Junior's Study Corner, Pelan dan Tindakan Seorang Mummy

Assalamu'alaikum. Sejak pindah rumah ni, banyak perkara yang masih aku tangguh (dan ada yang takde idea/duit ataupun kedua-duanya sekali) nak buat, terutamanya built-in cabinet(s) dan mini library kat ruang yang sepatutnya. Macam dalam bilik anak teruna, aku susun dan atur je mana-mana rak dan meja yang memang dah sedia ada untuk menempatkan buku-buku dan bingkai-bingkai gambar kesayangannya. Kerja-kerja yang melibatkan drilling memang aku tak sentuh langsung, cukup sekadar lapik sana dan sini, bedal aje asalkan menjadi. Keadaan mula nampak kritikal sebaik sahaja UPSR tamat dan makin ketara sejak zaman sekolah menengah rendah bermula. Berbulan-bulan lamanya aku mencari sinar di sebalik kegelapan dunia, kewangan dan ilham sempurna akan solusi terhadap dilema depan mata. Biasalah, dalam keadaan yang segala-galanya perlu diselesaikan, memang terpaksa butakan mata beberapa ketika dan gapai je apa yang paling depan untuk diutamakan. Ni gambar dia bulan Februari tahun lepas, bersama rak-rak buku yang sekarang dah tak mampu nak menampung beban. Rak di kiri dan kanan tu aku baringkan membentuk storage yang berbeza, macam yang korang boleh tengok sendiri dalam gambar kedua kat bawah. Rak tengah yang warna hitam tu aku pindahkan kat tepi katil dia, jadi multi-purpose bed-side table. Meja putih kat atas tu aku manfaatkan mengikut fungsi asalnya, iaitu sebagai meja, bukannya benda lain.


Alkisahnya minggu lepas, masa aku tengah demam dan belum lagi diserang batuk yang menggila, idea nak buat major revamp ni hadir bersama rasa kasih yang mendalam terhadap tuan punya bilik. Aku janji aritu dengan dia, lepas settle kan organization pakaian aku dalam bilik, akan aku ikhtiarkan cara untuk mencantikkan bilik dia pulak. Maka dengan itu, aku ketepikan rasa kantuk akibat uphamol dan ubat selesema dengan mengemas bilik anak tercinta dari pagi sampailah ke tengahari. Dua buah rak buku yang jelas kelihatan dalam gambar pertama kat atas dan sebuah meja (yang sebelum ni tersadai kat ruang yang tak logik langsung dalam bilik tu, sarat dengan kombinasi barang dan sampah sarap bilik anak bujang) kepunyaan pakwe aku, yang diturunkan kepadanya sejak masuk rumah ni, aku sandingkan bersama untuk membentuk sebuah meja berkabinet pintar. Niat di hati nak tukar meja komputer budak-budak kecik berwarna biru tu dengan meja putih yang sedondon, nasib baik aku tunggu dia balik sekolah dulu sebelum buat. Tak nak katanya, dia suka meja tu. Ye, aku beralah dan mengalah dulu (buat masa ni), sementara dia masih belum betul-betul meninggalkan fasa kanak-kanak dan memasuki fasa remaja sepenuhnya. Esok-esok dia sendiri nak tukar meja lain, pujuk hati kecilku sendirian.


Aku tunggu tenaga kaum Adam untuk melengkapkan workstation ataupun study corner anakku, yang melibatkan drilling. Aku tak cukup kuat nak tebuk dinding, campur dengan rasa tak yakin dan tak berani sebenarnya. Sementara tu, aku dah mula beroperasi dari workstation mana yang sempat siap untuk menemani Junior buat homework Matematik sebelah malamnya. Damai rasa hati tengok keadaan bilik yang makin hampir tersusun rapi dan kegembiraan yang jelas terpancar di wajahnya.


Sebaik saja bantuan memasang meja yang perlu dilekatkan ke dinding menggunakan drill berjaya diterima, maka sempurna sudah misi awal untuk menyediakan workstation untuk Junior. Alhamdulillah... bila sampai waktu dan ketikanya, akan aku naiktarafkan lokasi tu dengan lebih strategik dan menepati sasaran sebenar-benarnya. Kemungkinan besar akan aku lengkapkan dengan Billy bookcase ataupun Kallax sets dari Ikea, sepertimana yang aku impikan dalam imaginasi ini.


Dan ada jugak kemungkinan, akan aku bina rak-rak daripada Lack sets untuk melegakan ruangan atas meja yang sarat dengan bingkai-bingkai gambar pujaan hatinya. Kita tunggu dan lihat saja nanti apa hasilnya, ok? Merancang itu kan percuma, apatah lagi memasang angan-angan. Cuma dah pesen aku, angan-angan itu pasti akan diusahakan untuk dijadikan realiti suatu hari nanti. Insya Allah, doakan sama, ya?


Dia dah tanya, apa mummy nak buat dengan koleksi nerf dia yang mendominasi kontena, aku pulangkan balik soalan tu kat dia. Katanya dia nak buat nerf display, dan aku tunjukkan gambar yang aku ambik dari Pinterest kat atas. Terus dia macam nak melompat, sebab apa yang dia impikan sama macam yang aku rancangkan. Hurmm... dia tak tau, mummy memang setiap saat dan ketika mencari penyelesaian terhadap setiap penjuru dalam rumah ni, termasuklah senapang-senapang yang menyemakkan mata tuaku ini! 

Semalam aku dah dapat 3 set pegboards untuk merealisasikan pelan dan tindakan itu, percaya tak? Cuma macam biasa, aku perlukan bantuan apabila melibatkan kerja-kerja penebukan dinding, dan masih belum sempat lagipun nak jenguk kedai hardware cari washers yang sesuai untuk pasang menda tu. Hooks pun belum dicari, takpe menda-menda tu ada je dijual, tak lari gunung dikejar. Pelan-pelan kayuh, Insya Allah akan sampai ke destinasi impian.

Itu je buat masa ni, terima kasih sudi baca sampai habis. Kita jumpa lagi nanti, Assalamu'alaikum.

~ Nai at Tak Pe Je.






Comments

Popular posts from this blog

Mematikan Setem Hasil Di Hadapan Pesuruhjaya Sumpah

Dress Code Peguam Muslimah

Onak, Duri & Ranjau Kehidupan