Printed Palazzo TPJ
Assalamu'alaikum. Ya ampun... banyaknya lagi kain pasang yang menempati stor, risau aku dibuatnya! Kebetulan ada banyak masa yang perlu diisi dengan aktiviti yang bermanfaat demi mengelakkan diri daripada dilanda kemurungan, maka apa lagi, menjahit ler jawabnya. Dalam sehari dua helai palazzo aku boleh siapkan, percaya tak? Sesiapa yang kenal rapat dengan aku takkan hairan, sebab itulah aku kalau dah fokus buat sesuatu. Takde moderation, mesti extreme tak ingat punya.
Kain bercorak macam ni cantik dibikin palazzo, kalau nak beli biasanya kat Poplook.com ada banyak pilihan yang menawan kalbu. Dulu2 selalu jugak aku beli, bertahun2 lamanya aku pakai sampailah sekarang, elok lagi keadaannya. Sama jugak kalau beli kat butik Belle, cuma harganya jauh lebih mahal berbanding Poplook, tapi logik sebab kualiti fabriknya alah membeli menang memakai. Tinggal lagi, untuk badan macam aku ni bukan senang nak cari saiz yang betul2 ngam dan selalunya terpaksa pilih one size bigger demi melepasi KPI bonda dan suami. Mula la menggelebeh dan labuh tahap boleh sapu sampah ganti DBKL, clear debu-debu di kejiranan. Satu kerja lagi nak hantar kedai, alter mana yang patut dan perlu.
Itu cerita dulu, zaman belum terjebak dalam arena mesin jahit. Sekarang ni, segala-galanya menjadi lebih mudah sebab dah boleh buat sendiri palazzo ikut ukuran dan piawaian yang dikehendaki. Secukup rasa la pendek katanya. Kain ni coraknya sangat menarik di mataku, tapi bonda tak berkenan sebab nampak macam orang tua katanya, dan nampak murah tak sesuai dengan aku. Tersengih dan cuma mengangguk, aku tak de hal langsung sebab dah aku suka, takpe je! Walaupun aku buat sekali dengan kebaya cardigan, setakat ni aku tak pakai sepasang, duk suai padan dengan pakaian lain.
Disebabkan kain ni satin, aku alaskan dengan kain sifon kat dalam, biar awet dan lagi flowing jatuh terletak. Barulah tahan lasak dan takde pecah-pecah ataupun tertarik benang sana sini. Setakat ni ada 2 helai printed palazzo yang dah aku siapkan, lagi sehelai tu baru kejap tadi siap, kainnya satin jugak tapi polos. Lebih kain baju Melayu dua tahun lepas, kalau tak silapnya. Satinnya agak tebal dan tak perlu dialas, itu yang sepantas kilat boleh siap. Kalau nak alas perlu lebih masa, kerjanya jadi berganda.
Bagus banyakkan koleksi palazzo ni, dah memang favorite aku. Senang nak pakai kat rumah, pergi kerja ataupun keluar bersantai. Berapa tahun lepas ada beberapa helai tempah di Vietnam masa pergi berjimba kat sana, tapi kainnya tebal dan kurang selesa dipakai di luar kawasan aircond, lagipun semuanya polos takde yang bercorak. Nama pun benda baru, mestilah lebih mengujakan, tak gitu? Seronoknya Tuhan saja yang tahu, dapat buat printed palazzo dengan kudrat dan keringat sendiri. Alhamdulillah... Mana la tau kan kot ada rezeki nak pergi berjimba tak lama lagi, bolehlah melaram sakan dengan palazzo baru. Bukan apa, bila pakai seluar gobos macam ni, takde la kena jeling dengan bonda dan suami kalau bajunya sedikit slim. Sama jugak kekdahnya kalau pakai seluar slim, bajunya perlu sedikit gobos. Umur pun dah 40-an, logik akal perlu extra miles.
Sekian dulu, jumpa lagi nanti. Assalamu'alaikum.
~ Nai at Tak Pe Je.
Comments
Post a Comment