Coffee Princess & Her Corner

Assalamu'alaikum. Lama rasanya tak berceloteh kat sini, paling bagus pun sebelum ni duk upload gambar tanpa cerita, mana yang sempat je la, kan?  Bukan apa, kadang-kadang tak tau macamana nak mula bercerita, dah pulak banyak menda nak kena buat, kira dahulukan apa yang lebih utama, begitu. Sekarang ni dah lega sikit, boleh la aku update blog dengan cerita Coffee Princess. Tak lama lagi kan ada drama adaptasi Coffee Prince, versi Michael Ang, yang menampilkan Fattah Amin dan Janna Nick sebagai teraju utama. Jadi, elok sangatlah aku buat cerita tentang kopi, kira ambik mood dulu, apa kata?

Dah lebih 7 bulan sebenarnya aku tak minum kopi, dengar macam tak masuk akal langsung, tapi itulah kenyataannya. Nak kata tak sentuh langsung sepanjang 7 bulan lebih ni, bohong la, cuma aku tak minum cafe latte, takat kopi O kat rumah ataupun Mocha Frap kat Starbucks, itu pun kalau terpaksa, nak meraikan tetamu ataupun clients. Kenapa? Sebab masa mula-mula aku pasang niat nak diet, aku nekad nak berhenti minum latte, kalau tak memang azab nak berjaya turunkan berat badan. Aku terbaca hari tu, terlampau banyak minum latte akan menaikkan berat dengan kadar yang sangat cepat. Aku pulak tahap peminum tegar, boleh 3 kali sehari kalau lepak jumpa orang kat Starbucks. Kat rumah pun memang ada mesin kopi, makanya tau je la apa nak jadi, at least setiap pagi wajib minum latte dulu masa breakfast.


Dah tu, kenapa minum semula? Pertamanya, sebab dah kurus. Hahahah. Konfiden je jawab, eh? Ye la, takkan tak nak minum langsung kopi, cuma sekarang kena la logik akal sikit kadar pengambilannya, jangan melampau macam dulu, dah mengalahkan orang hisap rokok pulak addiction nya. Kisahnya, aku dah lama semak tengok mesin kopi yang aku beli khusus untuk diletakkan kat ofis. Takde siapa pun guna, terperap je kat pantry sampai berkulat, eh, sakitnya hati aku tengok! Minggu lepas aku masuk ofis dengan imej denim on denim, fesyen zaman 80-an, dengan misi utama, iaitu untuk mengerjakan mesin kopi biar ada fungsi kembali. Aku ajar budak-budak tu cara buat kopi dan siap bagi depa minum secawan sorang. Kira menghasut la, lebih kurang. 


Buat kopi guna vintage Icona Delonghi ni tak la semudah mesin automatik yang kat rumah aku tu, tapi takde la susah mana pun. Kalau ikutkan, kena ada termometer dan jag besi untuk memanaskan susu fresh, baru la terangkat cafe latte kita, tapi alah, mana-mana yang ada je la pun, kan? Janji sedap sudah air tu, alhamdulillah.


Alang-alang ambik gambar pakai denim on denim, baik buat OOTD post sekali, kan? 


Anyways, sekarang aku dah puas hati tengok keadaan ofis tu, siap aku buat satu coffee corner kasi nampak teratur. Gula aku tak letak kat situ, boleh ambik kat pantry, bukan jauh pun nak jalan, tak sampai sepelaungan dah sampai. Aku bukan minum letak gula pun, masa nak buat kopi bagi pakwe baru sibuk cari gula. Dia sekarang ni jaga badan jugak, gula sesudu camca pun tak sampai diletaknya, ambik syarat gitu. Aku kadang-kadang letak jugak separuh camca, kalau pekat sangat kopi depan mata. Kalau tak, memang minum gitu je, takde masalah.


Setakat ni ok la tahap temptation aku terhadap kopi, takde la gelojoh pergi terkam macam orang mabuk dadah. Lebih kepada hiasan dah sekarang mesin tu bagi aku, janji aku tak sakit jiwa tengok bersepah tak bersentuh. Benda tu dibeli untuk digunakan, bukannya untuk menyemakkan kawasan. Cuma ye la, aku tuan punya badan la kena menyerikan keadaan, tak boleh nak salahkan orang lain pulak, kan? Takpe, lepas ni kita jaga betul-betul, biar semua nampak cantik, teratur dan sedap mata memandang. 

Sekian dulu, Coffee Princess mohon permisi. Assalamu'alaikum.

~ Nai at Tak Pe Je.

Comments

Popular posts from this blog

Mematikan Setem Hasil Di Hadapan Pesuruhjaya Sumpah

Dress Code Peguam Muslimah

Onak, Duri & Ranjau Kehidupan