Winter Umrah Lookbook

Assalamualaikum. Kalau kita nak pergi mana-mana, biasanya mesti nak cari idea pakaian yang sesuai dengan tempat dan keadaan semasa, betul tak? Masa nak pergi umrah hujung tahun lepas, antara persediaan terawal yang aku buat, benda tu la. Tak banyak yang aku dapat info macam yang aku nak, jadi sekarang aku nak kongsi kat sini Umrah Lookbook untuk musim dingin versi Tak Pe Je. Mana la tau boleh dijadikan panduan serba sedikit, bagi yang selesa berpenampilan macam aku ni. 



Aku boleh dikatakan pakai apa yang dah sedia ada je dalam koleksi, cuma kalau kata tak beli baru langsung tu bohong la, kan. Tudung aku beli yang instant tanpa dagu kat Shopee, kain mosscrepe ni sangat selesa dipakai dan elok untuk musim sejuk. Aku tak beli yang berdagu sebab dah banyak inner ninja berdagu dalam gobok lagenda. Melainkan korang jenis memang akan pakai selepas balik umrah, pada pendapat aku elok korang tak payah nak beriya beli segala macam tudung instant berdagu dan lepas tu simpan dalam almari. Adalah lebih baik beli inner ninja berdagu, senang nanti nak kelek kulu kilir dalam handbag pergi kerja atau jalan-jalan, keluarkan bila nak solat. Aku pesen memang pakai inner ninja berdagu ni hari-hari, jadi aku lebihkannya dalam koleksi. 


Sepanjang di Haramain, aku duk tukar-tukar pakai antara bokitta dan tudung instant mosscrepe. Walaupun 5 helai aku beli aritu, aku bawak 2 helai je yang warna maroon dengan hitam, sebab kebanyakan baju aku masuk dengan warna tu. Nak bawak banyak helai, rasa beratkan beg aje, bokitta takpe kainnya ringan dan tak makan ruang. Menyesal jugak la, sebab tudung instant tu sangat-sangat berguna masa santai, terutamanya nak pergi beli makanan ataupun cuci-cuci mata melontar di kedai jubah. Nak buat pergi solat pun itulah, pergi makan itulah, padan muka aku bawak 2 helai je. Korang nanti jangan jadi macam aku.


Telekung mana yang dah ada kat rumah tu, aku mintak tolong P.A aku si Tikah potong jadikan mini telekung dan buat poket kat tengah. Bila dah siap, aku jahit sendiri zip tutup poket, maka jadilah 3 helai telekung biasa itu mini telekung berzip. Nak beli mahal, buat je cara jimat, kena ada ikhtiar sikit la, kan. Tapi kalau korang ada bajet, takpe je nak beli mini telekung yang ada zip ke takde zip ke, masing-masing punya pilihan. Aku ni sebab bajet tak berapa nak ada, demikianlah caranya.


Mini telekung ni bagus, cuma nak kena pakai baju lengan panjang masa nak solat. Pergi masjid ye lah kita selalu berpakaian mesra solat, tapi bila kat bilik hotel ataupun dah balik rumah esok, jenuh jugak cari stongan nak kasi tak nampak lengan bila solat. Maklumlah kat rumah kan kita selalu pakai t-shirt lengan pendek, masa tu tricky la sikit kalau pakai mini telekung. Tapi aku ni memang suka kumpul telekung, jadi setakat 3 helai dah transform jadi mini telekung, apa ada hal? 


3 helai mini telekung yang bertuah ikut pergi umrah: putih, maroon dan beige. Yang aku paling sayang dan akan aku kenang sampai bila-bila.


Tudung instant mosscrepe warna maroon yang paling banyak berjasa sepanjang berada di Haramain. Syahdu je gambar-gambar aku, perasan tak? Dah keja nya menangis doplo pat jam, habis camno? Aku rasa kalau tadah dengan baldi, dah banjir kot! Oh, kat sana pun layan kopi Starbucks jugak, apa nak buat... Jimat tang baju, keluar tang makan minum.


Yang warna hitam kebiasaannya aku tak berapa nak pakai, tak tau la kenapa, mungkin dari dulu lagi suka tudung maroon gamaknya. 



Sampai sekarang pun aku duk ligan yang maroon tu,  pagi-pagi hantar anak pergi sekolah,  pergi pasar tani pagi Sabtu,  turun jumpa tamu yang datang bertandang,  takat nak sebut 2, 3 keadaan. Yang warna hijau lumut aku letak kat ofis,  buat transit ambik wuduk. Eh,  mana entah yang lain, jangan hilang bersimpan sudah! 


Baju labuh aku bawak 2 helai, lagi sehelai aku pakai masa berlepas ke sana, jadi ada 3 helai semuanya. Seluar panjang 3 helai dan skirt labuh sehelai. Gambar kat bawah ni vogue sikit, sebab diambil pasca umrah di Jeddah. Dah ada bedak kat muka. Baju hitam sulam-sulam kat atas tu dah sedekad umurnya, beli fabrik kat Padang, Indonesia dan hantar upah jahit. 2 helai baju labuh dalam gambar kat bawah ni aku tempah dengan si Tikah, budak bertuah tu tak nak terima upah, hadiah aku nak pergi umrah katanya. Aduhai... takpe la, besar pahala dia dapat!


Okay, jubah pulak aku bawak 2 helai je, sebab aku tukar-tukar pakai baju Muslimah dengan seluar. Aku tak beli jubah baru, memang dah banyak pun dalam almari kat rumah, dari dulu duk dapat hadiah daripada cik abang setiapkali dia pergi Timur Tengah buat program persatuan. Tudung labuh ataupun khimar aku beli dua helai, putih dan hitam. Kasi mak sehelai, dia nak warna hitam. Bab khimar ni aku invest jugaklah, walaupun entah bila aku nak pakai pasca umrah. Tak lengkap rasanya kalau takde khimar ni, maklum la trending ala-ala Fazura dan artis-artis gitiewww. 


Pakai macam ni senang nak masuk Raudah katanya, aku tak pasti betul ke tidak, tapi banyak la testimoni yang cakap macam tu. Masa bawak mak pergi Raudah aritu pun kami berdua pakai khimar dan jubah hitam, takde masalah apa pun nak masuk, kena banyak bersabar aje la dengan perangai manusia lain. Ganjaran kesabaran tu, Allah bagi ketenangan dan kesyahduan yang luar biasa hebat bila tiba masanya solat di Raudah. 


Khimar putih ni aku pakai dua kali, sekali masa panjat Jabal Rahmah di Arafah dan sekali lagi masa tawaf wada' hari terakhir di Mekah.


Jubah putih lawa sangat masuk dengan khimar putih, aku rasa macam air sejuk dalam labu sayung je masa pakai. Mak beli kat Madinah, siap merayu-rayu nak kasi hadiah kat aku, tak nak kasi aku bayar. Takpe lah, aku mengalah dan bayarkan yang lain. 


Jubah putih ni sangat lawa, aku ambik saiz besar sikit konon nak cover bumper, sudahnya menggelebeh sebab aku hilang banyak kilo sepanjang umrah dan sepulangnya ke tanahair masih belum naik berat. Gambar kat bawah ni ambik kat Jeddah, hujung jubah tu aku jahit tangan sebab labuh sangat, memang bawak benang dan jarum dari KL just in case. Ada gak pekdahnya, alhamdulillah.



Kalau orang kata pengantin berseri, aku kata pergi umrah lagi berseri-seri, lain macam weh penyucian rohani sepanjang waktu berada di Haramain. Buat entry ni aku jadi sebak, teringat segala-galanya, semoga rindu ini takkan terbiar lama.


Rasanya dah cover bab penampilan. Kalau pergi masa winter, Madinah cuacanya lagi sejuk berbanding Mekah. Standby baju tebal, takut nanti hujan ke apa, menggigil jugak pakai nipis-nipis waktu Subuh dan Isyak. Thermal untuk autumn kalau ada, pun bagus bawak pakai dalam jubah yang nipis. Nak beli heat tech kat Uniqlo pun boleh, cuma masuk hari ketiga badan kita dah terbiasa dengan cuaca kat sana, nanti tak pakai pun thermal dan heat tech bagai. Cukup takat pakai seluar panjang biasa ataupun seluar haji yang dijual kat Mydin tu. Tudung nak bawak berapa, ikut suka kita, cuma kalau boleh bawak yang boleh masuk dengan kebanyakan baju, baru tak payah bawak banyak sangat. Yang kena banyak bagi aku, pakaian dalam. Panties senang bawak yang disposable, bra biar lebih. Stoking dan stongan bagi yang kulit sensitif macam aku, biar tersalah lebih. Nak basuh takut lambat kering, lebih-lebih lagi kalau duduk hotel 3 bintang ke atas, kalau nasib baik dapat bilik yang sampai matahari kat tingkap takpe. 

Kasut pulak aku bawak sepasang je,  pakai dari waktu berlepas sampailah berangkat pulang. Ada beli baru cadang nak pakai,  tapi tak seselesa kasut lama jenama Scholl yang dah berkurun lama usianya. Tak kisahlah kasut buruk pun,  janji mesra dengan kaki kita. Selipar jenama Crocodile aku bawak sepasang,  kulu kilir selama ni sampai lunyai,  itu jugak yang aku berkenan bawak. Ngam-ngam nak sampai ke hujung umrah,  mulutnya terbukak sebelah,  Innalillahi wa inna ilaihi roji'un. ..aku tinggalkan aje kat Pullman sana.  Untuk tandas,  bawak siap-siap selipar jepun,  kalau tak mendapat ler kesejukan korang setiapkali memijak lantai. Musim sejuk jangan buat main,  weh.. Boleh kejung kaki dibuatnya!  

Iron nak bawak ke tak? Aku bawak, alang-alang memang dah ada, lagipun kecik je Philips tu, edisi stewardess. Senang boleh lipat-lipat, jimat ruang. Kalau gedabak payah jugak nak kemas sekali dengan baju segala bagai. Dinasihatkan, carilah yang travel punya walaupun bukan edisi pramugari, sekurang-kurangnya takde la jubah cik abang korang berkedut. Yang tak kisah takpe, cik abang aku tak boleh. Hotel kat Haramain jarang sediakan iron dalam bilik, kecuali la korang duduk hotel 5 bintang. Lagi satu, travel agent ni suka sangat 'up' kan bintang hotel, kalau depa kata 4 bintang, bila korang check balik, 3 bintang je. Jadi, biarlah terlebih bersedia dengan kelengkapan basic seperti iron... 

Okay lah, aku nak makan kejap, tak sedar dah nak pukul 2... patutlah rasa lapar. Lain kali cerita lagi, Assalamu'alaikum.

 ~ Nai at Tak Pe Je. 

Comments

Popular posts from this blog

Mematikan Setem Hasil Di Hadapan Pesuruhjaya Sumpah

Dress Code Peguam Muslimah

Onak, Duri & Ranjau Kehidupan