Euphoric Satisfaction: Well-Deserving.

Assalamu'alaikum. Konvo hari Isnin memang epik kalau kat KL ni, korang... dah pulak sesi petang, dan bumi dibasahi hujan selebat-lebat kejadian. Begitulah keadaannya konvo adikku petang Isnin baru ni. Mak yang demam dan batuk sejak Sabtu malam, akhirnya cukup stabil untuk memaksa dirinya pergi jugak ke majlis konvo anak bongsu kesayangannya itu, walaupun dia masih lagi penat dan takde la larat sangat. Aku dari pagi gigih memastikan segala-galanya dalam kawalan dan tenangkan adik, bahawa kakak akan buat apa saja nak bagi mak ada masa konvo. Alhamdulillah, dipermudahkan urusan, duk berwassap dengan sepupuku, Lela macam biasa, mengadu kat dia manalah aku nak cari wheelchair kejap-kejap itu? Katanya dia ada, simpan untuk mak dia, nanti dia hantar lepas masak tengahari. Aku makan pun tak boleh nak telan tengahari tu, rasa gloomy je terkenangkan macam-macam hal nak kena settle. Semua tu jadi kecik macam hama resdung bila tengok budak bertuah tu happy keluar dewan. Pergh.. job well done, bro! 


Punyalah jam jalan nak masuk UIA, padahal masa tu dah jam 3.30pm, sesi petang start 2pm lagi. Parking pun jauh, nasib baiklah ada wheelchair, kalau tak memang saja cari bala bencana la nak bagi mak semput masuk wad segala bagai. Aku cuma ingat nak kejar jangan bagi hujan turun je masa tu, tapi aku cakap dalam hati je la, tak nak mak susah hati lebih daripada yang dia tengah rasa pun. Dekat setengah jam jugaklah baru sampai ke CAC Hall, diiringi laungan azan asar dan diikuti hujan tanpa belas kasihan punya lebat, macam kucing dengan anjing bergaduh gayanya. Semua pintu dewan dah dikunci, jadi kami semua lepak je kat luar, sesekali ditempiasi rintik-rintik hujan yang terlebih agresif. Adik punya pasal, kami gagahi jua...



Kami dapat port baik punya kat depan pintu masuk nombor 6, ala-ala tangga untuk kami pakat duduk bersusun mencari kutu kekdahnya. Gigihlah kami duk pegang bunga untuk adik, sekali ada budak perempuan mana entah ada bagi kat dia jugak. Masa aku usik, adik kata, ala... yang tu murah, tak macam yang kakak bagi. Hahaha comel je, aku terhibur sangat tengok muka dia menggelabah. Tapi sebab rasa renyah dengan cuaca, takde la aku gelak besar macam aku akan buat hari-hari lain. Lawa betul bunga ros yang adik ipar aku pilih, dah lama takde bangkit deria bau yang sexy sebegitu. Berbaloi-baloi m'am Nai kasi bajet, hasil gubahannya menepati selera diri ini. Bau bunga ros masa bumi dibasahi hujan ternyata membangkitkan suatu rasa yang dah lama aku lupa. Dulu aku selalu dapat bunga-bunga segar, a million years ago, dan tetiba aku minat nak ulangi perasaan mencium bunga ros dalam hujan. Nantilah pergi Cameron Highlands kejap, bila mak dah sihat. 



Adik sedih, kesian dia.. banyak rencana yang harus dia ubah. Disebabkan hujan yang lebat sungguh-sungguh, tak dapat nak bergambar kat tempat-tempat yang menarik. Kawan-kawan dia pun tak sempat nak teruskan hajat berjimba-jimba sesama mereka, masing-masing dah kalut dengan keadaan sekeliling dan keluarga sendiri. Apa nak buat, tak semua yang kita rancang akan menjadi nyata. Aku pujuk, sekurang-kurangnya mak boleh datang, fokus je pada yang positif. Habis, apa lagi yang boleh aku katakan, korang? 



Dalam hati, aku pun banyak yang terkilan, lebih-lebih lagi bila tengok mak kena duduk atas wheelchair. Mak pun duk drama jugak, konvo anak-anak lain dia sihat, katanya. Aku pujuk, sekurang-kurangnya Allah masih berikan anak-anak peluang untuk menumpang kasihnya sedetik lebih. Maksud ayatnya macam tu la, tapi takde la aku gi borak puitis gitu gaya dengan mak, ish korang ni..!


Begitulah, kalau dah tugas kena jadi lilin, maka tetaplah kita akan menerangi hidup orang lain, walaupun membakar diri sendiri. Tapi takde la aku bakar diri pun, harap bertenang, lilin takkan boleh nyala lama-lama dalam hujan. Yang penting, dalam gambar kita kena maintain vogue dan ceria, supaya segala yang terindah bakal dikenang sampai bila-bila. Yang kurang indah, kita kesampingkan ia, jadi sempadan. Lagipun bukan selalu aku buat grand appearance berbaju kebaya pendek bagai, hahaha terasa sangat kertu! 


Tinggal lagi, kalau direnung, ditenung, ditilik betul-betul, mata yang tajam sudah pasti dapat melihat riak-riak sayu dan bibit-bibit pilu. Andai bisa dimengerti...


Dan akhirnya, semua berkumpul semula kat rumah aku... makan mee goreng basah. Ida ajak makan kat Fish Manhattan, tapi mak macam biasalah membantah bak pembangkang. Dia susah hati kejar asar, jangan duk sebut nak ke mana-mana la kan, selain meredah hujan balik ke rumah. Adik dapat keropok bentuk hati, hurmmm... aku kata, petanda jodoh bakal tiba, masa ambik gambar dia. Tenang hatiku melihat gelak ketawanya. Alhamdulillah... adik pun dah grad, ayah... kakak dah jaga dia macam ayah pesan. Kalau ayah ada, mesti ayah bangga, sebab dia kaki study dan score CGPA bagus, tak macam kakak yang selalu nakal dan mengelat. 


Tua dah aku, korang... doakanlah aku panjang umur, ya.. besar amanah aku nak galas ni, penyambung tugas seorang ayah yang amat dikasihi. Ish, masuk habuk pulak mata aku ni. Sampai sini dulu la, ya. Terima kasih sudi baca... Assalamu'alaikum.

~ Nai at Tak Pe Je.










Comments

Popular posts from this blog

Mematikan Setem Hasil Di Hadapan Pesuruhjaya Sumpah

Dress Code Peguam Muslimah

Onak, Duri & Ranjau Kehidupan