada gambar, tapi sebab nak post dah entry ni sekarang, kalau ada esok aku update. Kira arkib 4 hari la, bukan seminggu sangat pun. Terima kasih sudi baca sampai habis, semoga ibadah puasa kita semua diterima dan diberkati-nya. Ameen.
~ Nai at Tak Pe Je.
Comments
Post a Comment