Pada Teduh Kasih-Mu
Assalamu'alaikum. Orang cari makan kais pagi tengahari petang malam repeat macam aku ni takde pendapatan tetap, bukan macam orang makan gaji. Kebanyakan masanya memang tak seimbang dengan tanggungjawab material yang tergalas di bahu nan rapuh ini. Jauh di sudut hati selalu berdoa untuk mampu membayar zakat, agar rezeki dan pendapatan bebas dari noda. Aku percaya pada kuasa doa, itulah pun asbab aku masih gagahkan kaki melangkah, meskipun sering lelah dan rebah tersadung beban yang memberat.
Aku pernah berdoa: Ya Allah, izinkanlah aku bertamu di rumah-Mu, membawa bonda yang lama menunggu. Maka dengan itu, Kau murahkanlah rezekiku Ya Rabb, agar aku mampu bertamu ke sana dan mampir di makam Rasul-Mu. Sesungguhnya Allah sentiasa mendengar rintihan hamba-hamba-Nya yang resah gelisah, menagih simpati. Lambat atau cepat, doa kita akan dimakbulkan. Akhirnya panggilan Baitullah datang padaku, syukur Alhamdulillah... tercapai impian bonda untuk iktiqaf di Masjid Nabawi menunggu waktu solat fardu, berlama-lamaan di Masjidil Haram tanpa perlu diserang asma.
Cuma hidup ini tak selalunya indah dan tak semudah yang kita harapkan, itu kenyataan yang wajib kita terima. Atas nikmat yang Allah berikan, akan ada nikmat lain yang ditarik. Ada hasrat yang cepat Allah tunaikan, ada pula yang harus terus menunggu. Andai tidak kesampaian, maka mungkin itu bermakna Allah lebih tahu apa yang terbaik untuk kita, yakinlah akan ada galang gantinya nanti.
Berbalik pada zakat, aku duduk merenung satu demi satu ujian berat yang datang bertimpa-timpa, menginsafi diri yang penuh kekhilafan. Hati terdetik untuk membuat kira-kira, adakah mungkin ada hutang yang tidak aku tunaikan? Sebelum ni mungkin belum layak, rupa-rupanya untuk tahun lepas ada bahagian yang wajib aku zakatkan, ya Allah! Dengan jumlah yang sedikit cuma, mudah2an pendapatan untuk tahun itu terhapus dari noda, ameeen...!
Aku panjangkan juga pesanan kepada kawan-kawan terdekat, tak rugi membuat kira-kira untuk memastikan. Dengan segala kemampuan yang sedikit, kita bersihkan pendapatan, mudah2an nanti akan Allah tambah rezeki dengan penuh keberkatan. Berdoalah untuk melunaskan hutang-piutang, untuk menjadi hamba-Nya yang mampu membayar zakat, untuk sentiasa menjadi tamu rumah-Nya, untuk istiqamah dalam perjuangan melawan nafsu amarah, untuk berteduh di bawah payung golongan orang-orang yang berkasih sayang kerana-Nya di Mahsyar nanti, untuk terkategori dalam pencalonan kumpulan sebelah kanan di akhirat sana.
Maafkanlah aku, atas segala salah dan silapku, aku juga cuba memaafkan semua...
~ Nai @ Tak Pe Je.
Comments
Post a Comment