Selesa Dengan Diri
Assalamu'alaikum. Ada orang tak selesa menyendiri, apalagi di khalayak ramai. Ada juga yang sebaliknya lebih senang sendiri, lepas bebas tanpa sebarang ikatan. Apa pun jua, tergantung pada individu untuk memilih jalan mana yang lebih sesuai dengan hidup masing-masing. Walaupun begitu, kita seharusnya belajar untuk menerima segala-galanya tentang diri sendiri. Selesa dengan kelebihan dan kekurangan yang Allah kurniakan, apa adanya tanpa persoalan. Tinggal lagi, itu bukan bererti kita kekal jumud dalam kekurangan diri tanpa berusaha mengatasinya selagi daya. Kekurangan yang dimaksudkan di sini bukannya dari segi fizikal yang tak diizinkan Sang Pencipta untuk diubah, jangan salah anggap. Selain daripada itu, semuanya boleh ditambahbaik dan diperbaiki dengan usaha dan kesungguhan.
Aku makin lama tengok drama Korea, makin penat dengan tuntutan definisi kesempurnaan. Sehinggakan rupa paras plastik sudah menjadi satu kebiasaan, bukan lagi sesuatu yang dihairankan. Besarnya kuasa dan pengaruh iklan, budaya viral yang menjadi ikut-ikutan. Dunia menjadi bertambah kejam dalam perlumbaan memenuhi standard sosial, yang diolah dan diulangtayang sehingga sebati menjadi jati diri. Lalu dengan sendirinya generasi kita menjadi lebih tersepit untuk menerima keadaan diri, apatah lagi selesa dengan 'pakej asal dari kilang'.
Aku teringat kisah seorang ahli sufi yang buta sebelah matanya setelah diserang demam panas. Apabila ditanya tentang itu, beliau berkata, "aku tak pernah sedar kerana selalu bersyukur masih mampu melihat dengan sebelah mata lagi". Dengan itu, aku juga ikut bersyukur kerana masih mampu melihat dengan kedua-dua belah mata, walaupun sebelah lagi menjadi 'cacat kekal' lari dari tempatnya.
Apa yang ingin aku sampaikan di sini ialah belajarlah bersyukur dengan nikmat yang diberikan percuma. Fokus pada apa yang ada, bukannya pada yang tiada. Berdamailah dengan diri, terima apa adanya tanpa menjeruk rasa ataupun dendam kesumat. Jika kita sendiri tidak pernah menerima, bagaimana orang lain akan mula menerimanya? Dan jika orang lain tidak mungkin menerima sekalipun, kenapa harus kita bersedih dan bermuram durja? Orang yang tak pernah cuba menerima, tak layak untuk menentukan hala tuju hidup kita. Hidup mati kita pun bukan mereka yang tentukan, jadi tak payah sibuk-sibuk kita letak dalam hati.
~ Nai at Tak Pe Je.
Comments
Post a Comment