Mutiara Kata Hari Juma'at

Assalamu'alaikum. Lama dah entry ni terperap dalam draft department, jadi ada baiknya aku bebaskannya ke dunia luar, kesian berlama-lama sangat kat situ, tak baik tau! Aku tulis mutiara kata ni sebagai reaksi kepada keadaan-keadaan sekeliling yang aku nampak depan mata, secara langsung mahupun tidak. Dalam suatu perhubungan, kebanyakan masanya, mesti ada salah satu pihak yang suka sangat nak mengubah pasangan masing-masing supaya mengikut acuan yang dikehendaki, bahkan kadangkala sampai ada yang menggunakan paksaan, manipulasi emosi dan kekerasan fizikal. Kenapa harus begitu, cuba soal diri sendiri, kenapa harus begitu?


Berubah ke arah kebaikan tak salah, bahkan dituntut agama kita, itu semua orang pun tahu. Tinggal lagi, diri sendiri perlulah menginginkan perkara yang sama seiring dengan peredaran masa. Maksud aku, tak kisahlah kita ni berubah kerana manusia pada awal kejadian, bukan kerana kesedaran dan kemahuan sendiri pun, janji dalam hati yang paling dalam, kita cuba memupuk kesedaran itu tangga demi tangga. Dengan cara itu, keikhlasan akan pelan-pelan terbit dari hati dan sanubari, meresap menjadi sebahagian daripada diri kita sendiri. Jadi, walau apa pun yang terjadi kepada perhubungan kita dengan pasangan di penghujung waktu, kita tidak perlu membuang identiti untuk kesekian kalinya. 

Mengekalkan identiti diri itu sangat penting, kerana kita adalah satu entiti khusus yang lahir dan akan mati akhirnya sebagai diri sendiri. Kenalilah diri sendiri dengan sebenar-benarnya, supaya tidak terlampau mudah untuk hilang dalam terang dan sesat dalam kelam. Untuk itu, pegangan kita haruslah betul, kebergantungan kita wajib kepada Yang Maha Mencipta. Itulah kompas utama dalam kehidupan di dunia, yang takkan sekali-kali memesongkan kita dari jalan yang lurus. Hanya dengan cara itulah kita akan terlepas daripada hati yang mati akibat sepak-terajang dunia. Carilah damai di hati, jangan pernah berputus asa dengan rahmat Yang Esa, kerana benarlah janji-Nya, dalam hati yang remuk itu ada Dia, Tuhan segenap semesta.

~ Nai at Tak Pe Je.



Comments

Popular posts from this blog

Mematikan Setem Hasil Di Hadapan Pesuruhjaya Sumpah

Dress Code Peguam Muslimah

Onak, Duri & Ranjau Kehidupan