Dream BIG, darling!
Assalamu'alaikum. I've always been a dreamer and obviously not the only one, just like Lennon said. And when I dream, I dream BIG! Bagi sesetengah orang mimpi tak lebih daripada angan-angan, impian kosong yang tak perlu diambil berat. Bagi aku, mimpi adalah harapan yang membangkitkan semangat untuk terus berjuang dalam sebuah kehidupan. Tanpa mimpi dan harapan untuk menikmati cahaya indah di hujung terowong, mungkin aku sudah lama mati. Aku pernah hidup dengan menyambut setiap pagi, menarik nafas panjang-panjang dan bersyukur kepada Tuhan kerana masih meminjamkan aku jasad dan nikmat untuk bernafas di bumi-Nya. Setiap hari, bertahun-tahun lamanya aku begitu; melewati hari-hari seperti tiada esok yang menanti. Aku punya banyak harapan kerana mimpi-mimpi yang berentak tari di hadapan mataku kala terjaga, dan kerana kebiasaannya mimpi tiada dalam lenaku. Seorang Dekan Fakulti Undang-Undang sempat bertanya, apa yang menyebabkan aku begitu kental? Jawabku, aku punya banyak sebab untuk hidup, dan semangatku menghidupkan banyak pihak dalam keluarga. Dia terdiam seribu bahasa, aku memandangnya kosong, kerana saat itu seluruh saraf wajahku tak mampu mengukir senyuman. Bercakap pun suara kurang kedengaran.
Dengan mimpi, harapan dan semangat itulah, aku pernah memasang impian untuk bergambar dengan pakaian konvo di UIA seandainya Tuhan mengembalikan semula senyuman fizikal di raut wajahku. Dan impian itu menjadi nyata 15 tahun berikutnya, apabila adik bongsu aku menamatkan pengajian dalam bidang yang sama. Kalau dulu senyum pun aku tak mampu, berjalan pun dipimpin, kali ini, alhamdulillah... aku mampu berlari walaupun bergegar bumi sebab berat sangat. Lalu, nikmat Tuhan manakah yang ingin aku dustakan?
Aku sebenarnya bertuah, kerana diberikan peluang untuk mendalami perasaan manusia yang direnggut nikmat kesempurnaan, menjadi kurang upaya fizikal mental, dan akhirnya kembali menjadi 'normal'. Semua itu memberikan aku suatu bentuk keinsafan yang tak terbandingkan, menjadikan aku seperti hari ini, manusia yang terkadang dungu dek terlampau memaafkan.
Sumber kekuatanku adalah ikatan kekeluargaan yang jitu. Itu adalah jati diri seorang aku, intim dengan famili bagaikan kekasih. Kami berfungsi sebagai support system antara satu sama lain, susah-senang bersama, sehati dan sejiwa. Aku menjaga adik-adik dari mereka kanak-kanak, mereka menjaga aku sepanjang aku sakit, dan sekarang kami saling jaga-menjaga mengikut kemampuan masing-masing. Dan mereka amat memahami sentimental value mengambil gambar dengan pakaian konvo Ijazah Pertama LLB (Honors), sporting je melayan karenahku.
Ye, tak semua ahli keluarga sempat meluangkan masa, tapi takpe.. aku takde la diktator sampai semua orang kena tinggalkan kerja yang lebih utama. Nama pun nak ambik gambar dengan jubah konvo, bukannya nak konvo sekali lagi. Orang lain sibuk nak ambik Masters dan PHd segala, ingat aku tak teringin ke? Tinggal lagi, kepuasan diri sendiri kadang-kadang kena bersaing dengan tanggungjawab utama dalam kehidupan. Aku harus jujur, kerana apa perlunya kelayakan akademi tambahan dalam kerjaya dan kehidupan aku buat masa sekarang, kalau bukan lebih kepada kepuasan diri sendiri? Ya, aku punya impian dan harapan untuk menjadikannya suatu kenyataan sedikit masa dulu, tapi itu sebelum aku diubah 360 darjah oleh takdir dan waktu. Yang akhirnya menjadikan aku mementingkan apa yang benar-benar perlu diutamakan. Melihat adik-adik mengotakan impian mereka dari satu tahap ke tahap berikutnya, aku tumpang bahagia. Paling tidak, boleh tumpang pakai jubah konvo!
Aku masih punya impian dan harapan, tapi bukanlah dalam lapangan akademi. Agak terlalu awal untuk aku kongsikan, nantilah bila dan jadi nyata, aku tulis dalam jurnal harian aku ni. Sementara itu, jom la kita pakat layan gambar-gambar kat bawah ni.
Pelapis Mak Long, yang keletah dan ligat cergas, sentiasa menemani...
Mak Long yang kuat posing, bahagia dah dapat bergambar dengan jubah konvo.
Budak bam bam yang terlepas kandang.
Begitulah adanya, kisah mimpi, impian, harapan dan semangat seorang aku untuk renungan kita bersama. Keep the faith. Dream BIG! Assalamu'alaikum.
~ Nai at Tak Pe Je.
Comments
Post a Comment