Kitalah Juara


Assalamu'alaikum. Hidup kita takkan pernah sunyi daripada segala bentuk ujian dan dugaan, ibaratnya selalu ada peperiksaan saban waktu. Nak ambik MC ke, mintak tangguh ke, guna kabel ke, semua tak laku. Ikut mana pun memang kena hadap dan hadam, takde cara lain. Jadi, apa yang paling perlu adalah kekuatan minda, ditimbang dengan iman dan takwa. Kombinasi tiga serangkai minda, iman dan takwa inilah yang akan menentukan reaksi kita terhadap kemelut dan kekusutan yang melanda diri. Pincang salah satu antara ketiga-tiga elemen utama itu, maka kita berisiko untuk terumbang-ambing di lautan gelora, hanyut dibawa arus kehidupan yang takkan pernah memilih rupa, darjat mahupun keturunan.

Jika kita perhatikan kejadian alam, setiap musibah yang melanda pasti akan ada kebaikan kepada kita, bumi dan alam sekitar juga. Contoh, tsunami mengharuk pergi tanpa meninggalkan sisa-sisa sampah sarap dari dalam lautan sehingga ke dasar bumi. Betapa ganas ombak melambung-lambung, apabila keadaan mulai reda dengan kemusnahan di sana sini, air memenuhi segenap ruang mengalir dengan tenang. Hening tanpa suara, cengkerik dan unggas tidak kedengaran, malah awan pun diam bertafakkur. Gunung berapi apabila memuntahkan lava akhirnya akan menyuburkan tanah pamah di sekitarnya, memanfaatkan kita semua. Jika itu bukan kedamaian namanya, apa lagi? 

Kita dikurniakan akal fikiran untuk membuat penakkulan, maka perhatikanlah di sekeliling, maka kita akan menjadi lebih menunduk sebagai hamba Tuhan. Banyak sekali nikmat yang diberikan percuma tanpa kita sedari, bersyukur jauh sekali. Sudah tiba masanya kita berubah ke arah kebaikan, yang baik menjadi lebih baik dan hari ini lebih elok daripada semalam. Apa sahaja badai yang melanda diri, itu hanya untuk menyucikan kita sebagai manusia, yang dimulakan dari hati. Maka benarlah sabda Baginda Rasulullah saw:

(ألا وإن فى الجسد مضغة إذا صلحت صلح الجسد كله ، وإذا فسدت فسد الجسد كله ، ألا و هي القلب )


"Ingatlah, sesungguhnya dalam jasad terdapat segumpal daging, jika ia baik maka baiklah seluruh jasad dan jika ia rosak maka rosaklah seluruh jasad, ia adalah hati".


Kita selalu dengar orang cakap, sakit itu penghapus dosa, betul tak? Kenapa macam tu, agak-agak? Sebabnya, kan kalau kita sakit benda yang paling kena banyak buat adalah bersabar. Sabar kan melibatkan hati, kena tenangkan hati. Masa tu la kita akan banyak ingat Tuhan, maklumlah takut mati. Dengan cara itu, hati kita disucikan, dibersihkan dan dipulihkan daripada noda-noda yang berkarat pekat likat. Hati apabila sudah bersih, darah pun mengalir di seluruh tubuh badan kita dengan suci murni. Kira macam kita tukar darahlah lebih kurang, senang sikit nak faham. Nampak tak betapa pentingnya hati yang bersih? Orang kalau hati bersih, Allah muliakan dengan kasih sayang dan apabila Allah sayangkan manusia, Dia maklumkan pada para malaikat, yang turut menyayangi dan menyampaikan berita kasih sayang itu kepada seluruh mahkluk di langit dan di bumi. Dengan itu, berbondong-bondonglah makhluk Allah akan menyayangi manusia itu tadi. 

Tapi ye lah, tak kisah berapa ramai pun orang menyayangi, pasti akan ada yang membenci. Itu sudah lumrah kehidupan, mana mungkin mampu kita puaskan hati semua orang dalam satu masa? Nama pun ada syurga dan ada neraka, dua kumpulan di akhir dunia. Iblis kan ada perjuangan yang belum selesai, tujuannya nak menambahkan kroni di neraka, jadi apa ada hal nak hairan sangat kalau manusia yang sebaik Ustaz Ebit Liew pun ada yang benci? 

Tinggal lagi, marilah kita memilih untuk berjemaah dengan kumpulan di sebelah kanan, yang menerima Buku Timbangan dari tangan kanan, yang berteduh di bawah kanopi kasih-sayang Allah di Padang Mahsyar. Pilihlah untuk menjadi manusia yang suci hatinya, hidup berbakti apa adanya. Maafkanlah diri sendiri, dan maafkan juga orang-orang yang menyakiti...

~ Nai at Tak Pe Je.




Comments

Popular posts from this blog

Mematikan Setem Hasil Di Hadapan Pesuruhjaya Sumpah

Dress Code Peguam Muslimah

Onak, Duri & Ranjau Kehidupan