Hati Emas


Apa yang paling kita rindukan selain daripada kebebasan bergerak ke sana ke mari, dalam dan luar negara?  Memandangkan banyak pihak yang terjejas pendapatan akibat pandemik sejak dua tahun lepas, maka nampaknya terpaksalah kita menapak dari bawah semula. Bagi yang kekal mahupun makin meningkat pendapatan, alhamdulillah syukur nikmat ke hadrat Ilahi. Jangan lupa pada yang tiada, pada yang kekurangan serba serbi. Rezeki yang Allah bagi untuk kita saling berkongsi, jangan pernah angkuh, bakhil bin kedekut apatah lagi lupa diri. 

 Hidup kita ni masing-masing punya bahagian, ruang dan kesempatan tersendiri, tinggal lagi lambat ataupun cepat hadir di depan mata. Saat-saat getir begini, kita perlu lebih sensitif dalam tutur kata dan adalah lebih baik berdiam diri daripada menyakiti hati orang. Kalau tak sudi membantu, sekurang-kurangnya jangan menambah beban orang susah. Kita kenyang mungkin tak paham orang lapar, jadi simpanlah pendapat peribadi dalam peti besi sendiri. 

Dalam dunia ni ada naik ada turun, sekelip mata Allah boleh ubah. Masa kita di atas, jangan perasan langit kita tongkat kerana lebih tinggi kita jatuh, lebih parah lukanya nanti. Cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar. Kalau tak paham, duduk diam-diam buncitkan lagi perut kat rumah. Sakit pulak hati aku ni! 

Maka dengan itu, marilah sama-sama kita meringankan beban sesama kita dengan saling membantu apa adanya. Biarlah kita tak banyak gelang emas, asalkan hati dan budi kita dipandang mulia di sisi-Nya. Ameen…!

~ Nai @ Tak Pe Je.

Comments

Popular posts from this blog

Mematikan Setem Hasil Di Hadapan Pesuruhjaya Sumpah

Dress Code Peguam Muslimah

Onak, Duri & Ranjau Kehidupan