Dipayungi Kasih Ilahi
Assalamu'alaikum. Manusia tak suka hidup dalam teka teki dan ketidaktentuan masa depan, betul tak? Sebabnya mudah, pemikiran kita terbatas kepada apa yang pasti, selebihnya membuatkan kita takut dan resah gelisah. Setiapkali ditimpa musibah, kita akan berkejar mencari penyelesaian sebelum akhirnya kembali mencari Tuhan. Dah habis ikhtiar, penat berusaha, kita tersandar dan memohon bantuan Allah. Betapa terpesongnya kita, apa yang patut didahulukan selalu dikemudiankan, dibiarkan hujung-hujung tanduk melukut di tepi gantang, sandaran di bangku simpanan.
Kita terlalu jauh tersasar dari landasan, maka dengan sifat Rahmah dan Rahman-Nya, kita dipimpin ke tepian. Pandemik Corona Virus adalah mekanisma kita untuk sama-sama kembali ke pangkal jalan, samada kita sedari mahupun tidak. Jika tidak kerana pandemik ini, mungkin kita akan makin lemas dilambung ombak, ditelan arus dunia yang menghanyutkan. Apabila segala pintu dirasakan tertutup, langit nan luas pun bagaikan menghimpit dada. Maka kita kembali kepada fitrah, mencari Yang Esa kerana keadaan benar-benar genting dan nafas pun di hujung nyawa. Barulah kita menyeru, meratap dan merayu bantuan-Nya.
Namun Allah tak pernah meninggalkan hamba-hamba-Nya, apatah lagi bersifat membalas dendam. Kita serahkan hati yang hancur kepada-Nya, akan dikembalikan semula penuh keindahan. Berkali-kali kita lupakan-Nya setelah tidak lagi dibelenggu kesedihan, Allah akan tetap menerima kita semula, penuh kasih sayang.
Jadi, marilah kita mendahulukan Allah pertama-tamanya, susun atur hidup dengan menyantuni fitrah kejadian. Dakwat pun sudah lama kering, usahlah terus-terusan bermusuh dengan suratan takdir. Dengan itu, ketenangan tidak akan pernah jauh malah akan selalu berdamping mesra, berkat kata Tiada Tuhan Melainkan Allah, Nabi Muhammad s.a.w Pesuruh Alah.
~ Nai at Tak Pe Je.
Comments
Post a Comment