Dipanah Mentari Selasa & Menyejukkan Hati Yang Membara
Assalamu'alaikum. Hari Selasa lepas, cuaca sangat panas kat Lembah Kelang, sampai ke petang takde hujan, tak macam biasa. Emosi aku kacau betul, entah apa-apa je rasa dari pagi menghala ke tengahari, jenuh minda kena kawal segala urat saraf tak nak bagi rosak keadaan sekeliling. Kerja macam aku ni tak boleh layan perasaan yang sendat ataupun kepala yang berserabut, ikut-ikut mana pun, kena jadi tuan kepada emosi. Kalau tak, hancur-lebur banyak perkara, hazabedah nau nak buat damage control lepas tu karang, buat naya je! Lagi satu, cara penampilan pun tak boleh sesedap oren je nak ikut mood, melainkan memang takde kerja menanti dan boleh mereputkan diri melayan sendu. Itu pun aku jarang-jarang ada peluang buat, sebab hidup aku ni banyak tanggungjawab yang wajib diutamakan. Jadi, tak hairanlah kalau aku tetap pasang badan pada hari Selasa tu, ya, kawan-kawan!
Satu menda yang aku belajar, kita kena pandai menenangkan hati sendiri. Jangan sesekali paksa dan penjarakan diri kita kat mana-mana tempat ataupun keadaan yang menyesakkan jiwa, keluarlah dan ambik angin kat tempat lain. Macam aku hari tu takde ruang, waktu mahupun peluang nak lari jauh-jauh sangat, so aku lepak dalam sejam lebih kat AEON Mall AU2. Bukan buat apa pun: jalan-jalan kejap intai t-shirt dan cardigan kat Ti:zed kejap, sebelum duduk tanpa arah tujuan kat kerusi Customer Service ahli AEON, sambil melayan wassap clients dan sahabat handai.
Pakai macam nak pergi kenduri la pulak, kan? Entahlah, masa mula-mula bersiap tu elok je mood, takde masalah apa pun, sampailah aku tak jumpa certain baju yang aku cari. Memang dilema berpanjangan betul bab-bab baju tak jumpa ni, sebab walaupun sistem compartmentalization yang aku sediakan dah elok, bibik tetap guna method dia yang caca-marba ke Lautan Hindi sana. Nak marah karang, merajuk. Tegur karang, sentap. Maunya aku tak stressed?
Jadi, biarlah aku membawa diri dan berselfie macam biasa, janji tak menyusahkan orang lain ataupun menyeksa diri sendiri, sudah! Satu yang bagus kalau mood ke laut, aku takkan nampak apa-apa pun yang menarik untuk dibeli, selamat duit aku... Tapi yang tak bagusnya, sama jugak dengan makanan, semuanya nampak tak menyelerakan. Agak baguslah untuk maintain berat badan, tapi tak elok untuk kesihatan kalau selalu sangat jadi macam tu. Tinggal lagi, aku jarang-jarang kena penyakit tu, alhamdulillah. Sampaikan letih lesu sebelum turun ke AEON, minum segelas air oren Sunquick bergula baru rasa bertenaga nak bangun. Dah la aku tak makan nasi, kalau lesu macam tu, kena la mintak bantuan gula. Kalau korang nak tau, aku memang dari zaman anak dara kurang minum air bergula. Teh, kopi, oren semua tak letak gula, kalau yang buat sendiri kat rumah, terutamanya. Mungkin sebab aku takut sangat kena diabetes macam ayah aku, kot.. jadi paranoid semacam je.
Berbalik kepada cerita asal, selama sejam lebih aktiviti pasif menenangkan diri di situ, aku berjaya meneutralkan semula emosi dan minda, alhamdulillah. Pelan-pelan aku turun ambik kereta kat parking lot dan menuju ke sekolah anakanda terkasih. Oh ya, bawak kereta laju-laju kat lane kanan pun satu terapi minda jugak bagi aku, teruk betul! Tapi laju takat mana sangat pun boleh, kereta banyak kot, bukannya highway, kan?
Masa menyambut junior tu, aku dah boleh senyum lebar. Hitam merelit budak bertuah tu, raptai kawad untuk hari sukan sekolah tak lama lagi, bau pun kusemangat! Balik rumah tu pun aku dah normal fizikal mental, segalanya kembali seperti sediakala. Tamat.
Terima kasih sudi singgah dan baca cerita ni, jumpa lagi, Assalamu'alaikum.
~ Nai at Tak Pe Je.
Comments
Post a Comment