Tona dan Warna

Assalamu'alaikum. Warna memang memainkan peranan yang penting dalam menguruskan mood kita sehari-hari, itu adalah fakta kebanyakan orang sedia maklum. (Tiber je intro macam nak buat assignment pulok!) Tengok la alam ciptaan Allah ni, terbentang indah dengan pelbagai jenis warna, mana ada senada je semua benda. Seluruh cakerawala, gunung-ganang yang menjadi pasak bumi, langit yang menaungi angkasa raya, lautan dan daratan semuanya berbeza warna dan tona. Supaya setiapkali merenung dan membuang pandang, hati menjadi damai dan tenteram. Makanya, tak heran la kita manusia ni antara sedar mahupun tidak, sangat terkesan dengan warna, terutamanya pakaian yang dikenakan ke tempat kerja. Mendung di hati jangan dibawa sehingga mendung warna pakaian, nanti menambah kekusutan emosi. Lebih baik kita memilih untuk bijak mengawal keadaan dan menguruskan perasaan. 


Monday Blues contohnya, jangan duk balun pakai warna-warna sendu pulak, kata nak uruskan angin dengan baik. Pilihlah kombinasi warna yang sekurang-kurangnya dapat menaikkan seri wajah, menjemput senyuman diri sendiri dan orang lain. Senang-senang je dapat pahala sedekah, takde nak keluar modal pun, senyum dari hati, pasti akan mampu menyebarkan sikit sebanyak kegembiraan kepada orang sekeliling.


Kadang-kadang, kita diserang Daily Blues, Isnin ok takde hal seharian, hari lain pulak yang bikin panas. Jadi, nak senang cerita, bersiap sedialah tanpa mengenal hari apa. Bak kata bijakpandai, "No matter how you feel, get up, dress up, show up. Keep it up and never give up!" Ikutkan hati mati kita, ikutkan rasa binasa. Akal kan ada Tuhan kasi, takkan nak simpan ikat tepi macam teh ais kedai mamak? 


Makin menghala ke hujung minggu, semangat biasanya makin elok. Jadi ada baiknya kita meningkatkan efek warna terhadap pakaian. Kebetulan Khamis kan Hari Batik Nasional, apa salahnya kita melaram dengan baju batik walaupun bukan kakitangan kerajaan. Aku ada kenal sorang kawan yang jadi cikgu sekolah menengah. Dia hari-hari pakai baju batik sutera Terengganu ataupun Kelantan, tak tunggu Khamis. Hari Batik Nasional baginya adalah hari-hari, jangan main-main! Katanya baju lain panas dan kurang selesa kena kat badan, hurmmm untung la! Sekali dia turun KT atau KB, memang borong tahap gaban punya batik kat Pasar Payang ataupun Pasar Siti Khadijah. Suami dia banyak duit takpe la kan? Heheh. Kita yang tak sampai tahap hari-hari berbatik sutera ni, ukur badan di baju sendiri sudah ler, janji tak menghalang lalu lintas, sudah. 

Sekejap je dah Jumaat, biasanya orang pakai santai je pergi kerja, aku pun tak paham kenapa. Masa chambering kat Menara Mutiara Bangsar zaman tok kaduk dulu, Jumaat kami boleh pakai casual, siap jeans lagi, kecuali kalau ada kes ataupun appointment dengan client. Sejak kerja sendiri, tak tentu bila datangnya mood nak pakai casual, tak tentu. Budak-budak aku pun sama, ikut mood je aku tengok. Ye la kan, dah induknya pesen gitu, nak expect apa lagi? Kira macam 'mentor kencing berdiri, protege kencing berlari' lebih kurang gitu la kekdahnya, kan? Pesanan penaja, jangan kencing merata-rata, apatah lagi kalau anda menteri. #tiber.

Ok la korang, aku nak try pejamkan mata. Jumpa lagi lain kali, terima kasih sudi baca. Assalamu'alaikum. 

~ Nai @ Tak Pe Je.

Comments

Popular posts from this blog

Mematikan Setem Hasil Di Hadapan Pesuruhjaya Sumpah

Dress Code Peguam Muslimah

Onak, Duri & Ranjau Kehidupan