Usah Berkedip

 Assalamu’alaikum dunia…


Saat satu pintu tertutup, usah lupa tingkap yang wujud. Bahkan tetaplah yakin untuk bertanya: Adakah pintu yang tertutup itu sebenarnya berkunci ataupun tidak mungkin untuk ditembusi? Adakah tingkap yang wujud itu pula suatu imaginasi atau sekadar ilusi semata-mata? 


Memang lebih mudah untuk kita menyerah kalah pada keadaan malang yang menimpa hidup, itu semua orang boleh lakukan tanpa perlu bersusah payah sedikit pun. Tinggal lagi, dunia bukanlah tempat untuk kita bersenang lenang mahupun berlenggang kangkung dalam semua situasi. Di sini kita ditugaskan untuk mencipta dan mencetak rentak sebagai bekalan di destinasi sebenar, tempat nan abadi tanpa air mata, tanpa lelah mahupun sekelumit sengsara. Maka dengan itu, carilah hikmah di sebalik setiap dugaan yang Allah turunkan untuk kita di dunia ini. Sekalipun segala-galanya bagaikan menghimpit diri sehingga ke sudut paling hujung, tetaplah berbaik sangka pada rahmat-Nya. Kekal percaya bahawa kepayahan datangnya berkembar dengan kegembiraan kerana segala-galanya diciptakan berpasang-pasangan. Allah tidak pernah janjikan bahawa hidup ini selalu indah, tetapi keindahan adalah sebahagian daripada hidup dan hidup adalah sebahagian daripada keindahan. 


Jatuh pasangannya bangun, maka usahlah terlalu hanyut dalam kepiluan meratapi sebuah kejatuhan. Maka dengan itu, aku selalu ingatkan diri sendiri bahawa Allah sedang memerhati, samada hamba-Nya ini pasrah dan berdamai dengan takdir ataupun memilih untuk menuding jari, jauh dari apresiasi nurani. 


Teruskan melangkah, yakinlah bahawa Allah takkan pernah biarkan hamba-Nya terkontang-kanting tanpa bimbingan rohani. Tetaplah berdoa agar Dia takkan abaikan kita walau sekelip mata, agar kita sentiasa dipayungi rahmat dan kasih-sayang-Nya yang tidak bertepi. 

Comments

Popular posts from this blog

Mematikan Setem Hasil Di Hadapan Pesuruhjaya Sumpah

Dress Code Peguam Muslimah

Onak, Duri & Ranjau Kehidupan