Dalam Pelukan Permaidani Syurgawi

Assalamualaikum. Kami pergi umrah lima beranak,  semua pengalaman pertama kecuali mak,  yang dah naik haji dengan arwah ayah sembilan tahun lepas. Dulu mak in charge jaga mak mertua dan seorang mak jiran,  dah la dia bukannya sihat sangat, cuma dulu masih gagah berjalan jauh tanpa berkerusi roda.  Itupun masih di hujung-hujung ibadah,  mak masuk wad jugak dua tiga hari sebab alahan habuk di Madinah. Kali ni ayah dah takde, mak berkerusi roda dan anak sulung, menantu sulung, cucu sulung dan anak bongsu bertanggung jawab menjaganya.

Imigresen di Madinah takde masalah,  jemaah yang tiba pun tak berapa ramai masa tu dan kami melepasi kaunter dengan senang lenang, alhamdulillah.  Ambik bagasi masing-masing,  kami kemudiannya bergerak ke bas yang sedia menanti di luar perkarangan terminal. Setibanya di hotel dan usai urusan check in,  aku ditemani suami dan adik mengambil keputusan untuk solat isyak dan jamak ta'khir Maghrib di Masjid Nabawi.  Waktu itu kesemua pintu sudahpun ditutup,  dan kami solat di luar kawasan Masjid mengadap pintu yang terkatup rapat.  Dingin angin malam menyapa kami,  dan aku berderai air mata saat sujud di situ,  segala kerinduan yang bersarang di nurani selama ini tidak mampu dibendung lagi. Maka bermulalah episod air mataku sepanjang berada di Madinah,  aku datang bertamu ke rumahmu,  ya Rasulallah... !


Hari pertama kami menziarahi sekitar Masjid Nabawi,  ditunjukkan pintu-pintu utama,  perkuburan Baqi' dan tak lupa juga memberi salam kepada Nabi Muhammad saw,  Saidina Abu Bakar As-Siddiq dan Saidina Umar radhiallahu 'an huma.  Tak tertanggung sebak,  aku menangis untuk kesekian kalinya. Syahdu di hati seakan kian menggila demi masa yang terasa begitu cepat beredar. 


Kami menyampaikan salam sahabat handai dan saudara mara kepada Baginda Nabi Muhammad saw, semuanya dihimpit pilu teringin menjejakkan kaki ke Haramain.  Yang mana belum pernah, aku amat memahami.. Kerana begitulah aku selama ini memendam rasa. Yang sudah izin berwali,  dihambat pilu ingin berkunjung lagi. Dan kali ini, aku turut memahami kerinduan yang takkan pernah kunjung padam untuk hadir bertamu lagi dan lagi.


Perasaan menjejakkan kaki ke bumi Madinah adalah yang terindah dalam hidupku,  tak terbanding dengan mana-mana tempat sekali pun di dunia ini.  Segenap ceruk tempat di luar dirasakan begitu mempesona,  dan segenap ruang di dalamnya adalah sesuatu ketenangan yang luar biasa hebat.  Dari Subuh pertama di dalam Masjid Nabawi, aku terkesima dengan aura taman syurga dunia. 

Hening,  bening,  tenang,  sunyi dalam kebingitan suasana jutaan jemaah,  aku hanyalah aku,  teramat kerdil menyembah Yang Esa. Jika mampu kugambarkan suasananya, persis di dalam hutan dengan bunyi kicauan burung yang berlagu merdu sepanjang solat, tanpa bunyi cengkerik.  Ya,  begitulah keadaannya, sekurang-kurangnya begitulah yang direzekikan kepadaku.  Aku damai di sana,  dalam taman syurga dunia. Kering sudah air mata,  terasa bagaikan disedut tapi tak putus-putus jua. Indahnya kesabaran selama ini, bilamana disambut oleh suasana sehening,  sebening,  setenang dan sedamai itu.  Lima hari yang tak ingin kuakhiri,  tak hairanlah ramai yang berdoa untuk menutup mata di sana,  agar dapat dikuburkan di Baqi' dan dibangkitkan kelak dengan syafaat dan bersama-sama Rasulullah saw. 

Aku tak lagi mengenali diriku,  aku hilang dan tenggelam di sana. Aku menangis dan menangis,  terlalu bersyukur akhirnya impianku selama ini diizinkan Ilahi.  Lima hari di sana,  aku tak rasa lapar dan tidak ingin lapar. Aku cuma ingin selalu diam di atas permaidani merah,  ditemani kicauan burung dalam taman syurga dunia. Jika itulah ketenangannya, izinkanlah aku selama-lamanya di dalam pelukan rahmat-Mu,  ya Rabb..! 

Dan hingga kini,  setelah bumi itu kutinggalkan,  hatiku tertinggal di sana. Aku kepingin ke sana,  dan Insya Allah akan ke sana,  lagi dan lagi. ..


~ Nai @ Tak Pe Je. 

Comments

Popular posts from this blog

Mematikan Setem Hasil Di Hadapan Pesuruhjaya Sumpah

Dress Code Peguam Muslimah

Onak, Duri & Ranjau Kehidupan