Juma'at & Sya'aban: Ramadan Kian Melambai.
Assalamu'alaikum. Alhamdulillah, dah Juma'at kita hari ni, tahniah kepada kawan-kawan yang berjaya puasa sunat Nisfu Sya'aban sejak semalam, semoga iftar tadi menyamankan perut dan ibadah kalian mendamaikan hati setakat ini. Bagi yang masih gigih memecut saat-saat genting untuk membayar hutang puasa tahun lepas, semoga dipermudahkan segala urusan. Dan kepada sesiapa yang masih tetap diburu penyesalan kerana terpancit daripada menqada' puasa awal-awal, semoga azam korang berjaya ditunaikan tahun depan, Insya Allah. Dan tahniah juga kepada kaum-kaum Adam dan Hawa yang takde hutang puasa tetapi bersungguh-sungguh mengejar pahala puasa sunat yang sangat-sangat dianjurkan ini. Bagi yang senasib dengan aku, takpe la kalau korang dalam keadaan uzur syari'e dan dalam zon bendera merah, menyokong serta mendoakan orang-orang yang berpuasa pun dapat jugak pahala, Insya Allah.
Hari ni cuaca sangat indah, tak terlalu panas dan tak jugak terlalu sejuk. Pagi-pagi selepas selesai menghantar anak ke sekolah, aku menyiapkan apa yang patut kat rumah sebelum singgah ke sebuah dua tempat, menguruskan beberapa perkara penting. Aku kemudiannya singgah di ofis, menyelesaikan dokumen-dokumen yang memerlukan sentuhan peribadi. Sedang elok jam menunjukkan pukul 1.40 petang, aku dah boleh bangun dan berkejar ke Gombak untuk menjemput buah hati pengarang jantung balik dari sekolah. Terasa segala-galanya begitu lancar dan hati pun stabil dari segi emosi, walaupun perut belum dialas dan terasa pedih memohon nasi. Takpe la, kalau balik makan dulu, takut lama pulak anak bertuah tu menunggu.
Jalan raya pergi dan balik pun alhamdulillah, tak terlalu sesak dengan kenderaan. Cuma biasalah, dah nama pun waktu puncak hari Juma'at, haruslah tabah dan gigih menyelinap kat mana-mana yang patut. Budak bertuah tu nampak aku dari traffic light lagi dan dah siap-siap melintas untuk menunggu aku di bahu jalan, jadi kami berjaya membolos keluar dari keadaan sendat di kawasan sekolahnya dengan pantas. Itulah, macam aku kata tadi, segala-galanya terasa begitu lancar dan aku amat-amat bersyukur. Juma'at yang penuh barakah, kelihatannya.
Cuma menghala ke petang, aku sakit kepala, biasalah sindrom orang period dah tak boleh nak elak, hadapi je macam biasa. Sempat jugak mintak bibik snap gambar OOTD tanpa kasut dan handbag, buat kenang-kenangan sebelum bukak tudung. Jenuh la tadi buat dek aje sakit kepala dan tetap cuba selesaikan beberapa menda yang perlu diteliti rapi, tapi akhirnya tewas dan terpaksa melelapkan mata barang seketika. Aku kalau dah tidur siang tu maknanya keadaan terlampau kronik, tapi takpe la.. lega sikit bila bangun dari tidur dalam pukul 6.30 tadi. Tak elok tau tidur lepas Asar, cukup 40 hari boleh hilang akal kata orang. Apa nak buat, dah tak larat sangat...
Itu je la nak cerita, terima kasih banyak sudi baca sampai habis. Selamat berhujung minggu dan sampai kita jumpa lagi, Assalamu'alaikum.
~ Nai at Tak Pe Je.
Comments
Post a Comment