Cold Brew Coffee

Assalamu’alaikum. Korang apa khabar? Lama aku tak update blog ni kan? Makin jauh je langkau masa dari satu entry ke satu entry yang lain, maklum la zaman teknologi media sosial bergambar membuatkan kita malas nak berceloteh panjang. Tapi itu bukanlah alasan untuk aku terus menyepikan diri dari dunia blog, memang tak ar..

Kali ni aku nak kongsi minat terbaru dalam cerita tentang kopi: Cold Brew Coffee. Macam namanya jugak, cara pembikinan kopi ini adalah menggunakan air sejuk. Bukan ais, tapi air masak bersuhu bilik dan sudah pasti bukanlah air panas mendidih mahupun air suam-suam kuku. Panas sangat cuaca ni rasa nak minum kopi sejuk pulak, maka dengan itu aku buat perubahan sikit dengan menceburi bidang kopi sebegini. Cara penyediaan macam ni jauh lagi sedap rasanya berbanding dengan guna air panas kemudian letak ais. Senang cerita, lebih mesra di hujung lidah menyelusuri tekak, begitu ya.. kena cuba sendiri baru paham maksud aku. 


Aku guna kopi jenama Mister yang memang dah sedia dikisar taruk dalam bekas kedap udara, french press dan aksesori biasa untuk peminat kopi tegar (sudu penyukat, penapis dan gelas yang suaimanfaat). Dengan acuan 3 sudu serbuk kopi dan air sejuk secukup rasa, aku simpan french press dalam peti minimum 5 jam sebelum keluarkan untuk ditapis habuk kopi dan diminum penuh gumbira. Nikmat Tuhan manakah yang ingin aku dustakan?


Sebenarnya boleh guna sebarang bekas yang munasabah, tak perlu ada bekas khas macam french press ataupun Hario Mizudashi bagai. Aku ada mizudashi tapi nak buat entry gunapakai french press kali ni, tak pe je kan? Malam sebelum tidur boleh rendam dulu serbuk kopi letak dalam peti, jangan tekan dulu penapisnya masa rendam. Nanti bila dah cukup iddah 5 jam sekurang-kurangnya, baru tekan rapat ke bawah sebelum tapis sekali lagi nak pastikan habuk kopi tak bermaharajalela dalam gelas.


Sebut pasal Hario Mizudashi, macam ni la rupa bentuknya. Kita tak payah nak tapis lagi sebelum minum, sebabnya memang dah ada bekas khusus yang bertindak sebagai penapis dalam jag, elok je kopi akan bersatu dengan air masak penuh harmoni. Ada tiga saiz tak silap aku, 800 ml, 1 liter dengan 1.2 liter.. kalau tak silap la, kan? Kalau silap, jangan disimpan di dalam hati..


Kalau korang ada duit lebih, boleh je beli uncang ataupun kapsul kopi Cold Brew bagi yang ada mesin kapsul. Sekarang ni kat Shopee ada jual mesin kapsul yang ada fungsi Cold Brew jenama Hibrew, sesuai nak dijadikan koleksi. Tapi kalau takde semua tu pun apa ada hal? Boleh je buat manual, bukan susah pun. Cuma ye la kena hati-hati sikit sebab ada risiko nak tumpah sini sana, macam tadi aku angkat nak ambik gambar letak sini kan, dah tumpah kena lantai peti dan lantai luar peti. Renyah sikit je, takde la banyak sangat… nanti boleh lap selesai masalah. Kita buat dia kan? So, tak pe je….

Walau bagaimanapun, ada jugak penggemar kopi tak suka jenis bancuh sejuk macam ni. Contohnya adik ipar aku si Nurul, dia lebih suka kopi bancuh guna air panas. Takde apa yang nak pelik benda-benda preference macam ni, kita boleh saja berbeza pendapat dan hidup saling bergandingan dengan perbezaan itu tadi. Dah dia tak suka minum kopi jenis bancuh guna air sejuk, ada banyak portion untuk aku simpan dalam peti minum sorang-sorang. Kalau tiapkali dia datang rumah, takde la aku rasa bersalah bagai tak pelawa minum. Nanti aku dengan senang hati akan buatkan dia kopi serbuk ataupun kapsul ikut kegemaran dia. Begitulah adanya. 

Seronok ada gang minum kopi ni, terasa hidup lebih bermakna dalam satu keluarga. Kalau gang rumah mertua pun aku ada jugak teman mengopi, biras aku si Amin dengan bapak mertua, mak mertua sekali harung ikut mengopi pagi-pagi. Kira macam merapatkan lagi ukhuwah antara sesama. Sebelah aku pun sama, adik-adik kandung dan adik-adik ipar jenis suka kopi jugak. Setakat ni adik bongsu sorang je tak suka kopi, yang lain semua gang mengopi berjemaah. Kalau nak jenguk dorang kat rumah bila-bila esok takkan rasa susah order kopi kat grab food, masing-masing ada mesin kapsul dalam simpanan. Dah jadi macam Satu Rumah Satu Mesin Kopi pulak, ko rasa? 

~ Nai @ Tak Pe Je.





Comments

Popular posts from this blog

Mematikan Setem Hasil Di Hadapan Pesuruhjaya Sumpah

Dress Code Peguam Muslimah

Onak, Duri & Ranjau Kehidupan