Dari Kacamata Seorang Pencinta

Assalamu'alaikum. Dah lama sangat aku tak ambik masa menikmati suasana lepas hujan, ada dekat berkurun lamanya; berkurun dalam erti kata yang sebenar, bukan setakat metafora ataupun penguat adjektif semata-mata. Suasana nyaman dan mendamaikan itu seakan-akan terpendam sekian lama dalam taman hati, lebih macam sekali kita pandai kayuh basikal, sampai bila-bila pun kita takkan lupa punya. Haa.. macam tu perumpamaannya perasaan aku terhadap suasana selepas hujan turun. 

Hujung minggu lepas, aku dengan tindakan separuh sedar, duduk bersila depan pintu mengadap balkoni bilik, perasaan yang dah lama aku lupakan menerjah-nerjah tangkai hati, membawa aku ke alam persekolahan menengah rendah. Dengan jelas, aku nampak seorang aku yang berusia 15 tahun, lengkap berbaju kurung plain dari kain cotton berwarna biru lembut, bertudung separa labuh warna putih sedang duduk menunggu hujan reda di hadapan kediaman rasmi Menteri Besar Terengganu waktu itu, Dato' Seri Amar Diraja Tan Sri Haji Wan Mokhtar Bin Ahmad. Aku ingat setiap detik saat itu, setiap detak jantung berdegup, setiap sejuk mata memandang sekitar kawasan, setiap damainya rintik-rintik hujan membasahi bumi Tuhan. Aku ingat bagaimana kerdilnya perasaan sebagai seorang remaja, yang ditemani dua rakan sekelas, menunggu untuk menyempurnakan tugasan menemuramah seorang yang bergelar Tokoh Pilihan. Dan tugasan itulah yang telah membentuk jati diri seorang aku sehingga kini. Aku nekad untuk kekal merendah diri walau setinggi mana tangga sosial Tuhan izinkan aku daki.



Entah kenapa, sejak kebelakangan ini aku kembali menemukan diri yang sudah terlalu lama aku tinggalkan, mengulang putar jiwa halus yang aku bekukan. Dan aku kembali bermesra dengan alam melalui hati yang amat tenang, memandang jauh lebih terang dengan mata sanubari. Aku melihat langit seakan-akan lebih indah warnanya, gunung-ganang lebih terbentang luas, tumbuh-tumbuhan lebih hijau dan segar. Dan atas itu, aku menjadi bertambah kerdil dalam menghitung nikmat yang Tuhan pinjamkan. Syukur menjadi perkataan yang tiba-tiba tidak lagi cukup untuk diungkapkan. 


Jalan kehidupan yang penuh lekuk dan liku membawa aku ke sini, hari ini, tika dan saat ini. Dengan saki-baki usia dan segala apa yang ada menanti di hadapan, mudah-mudahan mampu aku tempuhi dengan penuh redha dan ketaqwaan. Mulai sekarang aku ingin terus mencuri waktu setiap ketika untuk berhenti sejenak dari kesibukan dunia, dan menikmati segala sesuatu yang berada di hadapanku. Agar aku takkan pernah lupa untuk sentiasa mengingati betapa sayangnya Tuhan kepadaku meskipun aku hamba yang lalai lagi alpa. 

~ Nai at Tak Pe Je.



Comments

Popular posts from this blog

Mematikan Setem Hasil Di Hadapan Pesuruhjaya Sumpah

Dress Code Peguam Muslimah

Onak, Duri & Ranjau Kehidupan