1 Syawal 1440H : Kisah Baju Raya

Assalamu’alaikum. Macamana raya tahun ni, seronok? Aku rasa tahun ni lain daripada biasa, sebabnya aku sihat sepanjang Ramadan siap diizinkan berterawih 20 rakaat beberapa kali di Masjid Muaz bin Jabbal. Berat pun tak bergolek-golek terjun macam kebiasaannya, maka baju raya pun sedang elok je menghiasi badan, takde la nampak macam baju pinjam. Dari segi rezeki kesihatan satu, dari segi kewarasan akal fikiran pun iya jugak. Agaknya sebab tu la orang duk cakap, badan yang cergas akan menghasilkan otak yang cerdas. Bukan takde perkara yang menyakitkan hati berlaku, ada banyak je kalau nak cerita tak cukup sehari. Tinggal lagi, akal berfungsi dengan sangat baik dan emosi pun ikut terpimpin sekali. Soal hati memang takkan pernah selesai, jadi ada baiknya kita uruskan segala yang termampu dalam bidangkuasa kita sudah la, nak buat lebih daripada tu sah-sah takkan mampu, kan? 

Lagi satu perbezaan ketara tahun ni, takde nak kena tempah baju raya sebab dah boleh jahit sendiri la kononnya. Jimat banyak sangat-sangat, lagipun selama ni baju yang ditempah banyak nak kena alas, dah sekali ganda naik upah. Ada lebih kat situ bajet nya, boleh dibuat benda lain, nama pun kakak jadi pengganti arwah ayah, faham-faham aje la beban yang tergalas di bahu ini. Dah senget pun bahu, ko rasa?


Raya pertama aku pakai warna bright peach, sepadan dengan anak dan suami. Biasanya anak yang pilih warna tema, tahun ni daddy dia ambik alih, masa ukur baju Melayu di kedai client dia. Dah berapa kali raya client tu sponsor baju Melayu dua beranak ayah dan anak itu. Pada pandangan mata aku, warna ni akan lebih cantik kalau sedikit lembut, terang sangat sampai kena cari shawl lembut nak kasi neutral dalam gambar. Asalnya nak pakai tudung bawal mengerlip yang Tikah kasi, tapi adik dgn adik ipar aku kata kosong sangat atas sampai bawah, itu yang aku pakai shawl bernada lembut dan bercorak bunga berselerakan. Apa-apa je la, janji naik seri.


Aku takde la mekap beriya, tapi lebih la daripada biasa, guna foundation 4 dalam 1 jenama Silkygirl. Elok hasilnya, takde keping-keping bagai kat muka. Spray nak kasi tahan lama mekap pun aku takde, tapi masih boleh tahan lama mekap sampai petang. Aku period 3 hari sebelum raya, jadi selamba badak je la biarkan mekap di wajahku itu selagi stok masih ada. Setakat ni aku puas hati sangat guna produk Silkygirl, bedak kompek dorang pun sesuai dengan kulit aku. Cuma lepas ni nak kena try pakai Mary Kay pulak, dah alang-alang jadi ahli sekarang. Dengar cerita bagus betul produk tu, MUA bersepah duk buat promosi kat media sosial. Heliza artis Muslimah tu pun rekemen baik punya MK, untung la...!


 Nah belanja lagi gambar Kakak & Adik Perempuan tunggalnya.


Aritu mak tanya mana aku beli kain lace dan satin ni, kat Nagoya Aeon Big je aku jawab. Tahun ni takde sibuk nak pergi Jakel ke Gulatis ke, malas nak bersesak-sesak ke pusat bandar. Terkejut jugak bila pakai kat kampung tak rasa panas, aku siap pakai sampai isyak tau! Lace beli kat Nagoya ni dah la tak panas, kena kulit pun rasa selesa tak menyebabkan rensa ataupun gatal-gatal. Kalau jenis gatal miang tu tak termasuk dalam kategori ni, ya tuan-tuan dan puan-puan. 

Hazabedah betul jahit sendiri satin dan lace, silap sikit dah jadi menggelembung, tak lawa. Paling susah nak buat elok bagi aku adalah satin polos yang bersambung kat bahagian bawah baju,  padan muka mengada-ngada nak berfesyen sangat.  Lagi susah daripada menangkup lengan ke badan, tak sudah-sudah rasa menyesal duk buat style gitu. Tapi bila akhirnya menjadi la jugak, terubat sikit sakit hati. Lepas tu aku ada buat lagi sehelai baju kurung modern kain lace,  lebih mudah terasa sebab dah ada pengalaman menjahit kain alas baju peach ni.  Lagipun aku gunakan kain cotton, takde la gemalai macam satin. Patut la baju pengantin upahnya mahal, kan?  Bercinta weh nak siapkan, lebih-lebih lagi kalau nak tambah manik berurai bagai,  labuci segala macam. 

Gitu la entry cerita ringkas lepas raya,  terima kasih sudi baca sampai habis. Jumpa lagi lain kali,  jaga diri hiasi peribadi. Selamat Hari Raya, Maaf Zahir & Batin. 



~ Nai at Tak Pe Je.  



Comments

Popular posts from this blog

Mematikan Setem Hasil Di Hadapan Pesuruhjaya Sumpah

Dress Code Peguam Muslimah

Onak, Duri & Ranjau Kehidupan