Hati Yang Dilukai
Assalamu’alaikum. Siapa layan k-drama, Love (featuring Marriage and Divorce) kat Netflix dari Season 1 sampai Season 2, kita gang. Kalau nak hadap cerita ni tak boleh mental cepat koyak, ya kawan-kawan sebab garapan kisah-kisahnya memang berpijak di dunia yang nyata. Tiada fantasi yang terapung di awang-awangan, penonton terpaksa menerima hakikat kehidupan sepanjang masa. Pendekatan yang disorot tentunya sesuai sekali dengan jiwa dan budaya orang Timur, sudah pasti berlainan dari pelbagai segi dengan budaya Barat. Tinggal lagi, mahupun Timur ataupun Barat, kecurangan pasangan hidup bukanlah sesuatu yang mudah untuk dihadam. Apa pun jua, hati yang terluka belum tentu mampu sembuh seiring dengan waktu. Maka dengan itu, apa yang boleh dilakukan jika kita ditakdirkan berada dalam situasi yang serupa?
Menyelusuri pahit getir kisah rumahtangga orang lain sejak sekian lama, seorang peguam kes cerai-berai, hakim ataupun psikiatri sekali pun belum tentu mampu menerima keadaan yang sama apabila terkena batang hidung sendiri. Hakikatnya, tidak ada seorang manusia pun yang boleh menerima dicurangi pasangannya, baik lelaki mahupun perempuan.
Persoalannya, apakah tindakan susulan selepas konfrontasi antara dua pihak tentang kecurangan itu tadi? Aku selalu pesan kepada klien, kawan-kawan dan sedara-mara untuk tidak membuat keputusan bersandarkan emosi. Ambik la masa untuk meroyan ataupun meraung, cari ketenangan yang melayang di ruang angkasa Gaban dulu. Sebelum melangkah keluar dari satu ikatan pernikahan, timbang tara segenap sudut apa yang elok dan apa yang buruk dalam rumah tangga selama ini. Bagi ruang dan peluang kepada diri sendiri untuk benar-benar memahami kehendak dan keperluan yang terbentang depan mata. Perceraian bukanlah penyelesaian kepada segala perkara, jadi usahlah terburu-buru memilih jalan itu. Berhenti dulu seketika, duduk kejap jangan bangun dulu.
Dalam keadaan serapuh itu, tiada lain yang mampu meringankan beban kecuali Allah jua. Ingatlah, dalam hati yang remuk ada Tuhan, jadi serahkan segala penderitaan kita kepada-Nya. Sesungguhnya Dia pemilik kunci segala pintu, termasuk pintu hati. Kita serahkan hati yang remuk kepada Allah, akan diperbaiki penuh hikmah.
“Ya Allah! Perbaikkanlah hatiku!” Basahkanlah lidah dengan doa itu kerana kita takkan pernah mampu bangun dari kekecewaan akibat didustakan kecuali dengan izin Allah.
Aku pernah ditanya seorang kenalan yang diuji dengan kecurangan: How to mend a broken heart? Aku jawab: We don’t. Allah will do it. Ask Him to fix our hearts, in time we will heal and be whole again. Hampir setahun aku temani dan mendengar keluhan, luangkan masa setiapkali dia perlukan sesi curahan hati di kedai kopi. Sampai masanya dia kembali kuat dan memilih untuk meneruskan hidup berumah tangga yang dibina hampir dua dekad. Ada hari-hari yang dia terkenangkan peristiwa kelam, katanya dia memaki hamun dalam hati tapi selepas itu dia akan kembali tenang dan mampu tersenyum penuh tenteram. Dia tahu bahawa Allah akan tetap menjaga dan memulihara hatinya, selagi mana dia kekal percaya dan benar-benar memahami naluri sendiri.
Jaga diri. Hiasi peribadi. Jumpa lagi lain kali. Assalamu’alaikum.
~ Nai @ Tak Pe Je.
Comments
Post a Comment