Demam Air Fryer
Assalamu’alaikum. Dulu aku tak gemar masak guna air fryer, sebab jenuh nak menunggu, memang tahap tenuk kemalasan aku bab menunggu di dapur ni. Apa tak nya, 40-50 minit nak siap kentang goreng, appo?! Tapi itu dulu, zaman air fryer belum ada fungsi kawal suhu macam zaman sekarang. Dah takde masalah menunggu bulan jatuh ke riba segala, 10 minit dah boleh makan pizza, ko rasa?
Memandangkan aku tak kuasa nak menguli tepung nak buat pizza seperti yang sepatutnya, aku pun ikhtiar cari alternatif lain. Salah satu caranya, beli saja pizza crust (aku pilih yang wholemeal) yang banyak dijual di pasaraya. Resipi boleh google, bersepah ada tinggal pilih je. Macam dalam gambar kat atas, aku upcycle daging bakar yang disimpan dalam peti 2 hari, baki BBQ bertiga hari tu, gunting halus-halus, tabur atas permukaan kerak pizza yang dah dilumur sos Prego. Layer dengan hirisan bawang, capsicum, sosej dan keju parmesan. Tetapkan suhu 160 darjah + 10 minit, pergi la buat hal sendiri mengelamun bercinta mahupun memeluk tubuh, kejap lagi siaplah pizza tu.
Korang boleh je pilih jenis mana yang sesuai dengan bajet, berlambak dah orang jual kat internet. Kalau takat nak goreng nugget dengan french fries, tak payah beli yang mahal-mahal sangat, lagipun bukan selalu guna, kan? Tapi kalau korang memang jenis tiap-tiap hari gunakannya demi menjaga kalori ataupun tahap pengambilan minyak dalam hidup ini, maka adalah lebih baik pilih yang tahan lasak. Tinggal lagi, buatlah keputusan ikut keperluan dan kemampuan semasa. Kalau rasa tak urgent, boleh jugak berdikit-dikit simpan duit dulu dan pelan-pelan beli kemudian hari. Bukan apa, ibaratnya kita beli mini oven yang mudah diusung ke sana ke mari, lebih jimat elektrik kalau takat nak bakar ayam 5, 6 ketul ataupun seekor terus. Oven kan lagi besar, tahap penggunaan elektrik juga turut besar. Maka, adalah lebih berhemat guna air fryer... dan lebih sihat lagi menyihatkan.
Nanti boleh buat roti rangup macam makan kat kopitiam dalam masa 10 minit saja, menarik kan? Sapu butter depan belakang, bukan susah pun. Kalau kat dapur ada lauk tengahari yang sesuai, lagi meletup makan bersama roti nan rangup itu tadi. Panas-panas ni, buat sekali milo ais ke cokelat ais ke teh ais ke, apa-apa ais la ikut selera korang. Petua bahagia la katakan, mana boleh malas... kan?
~ Nai at Tak Pe Je.
Comments
Post a Comment