Di Ambang Ramadan, Coretan Dari Hati
Assalamu'alaikum. Sekejap je dah nak masuk 4 hari kita berpuasa, ikutkan hati, patut pecut berapa km sejam sebelum datang mens. Macam tu perasaan aku tahun ni, seolah-olah tiada esok yang menanti. Tahun ni dugaan berpuasa dan berhari raya yang menyusul sedikit waktu nanti, Tuhan aje yang tau. Minggu lepas TNB ada datang buat rush dan Ya Allah... bukan sebuah dua premis ofis yang bergelap kena potong letrik. Abang technician tu siap kongsi gossip murahan dengan staff aku, ofis mana yang kena potong, berapa ribu dan berapa lama tunggakan sejak tahun lepas. Masa tu la aku tetiba rasa 'happy' tapi jangan salah paham, bukan sebab happy dengar cerita pasal kekalutan orang lain, tapi happy sebab tau, rupa-rupanya bukan aku sorang je yang terhimpit dek kegawatan ekonomi. Tetiba rasa insaf dan bersyukur dengan keadaan aku, kalau nak dibandingkan dengan orang lain. Ye la, selama ni asyik mencemburui bintang berkerdipan di langit, sampai terlupa rumput di bumi. Selalu sangat pandang ke atas, terlupa nak jenguk ke bawah. Alhamdulillah, terima kasih Ya Allah... masih ada ruang dan jalan yang Kau Hamparkan di hadapanku untuk terus bertahan dan berjuang mempertahankan legasi.
Aku macam biasa, tetap perlu memainkan peranan sebagai anak sulung, tulang belakang kepada bonda, pengganti arwah ayahanda. Apa jua rezeki yang Allah lorongkan, masih ada bahagian untuk adik-adik dan anak-anak saudara. Moga terus dicukupkan yang sedikit, dan mana yang lebih, terus diizinkan untuk dikongsi bersama keluarga. Takpe la kalau aku yang terakhir dalam senarai, semoga ada bahagian yang infiniti menantiku di destinasi utama nanti, di sisi-Nya Yang Maha Esa.
Hari-hari terakhir sebelum Ramadan, memang havoc dengan pelbagai masalah dan tanggung jawab yang memerlukan tindakan cekap dan keputusan segera tahap hidup dengan mati. Nampak aku macam biasa je, tenang dan bersahaja. Itulah rezeki yang tak terbandingkan sebenarnya, bilamana kita percaya tanpa sekelumit syak wasangka, bahawa Allah itu ada. Aku teringat pesan Imam Al-Ghazali dalam buku magisnya, "Jangan Bersedih", jika terasa keadaan hidup ini teramat genting, bagaikan tali hampir putus bila-bila masa, itulah tandanya bantuan Allah hampir tiba. Maha Suci Allah, sungguh benar perumpamaan itu, bergantunglah senantiasa pada tali Allah, nescaya kita takkan mungkin berputus asa dari rahmat-Nya.
Air mata bukan lagi sesuatu yang asing buat kita semua, terutamanya pada saat-saat segalanya bagaikan tidak bercahaya. Aku pun menangis macam orang lain, tapi hidup perlu diteruskan... banyak lagi yang perlu kita selesaikan. Ke depan saja, kawan-kawan... usah pandang belakang. Kita dah terlampau jauh untuk berundur, peganglah hati yang remuk, ke depan terus jalan.
Tak perlu kita binasakan hari ini kerana kekusutan semalam, ataupun kerana takut akan ketidaktentuan masa depan. Percayalah, pada setiap dugaan yang hebat, habuan lebih hebat menunggu di hadapan. Sifir itu hanya untuk orang yang lulus ujian, dan kita semua perlu senantiasa berjuang untuk menjadi pemenang dalam bersaing dengan diri sendiri, bukan dengan orang lain, kerana musuh yang paling dahsyat dalam hidup ini adalah diri sendiri. Kitalah musuh yang paling ketat terhadap diri sendiri. Teruskan berjihad menentang musuh itu, jadilah sahabat yang paling setia kepadanya. Tak perlu orang lain untuk memujuk, kitalah yang perlu memujuk hati sendiri. Jadilah sahabat sejati yang paling teguh memerangi kemurungan dan kejahatan emosi yang hanya akan merebahkan kita saban waktu.
Sempena bulan baik dan hari baik ini, aku memohon ampun dan maaf atas segala keterlanjuran kata, semoga ibadah kita diterima dengan sempurna, Insya-Allah.
Segala-galanya bermula dari kosong, jadi kalaulah kita perlu bermula kembali dengan kosong, berlapang dadalah. Pelan-pelan kayuh, Insya Allah ada sinar yang menanti di penghujung jalan. Selamat berpuasa semua! Assalamu'alaikum.
~ Nai at Tak Pe Je.
Comments
Post a Comment