Pot-Pet Sembang Kisah Biasa-Biasa

Assalamu'alaikum. Ramadan kali ni aku memang kalut dan kadang-kadang ke laut, ada ke patut? Ada masanya menghabiskan masa berjam-jam depan laptop sampai selesai dokumen-dokumen yang nak dimajukan kepada clients, tapi ada ketikanya terpaksa ke bulan, bintang, planet Pluto dan turun semula ke bumi, masih tak boleh menyiapkan sebaris ayat sekalipun. Itulah yang aku maksudkan dengan ke laut tadi, sindrom tepu otak kanan dan kiri melanda diri. Maka, tak hairanlah kalau blog ni sendu je dua tiga menjak ni, minggu bertemu minggu, setakat boleh update dengan Wordless Wednesday posts, apa nak gebang?


Biasanya kalau tiba waktu ke laut gitu, mulalah main sauk je tudung mana yang tergantung kat perimeter paling dekat dengan tangan. Contoh macam semalam dengan hari ni, duk ke hulu ke hilir pakai shawl yang sama, gaya lilitan je berbeza. Jenuh ler berkejar pagi-pagi ke Shah Alam, sekali tak berjaya melaksanakan misi pemfailan dokumen. Susah tau nak borak dengan orang-orang kaunter ni, dorang terlebih yakin dengan pengetahuan yang standard dan tahap ice-berg, bila dapat benda-benda yang tak pernah diproses, dorang senang sangat nak buat keputusan kelakar. Aku pulak takde masa nak berlama-lamaan membuat penerangan, dan takde mood nak bertekak dengan manusia mahupun robot, maka sudahnya aku angguk dan senyum, mohon angkat kaki dengan penuh susila. Nasib baik la ngam-ngam je sampai KL sebelum azan zuhur dan sempatlah aku memecut ke Gombak untuk menjemput anak bujang kat sekolah.


Stereng kereta terasakan begitu berat untuk dipusing ke kiri dan ke kanan, seberat jiwa dan perasaan, sehinggalah anak bertuah bagitau dia dapat 75% markah mid-term untuk kertas sains. Mummy penat kot, katanya, sebab tu rasa stereng berat. Aku terharu, tapi cuma mampu mengiyakan dan gelak kat dia. Tapi bila dengar cerita dia pasal markah sains, aku jadi hilang semua rasa berat. Katanya, bila dia dapat kertas dan pandang markah, dia rasa happy sangat. Hurmm... dia tak tau, aku laaaaagi sejuta kali happy daripada dia. Maknanya dia dah start boleh adjust belajar dalam Bahasa Melayu, tapi masa iftar dia bagitau kat meja makan, ada yang dia jawab dalam English. Heheh, patut ler, takpe la.. memang aku ada pesan aritu sebelum mid-term, suruh dia jangan tinggal kosong kalau tak pasti nak jawab, tulis je dalam English, nanti dapat jugak markah.


Jadi mak memang macam ni, kan? Kalau anak kita tak pandai berenang, takkan la kita nak campak dia tengah-tengah laut suruh belajar berdikari. Orang yang ada anak yang pandai dan boleh mandiri takkan paham, sehinggalah dapat anak yang kurang pandai. Aku bersyukur sebab diuji dengan anak nan seorang ni, manja sedemikian rupa. Sekurang-kurangnya dia menunjukkan peningkatan demi peningkatan dalam proses peralihan silibus dan bahasa pengantara. Ramadan ni aku tak sempat nak ajar dia langsung, maka bersultan di mata beraja di hati ler dia layan game, dah pulak cuti semester dua minggu aritu, kan? Adeh, ko rasa apa perasaan mummy? Tapi takpe la, aku pun kena jugak fikir pasal diri sendiri, kan? Tadi aku dah janji akan mula ajar dia semula lepas raya, dia macam biasalah jawab, "Okay mummy!".. walaupun nanti tak diketuk, tak bergerak jugak.


Weekend ni nak kena gi ambik baju Melayu raya dia kat kedai, aritu hantar repair, baru dua bulan tempah, dah senteng bagai. Alamatnya pakai raya kejap je ler, raya Haji dah kena tempah lain. Nak try cari ready-made, kot ada size pinggang dia yang ramping bak kerengga tu. Korang dah siap semua shopping raya? Aku belum, last minute sebelum cuti raya haruslah marathon dengan pakwe pergi beli baju anak dan pak mertua. Mak aku semua dah settle, tudung dia aku dah beli minggu lepas, alhamdulillah dia tersenyum lebar senang hati. Tinggal handbag je la, dah dua tahun tak belikan dia handbag baru. Aritu niat nak bagi Selma MK yang dia berkenan, tapi bajet pulak tak mengizinkan, may be singgah kat Vincci ataupun Charles & Keith la nanti, angkat model yang ala-ala Selma, murah sikit. Dah ada bajet esok-esok baru dapatkan Selma tu, Insya Allah. Aku? Baju aku memang dah lama pun ditempah, siap secara berkala dan bayaran pun senang ikut progress, macam bayar rumah baru naik dengan pemaju ler kan. Tudung pakai mana yang ada, sandal pun sama, handbag ambik je nanti dalam almari tengok kesesuaian dengan majlis. 

Eh, meleret-leret la pulak jadinya. Sampai sini dulu la, ya, terima kasih sudi baca. Jumpa lagi, Assalamu'alaikum.

~ Nai at Tak Pe Je.







Comments

Popular posts from this blog

Mematikan Setem Hasil Di Hadapan Pesuruhjaya Sumpah

Dress Code Peguam Muslimah

Onak, Duri & Ranjau Kehidupan