Landasan Utara Ke Sempadan Thai
Assalamu'alaikum. Lama tak update blog, mereput bersawang karang jenuh nak renovate. Ogos baru beranjak pergi, memahat 1001 cerita suka dan duka di lembaran hari. Sempena bulan kemerdekaan dan ulangtahun kelahiran, aku memerdekakan diri dengan bermusafir ke utara buat pertama kalinya tanpa ditemani anak dan suami. Dengan tiket kombo LRT ke Putra Heights RM10, aku gerak lepas solat asar dari rumah. Sesampainya di Putra Heights, bas Rapid ke KLIA2 baru je berlalu pergi, 6.30pm tepat. Silap aku jugak tak check dulu jadual kekerapan bas perantara itu, kan? Kalau tunggu trip 7pm takut tak sempat kejar waktu boarding 7.25pm sebab perjalanan mengambil masa 40 minit lebih kurang. Maka aku panggil MyCar datang, semput-semput je sampai 7.25pm kat airport. Aku berlari la kan, takde makna nak catwalk jaga ayu bagai, ko rasa? Dalam hati berpesan: Lain kali toksah duk berkakilebar sangat la masuk ofis lama-lama, dah tau nak kejar flight 8.05pm!
Saspen gila keadaan masa tu weh, dah la kawan aku si Ana duk kejap-kejap tanya sampai mana. Aku suruh dia masuk dulu, sementara aku gesa abam driver tekan minyak lebih sikit. Bila dah selamat scan beg segala, tersengih Ana menyambut aku dengan Samsonite merah saiz kabin. . Elok sangat untuk aku tumpang letak weekender bag merah yang aku sayangi kat atas. Masa tu dah rasa menyesal tak bawak beg beroda, konon nak travel light sangat kan? Haaa padan dengan muka!
Aku pergi konvensyen ni la, berkenan dengan tajuknya sebab memang berkait rapat dengan kerjaya dan minat aku sejak dulu. Selebihnya adalah sebab aku nak bagi cuti kepada diri sendiri daripada menguruskan semua orang, boleh? Maklom nak rehat, hokeh... Sila jaga diri masing-masing seketika. Nampak tu mata dah tertutup separuh? Ngantuk gila masuk majlis ilmu, cuba tengok konsert 20 tahun Dayang Nurfaizah, tersembur biji mata segar bugar!
Konvensyen ni mendapat sambutan yang luar biasa dan bukan sedikit yang sanggup bersusah payah mampir ke Kepala Batas sehari sebelum ataupun pagi-pagi hari kejadian. Antara yang bukan dari utara:
Selesai majlis, Ana tak nak makan ramai-ramai orang, segan katanya, jadi kami meneruskan perjalanan menuju Penang Sentral dengan menaiki bas Rapid Penang kat depan Hotel Seri Malaysia Kepala Batas, tempat konvensyen. Mak ai lama tak naik bas banyak perhentian, jenuh aku pening lalat nak sampai ke destinasi terakhir. Singgah makan kat Restoran Iqbal dalam Penang Sentral, rupa-rupanya char kuey teow dia sedap gila, hokeh? Tak tau la kot sebab perut tengah lapar tahap boleh telan kerbau, tapi sedapnya alahai!
Ana asalnya ajak pergi Danok makan tomyam, memang dah standby bawak pasport dengan niat nak masuk Siam lepas acara utama. Eh sekali dia tukar nak pergi Hatyai pulak semalaman, aku on aje dah alang-alang jadi bujang kejap, kan? Maka dengan tambang RM9.10 seorang, kami menaiki komuter ke Padang Besar. Solat jamak qasar zuhur dan asar siap-siap di surau Penang Sentral, sampai sana karang confirm dah tak sempat.
Suci je muka lepas solat, masuk mekap tak payah guna filter. Hahha. Konfiden mesti mau lebih, kan?
Kami berdua lama sangkut kat Kastam, menunggu 2 orang wanita Indon yang sama2 naik kereta sapu dari Stesen Keretapi Padang Besar yang ditahan. Macam2 cekadak supervisor mintak, kena print tiket flight balik la, tunjuk duit 1000 bhatt la, mak nenek la, hanya untuk penyelesaian dan pengakhiran yang dipersetujui bersama. Disebabkan itulah maka kami lambat sampai ke Hatyai, malas nak makan beriya, pukul 10.30pm dah kot! Makan kuey teow sup daging je kat gerai tepi jalan, dengan air laichi-kang sejuk. Pun dah letop!
Balik hotel, mandi manda, solat dan apa lagi, tidur la kan? Hati terasa berat, tak pernah pergi jauh macam ni sorang tapi takpe la, ada masa dan ketikanya kita kena jugak belajar mementingkan diri sendiri. Orang pun tak pernah merasa aku jauh, kan.. Sampai bonda tidur lewat malam duk sibuk wassap dengan aku padahal baru kejap aku takde. Kanda dengan anakanda toksah cerita la kan, takpe bukannya aku nak migrate kat Hatyai pun.
Bangun pagi, breakfast pancake kat McD dan minum kopi McCafe yang sedap tu.. Barista depa pandai brew kopi ikut citarasa aku. Ana suka Starbucks lagi, tapi aku pilih McCafe. Rasa Arabica yang ketara, lain sekali dengan yang selalu aku brew sendiri di rumah dan pejabat, tapi cara penyediaannya cukup konsisten di hampir kesemua outlet. Memang tabik spring kat semua barista McCafe!
Kami check out jam 12 tengahari waktu tempatan selepas melembutkan segala urat dawai sejam setengah, mintak guna minyak aroma terapi untuk mengelakkan berbau kedai urut sampai ke Malaya.
Posing wajib of kos la menampakkan senario di bandar Hatyai...
Tak banyak tempat boleh singgah makan, waktu pun terhad.. Namanya quick getaway, apa lagi yang nak expect? Lagipun nak kena kejar masa, flight balik KL dari Penang jam 11.05 malam. Member ada hati nak ke Batu Feringghi sana, jenguk Hard Rock Cafe semata-mata nak beli t-shirt buat koleksi peribadi. Aku layankan aje, takde hal... Spesis laki aku jugak ni, pengikut HRC nan tegar.
Elok je beli tiket kat Stesen Bas Hatyai, rezeki kami ada sebuah van penumpang yang tengah kutip tiket cukup untuk 2 tempat duduk terakhir menuju ke Padang Besar. Tambangnya 50 bhatt seorang, jauh lebih jimat daripada naik kereta sapu 200 bhatt seorang. Kalau korang sampai lepas jam 6pm, van dah tak beroperasi dan kalau nak naik, kena charter sebiji terus, dalam 1000 bhatt. Jadi, seboleh-bolehnya eloklah rancang perjalanan supaya sempat sampai di Padang Besar sebelum jam 6pm, ya kawan-kawan. .!
Sedang elok sampai jam 5pm di Stesen Keretapi Padang Besar, kami beli tiket komuter menuju ke Penang Sentral untuk perjalanan jam 5.25pm. Sempat la solat jamak qasar zuhur dengan asar dulu sebelum meneruskan perjalanan, alhamdulillah syukur dipermudahkan segala urusan quick getaway kami berdua!
Tolak campur waktu yang bersisa, kami naik grab ke Batu Feringghi meredah jalan jam di Jambatan Pulau Pinang dan sampai hampir jam 8pm, lebih daripada cukup untuk memilih T-shirt dan bergambar kenang-kenangan di hadapan HRC dan HRH.
Seronok Ana, dapat semua yang dihajati sebab Kak Nai "tak sibuk kasi alasan dan selalu cari jalan nak penuhi checklists", katanya. Aku senyum aje tumpang bahagia la kekdohnya. Lagipun inilah pengalaman pertama aku berjalan jauh dengan orang lain tanpa ditemani suami dan anak, of kos takkan mungkin dilupakan sampai bila-bila. Kebetulan pulak dapat travel partner yang sekepala dan menyenangkan hati. Atas segalanya, aku berterima kasih pada dia dan sudah tentu pada Ilahi...
Sebelum mengundur diri, meh belanja hasil tangkapan di HRC meh. ..
Nai @ Tak Pe Je.
Comments
Post a Comment