Dalam Sekelip Mata

Assalamu’alaikum. Bangun-bangun pagi, dah 1hb Disember? Waaah.... macamana la gamaknya Ashabul Kahfi yang bangun-bangun tidur je dah masuk abad lain? Aku ni ha tengok angka 1 kat henfon masa bangun Subuh, terkebil-kebil lain macam, perasan beecampur-baur. Entahlah... bukan baru je ke sambut tahun 2017? Bukan baru je rasa tak mampu nak teruskan kehidupan sampai hujung tahun? Ooooo... boleh rupanya bertahan! 



Kita macam tu la, kan? Demi masa, memang senantiasa dalam kerugian. Nak habiskan setiap detik dalam kemurungan pun boleh, bimbang akan masa hadapan, tapi untuk apa? Kebanyakan perkara yang kita bimbangkan sangat tu tak terjadi pun, buat penat je panik beriya. Orang putih kata, ‘Worry is like a rocking chair. It gives you something to do but won’t get you anywhere’. Baik kita uruskan elok-elok perasaan bimbang, panik, takut segala bagai tu, lalui setiap hari dengan kepercayaan kepada Tuhan, kesetiaan kepada Raja & Negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-Undang, Kesopanan & Kesusilaan. Haa.. ingat tak Rukunegara?



Cuba tengok budak kecik, macamana dorang tak pernah bosan dan putus asa melalui proses merangkak, bertatih dan berlari. Jatuh, bangun lagi. Jatuh lagi, bangun semula. Kita dulu pun kecik jugak, dah besar tua bangka boleh pulak terlupa nak bangun balik lepas tertiarap baik punya. 

Nak ubah keadaan bukannya mudah, kena bermula dengan diri kita dulu. Apa-apa pun, kena buat langkah pertama, pelan-pelan kayuh, sampai jugak ke tengah. Penat, berhenti rehat dulu kat tepi. Sambung balik kayuh, lama-lama sampai la ke hujung. 

Pernah buat cross-stitch tak? Ye la, tu minat orang lama-lama, macam aku ni. Berapa orang yang buat separuh jalan je lepas tu berhenti? Especially kalau yang guna manik tu, saiz pulak gedabak... maklum la nak buat Masjid Shah Alam niat di hati. Bengkok la jari nak boleh ke siap, tapi kalau berhenti separuh jalan, alangkah ruginya! Take 5, it’s okay, sambung la balik... siap la jugak akhirnya. 

Tak perlu pun jadi doktor dalam ilmu falsafah untuk cuba memahami dan menyelami falsafah kehidupan. Kita semua kan street-smarts, takde hal nya nak cari life-hacks dalam internet dan media sosial untuk dipraktikkan bersama. Yang penting, keinginan untuk berubah perlu ada, usaha perlu seiring dan istiqamah la sampai ke akhir rancangan. Macam jugak baca blog, kalau duk skrol dari atas sampai bawah tak baca habis, memang la tak tau isi kandungan entry. Yang ada gambar, boleh tengok gambar... dah kalau takde gambar, takat baca ‘Salam’ lepas tu ‘Nai at Tak Pe Je’ memang ler tak jumpa faedah kat mana-mana. 

Dunia di hujung jari menjadikan kita semakin malas, tapi tak semestinya kita tak boleh ubah keadaan ke arah kebaikan. Semuanya bermula dengan niat, kan? Tinggal lagi, niat saja memang la tak cukup. Macam solat la, tak cukup dengan niat je, kan kena buat rukun-rukunnya, sunat-sunatnya, barulah sempurna. 

Okay la, aku nak gi pasar tani. Niat je takkan boleh bawak ikan berenang-renang ke dapur. Heheh. Terima kasih sudi baca, tahniah sebab habis sampai akhir. Jumpa lagi, Assalamu’alaikum.

~ Nai at Tak Pe Je.

Comments

Popular posts from this blog

Mematikan Setem Hasil Di Hadapan Pesuruhjaya Sumpah

Dress Code Peguam Muslimah

Onak, Duri & Ranjau Kehidupan