Nuffnangx

Friday, 29 April 2011

Disampuk Hantu Kak Limah

Tak pernah la aku ni jemu tengok komedi2 karya Allahyarham P.Ramlee. Entah berapa kali ulang tayang pun, duk ngadap la kalau ada peluang. Kadang-kadang saja tunggu sesetengah babak yang memang dah jadi wayang pun dalam otak. Lepas tu, gelak la jugak macam tak pernah nye tengok sebelum-sebelum tu. Naik hairan la kadang-kadang kat diri sendiri. Banyak dialog yang melekat sampai sekarang, contohnya "Entah la, labu", "Aku mati dalam iman, daa..", "Tu orang sebelah, hari-hari makan tulang, buat sup" dan macam-macam lagi. Dah namanya legend, macam tu la...


Komedi-komedi pasca zaman P.Ramlee tak de yang boleh bikin fenomena kat Malaysia ni. Kebanyakannya memang dah sebati dan terbawa-bawa dengan gaya lawak Seniman Agung kita tu. Sehinggalah (bagi aku) hadirnya pujaan hatiku, brader Afdlin Shauki. Itu pun awal kemunculannya bersama Harith Iskandar diminati golongan-golongan minoriti saja. Lebih diterima adalah kumpulan Senario (dan kemudiannya Saiful Apek + Yasin). Tapi lama-kelamaan, brader Afdlin makin melebarkan sayap dan mengukuhkan tapaknya dengan filem-filem komedi yang pecah panggung. Hingga Awie pun naik balik (sekali lagi bagi aku la) lepas filem 'Baik Punya Cilok'. 


Yang membawa aku kepada pujaan hatiku yang seterusnya, brader Mamat Khalid. Filem mula-mula yang aku terpanggil ke panggung adalah 'Lang Buana'. Aku nak pegi tengok tu pun sebab filem 'Man Laksa' yang banyak kali disiarkan kat Astro.Tak tau la macamana nak cakap, tapi aku tergolek-golek la gelak walaupun orang lain ada yang selamba aje diam kat bangku. Keluar panggung pun aku masih tergelak duk ingat dialog2 yang menggeletek tangkai hati. Brader yang teman aku pun sama, walaupun julung-julung kalinya dia tengok cerita Melayu.


Lepas Baik Punya Cilok, Awie disambar Abang Mat berlakon dalam 'Zombie Kampung Pisang'. Diikuti tak lama kemudian dengan sambungannya, 'Hantu Kak Limah Balik Kampung', yang mencetuskan fenomena baru dalam industri filem komedi tanahair. Mengekalkan kebanyakan watak penting dalam Zombie Kampung Pisang, yang paling menyerlah adalah Hussin (Awie), Usop Wilcha (Shy8) dan Abi Hurairah (Johan). Sehari semalam ibaratnya, Malaysia dah disampuk Hantu Kak Limah. Meniti dari bibir ke bibir dialog-dialog berhantu filem tu antara lainnya: "Cer citer, Cer citer"; "Kita bakor"; "Itulah pentingnya English Education". 


Aku memang tak sempat sangat nak masuk panggung tengok filem tu, konon-konon sibuk la, kan? Tapi satu hari tu aku ambik time-off tak masuk ofis, sambung tidur lepas Subuh sampai pukul 1 petang baru bangun. Adeh, leganya ya Allah...! Lepas Zuhur, makan pun tak lalu, terus je tengok cerita tu yang memang dah lama ada kat desktop pun, menunggu untuk ditonton. Tergolek-golek aku ketawa sorang-sorang macam orang gila. Abis segala tekanan keluar tingkap rasanya. Semangat pun datang menyerbu dan menyelinap ke seluruh ruang jiwa. Boleh? Itulah kuasa ketawa. Laughter Is The Best Medicine, kata bijak-pandai.


Sekarang tengah sibuk dengan program Maharaja Lawak. Kalau dulu Nabil, Johan, Zizan dan Kumpulan Sepah mencipta nama dari Raja Lawak, sekarang mereka berentap pula dalam gelanggang Maharaja Lawak. Dah pulak Abang Mat Khalid, Saiful Apek dan Ahmad Idham jadi juri. Gila best! Kali ni aku dah jatuh hati pula kat kumpulan Jambu yang menggandingkan Yus & Tauke walaupun Nabil tetap lepak kat special place dalam sanubari, chewah! Serius, tengok muka Yus je aku dah nak tergelak, belum dia cakap apa-apa pun. "Yang Penting Kita Enjoy...." Adeh... Tak larat dah nak gelak.


Kira sekarang bahana Hantu Kak Limah dan Yang Penting Kita Enjoy memang makin panas hari ke hari. Bagi aku itu semua perkembangan yang sihat la dalam industri hiburan tanahair, especially bab-bab komedi yang mencabar minda. Takde la naik malu tengok manusia-manusia yang kononnya buat lawak kat depan khalayak. Sekurang-kurangnya itu la yang aku rasa. Pada pendapatan aku la, kan?


Sekian, terima kasih.
















Thursday, 7 April 2011

Nombor Bertuah

Nombor bagi sesetengah orang tak lebih daripada angka. Tapi bagi sesetengah yang lain, nombor penentu kesejahteraan hidup, penyumbang kepada kekayaan mahupun kejayaan sesebuah perniagaan. Kalau dulu sindrom pemilihan nombor-nombor yang dikategorikan sebagai 'ong' atau 'bertuah' ini hanya di kalangan masyarakat Tionghua, tapi sekarang dah berjangkit sama kepada bangsa-bangsa lain. Al-maklum, 1 Malaysia la katakan...

Implikasinya, penuh la JPJ dengan 'runner' kepada syarikat-syarikat menjual kereta dan individu-individu yang berebut nak dapatkan 'nombor cantik' bagi pendaftaran kereta masing-masing. Yang sanggup melabur sampai puluhan ribu ringgit pun ada semata-mata nak tempah nombor-nombor terhangat di pasaran, terutamanya nombor 1 - 3 digit dan yang mempunyai angka 8.

Angka 8 dikatakan sangat 'ong' kerana dikaitkan dengan kekayaan, manakala angka 4 amat dihindari kerana bersangkut-paut dengan kematian. Kepercayaan ini memang amat kuat di kalangan sesetengah kaum sampai bukan sahaja kereta, beli rumahpun tak mau ada nombor 4. Hatta bangunan pun tingkat 4 ditukar jadi 3A. Nasib baik masa mengira tak tukar semua nombor 4 kepada 3A. Yang hairannya, dah sampai masanya, mati jugak walaupun tinggal dalam rumah yang tak ada nombor 4. Sampai masanya, accident jugak walaupun pakai kereta yang tak ada nombor 4. 

Tapi pernah satu masa tu aku terjumpa seorang taukeh kedai komputer di Wangsa Maju. Waktu ditanya kenapa nombor akaun kedainya banyak nombor 4, bukan ke orang cina tak suka nombor tu? Dia selamba saja menjawab, 'Mana ada betul itu semua. I sudah pakai lama ini nombor, banyak ong jugak. Belum mati-mati, pun!'. Hahaha. I like...

Pernah aku borak dengan seorang Pengarah JPJ, katanya sejak kebelakangan ni nombor 4 dah jadi rebutan pulak di kalangan orang-orang cina. Kalau dulu bersepah nombor pendaftaran berangka 4 tak ada orang nak ambik, sekarang ada yang sanggup masuk tender mahal-mahal sebab nakkan nombor 4. Sebab dah jadi 'ong' pulak dah nombor 4 ni sekarang. Bak katanya, 'Entah la... macam-macam!'. Dalam hati aku, 'Ha'ah... engkau jugak yang untung, ya?' Hehehe.

Sebenarnya dalam Islam tak ada istilah nombor bertuah ataupun malang. Cuma di kalangan ahli sufi, terdapat beberapa nombor yang mempunyai rahsia tersendiri, terutamanya nombor-nombor ganjil seperti 7 dan 9. Jika dikaji nombor-nombor yang penting dalam Islam tak semuanya terdiri daripada yang ganjil. Memang la Asma-ul-Husna ada 99 nama agung bagi Allah. Tapi ayat al-Qur'an itu jumlahnya 6,666.. itu kan nombor genap? Ada jugak yang membesar-besarkan nombor '786' sebagai nombor paling suci bagi umat Islam, terutamanya di India. Padahal ia adalah nisbah kiraan jumlah nombor dalam Bahasa Arab bagi perkataan 'Bismillahirrahmanirrahim', yang jumlahnya adalah 786. Nak kena dalami lagi ni macamana cara nak mengira ikut nisbah yang betul. Setakat ni, kat sini saja la dulu.

Apa-apapun, jangan la sampai kita dengan sepenuh hati percaya kpd benda-benda macam ni. Nanti jadi khurafat, kan susah? Buat penat saja takutkan bayang-bayang. Berusaha sehabis daya, dengan izin-Nya dapat la kesenangan. Terima saja hakikat bahawa setiap yang hidup pasti akan mati. Tak ada kaitannya dengan apa-apa nombor sekalipun. Tumpukan la pengamatan dan perhatian kepada perkara-perkara yang lebih bermanfaat, mudah-mudahan hidup kita akan menjadi lebih aman dan tenteram.
















Monday, 4 April 2011

Masa dan Harganya

Anak-anak cepat membesar. Tiba-tiba dah buat kain buruk baju-baju dia orang, kalau pun tak didermakan. Cepat benar senteng baju-baju dan seluar, rasanya baru je beli. Kalau pergi outstation 2 minggu, balik rumah mesti nampak dia orang makin tinggi. 

Ada jenis budak yang cepat nak jadi 'macho', especially yang lelaki. Masuk sekolah je dah malu kena cium dengan mak ayah depan orang. Nak peluk pun jenuh la mengelak. Padahal sejak baby memang biasa kena peluk-cium macam tu. Yang perempuan pun ada macam gitu, tau. Anak saudara aku macam tu. Atuk dia nak cium punya la susah, dah dapat siap lap lagi tu!  Ada jugak jenis budak yang lambat nak lepaskan diri daripada zaman dimanja-manja, dipeluk-cium bagai. Hatta berpisah tempat tidur dengan mak ayah pun payah. Sampai rimaslah mak ayah, dikacau-daun selalu.

Sebenarnya kita kena belajar menghargai saat-saat terlampau diperlukan oleh anak-anak. Sebab akan tiba saatnya kita berasa seolah-olah tak diperlukan lagi. Kalau dulu, kitalah segala-galanya, sampai diaorang tak mau tidur selagi kita tak temankan atau bacakan buku cerita; akan tiba masanya kita nak temankan tidur atau nak bacakan buku pun diaorang tak mau. Tak ke sayu dan pilu, tu? 

Itulah yang dinamakan fasa dan proses pembesaran atau peningkatan kedewasaan. Kita sama-sama meningkat dewasa sebenarnya dengan anak-anak kita. Biarlah segalanya dipenuhi dengan sebanyak mana kenangan indah yang mampu kita berikan. Manusia kan mati meninggalkan nama dan kenangan. Mudah-mudahan anak-anak kita akan membesar menjadi manusia yang positif dan inovatif, gembira dan bahagia. Dibawa pula pendekatan yang sama kepada anak-anak mereka nanti. 

Jangan kita menyesal sudah, sebab tak sempat nak bermanja-manjaan dengan anak-anak dek kesibukan kerja dan dunia kita sendiri. Rugi tau, kalau macam tu. Masa yang berlalu tak mungkin dapat kita ganti. Apa yang ada adalah hari ini dan hari-hari depan. Itupun kita tak tau sampai bila diizinkan Tuhan untuk melaluinya. Jadi, rebutlah segala peluang yang ada hari ini seolah-olah tiada esok pun untuk kita. 

Sementara itu, nikmatilah saat-saat indah sebagai ibu dan bapa...