Awek Besi

 Assalamu’alaikum. Orang Terengganu masa zaman aku muda remaja dulu ada gelaran khusus untuk orang-orang perempuan yang cenderung “materialistik” dalam memilih pasangan, tapi lebih kepada golongan muda-mudi gitu. Kalau sekarang mungkin jauh berbeza dengan zaman itu, cara menilai materialistik sudah tentu juga berbeza. Maklumlah, dunia menjadi lebih luas dengan media sosial dan jaringan internet tanpa sempadan. Setidak-tidaknya, orang Pantai Timur tidak lagi terlalu jumud dalam melihat sesuatu yang kurang biasa dalam komuniti mereka. Bagi aku, perkara yang bertambah bagus harus diraikan, didoakan semoga dapat memberi manfaat kepada banyak orang. Dari satu segi, rata-rata pihak akan mendapat pendedahan tentang budaya, cara hidup masyarakat luar dan apa jua yang bersangkutan dengannya tanpa perlu melangkah jauh dari lokasi masing-masing. Implikasinya pun bagus sekali, kerana setiap daerah menjadi seakan-akan lebih dekat meskipun jauh beribu batu. 

Gelaran itu adalah “Awek Besi”, yang sebenarnya bagi aku agak ‘racist’ jika diamat-amati. Aku mungkin tidak menyelami kehidupan mereka, jadi amat tidak adil untuk aku melontarkan pendapat peribadi di sini. Cuma dari pandangan mata ini, setiap individu bebas membuat pilihan tersendiri terhadap apa jua daya tarikan yang ada pada calon pasangan. Mungkin bagi sesetengah orang, mereka tertarik pada aset lebih daripada perkara yang lain. Ada juga yang lebih tertarik pada sebab-sebab fizikal seperti paras rupa, bentuk badan ataupun ketinggian. Itu memang lumrah manusia kerana segala-galanya bermula dari mata sebelum nilai-nilai pelengkap dipertimbangkan dari semasa ke semasa.


Aku apa adanya, dari dulu tidak cepat membuat penilaian. Mungkin kerana tak banyak yang aku impikan dalam hidup selain daripada kemampuan untuk membahagiakan ayah ibu dan keluarga. Kereta pun asal selesa, jenama tidak pernah menjadi isu bagi aku. Kereta pertama pun aku beli selepas adik perempuan aku habis belajar, sebelum itu aku selalu guna kereta yang pakwe yang dah tak nak guna setiapkali dia tukar baru. Itu pun aku ambik keputusan jual sebab pening kepala nak bayar ansuran bulanan sampai RM1.5k.. bukannya ada gaji tetap macam orang lain. Lebih baik aku naik LRT dan cukup bajet untuk bayar gaji pekerja waktu itu. Sampai suatu masa, aku belikan bonda kereta untuk bawak balik kampung sebelum adik-adik mampu beli kereta masing-masing. Bila dorang dah ada kereta sorang sebiji, kereta itu aku buat hantar ambik anak sekolah dari Tingkatan 1 sampailah SPM. Elok bila bonda meninggal, tempoh pinjaman 9 tahun pun tamat dan sekarang tak perlu sibuk fikir ansuran bulanan. Kereta yang sama masih elok dan sarat dengan memori indah, takkan pernah aku lepaskan. Ke sana ke mari itulah yang tetap aku bawa, orang lain bergaya dengan BMW ataupun Mercedes, aku tetap selesa dengan Proton Saga FLX. Aku takde ego, mungkin.. takpe je, kan?

Sebelum bonda meninggal, dia ada suruh aku tukar kereta sebab katanya, kakak patut pakai kereta besar sesuai dengan kakak. Aku kata takpe je.. nanti boleh cat semula biar nampak berseri. Dan itulah yang aku buat, dengan penuh ingatan kepada bonda sehingga mengalirkan air mata saat memandu sorang-sorang. Hidup pun entah berapa lama lagi kat dunia ni, nak tukar kereta baru entahlah bila. Setakat ni aku takde niat ataupun nafsu nak cari ganti, biarlah kekal membawa memori daun pisang bersama bonda dan anakanda selagi Saga nan putih itu sudi berkhidmat penuh setia.


^_^ Tak Pe Je!


Comments

Popular posts from this blog

Mematikan Setem Hasil Di Hadapan Pesuruhjaya Sumpah

Dress Code Peguam Muslimah

Onak, Duri & Ranjau Kehidupan