Nombor Bertuah

Nombor bagi sesetengah orang tak lebih daripada angka. Tapi bagi sesetengah yang lain, nombor penentu kesejahteraan hidup, penyumbang kepada kekayaan mahupun kejayaan sesebuah perniagaan. Kalau dulu sindrom pemilihan nombor-nombor yang dikategorikan sebagai 'ong' atau 'bertuah' ini hanya di kalangan masyarakat Tionghua, tapi sekarang dah berjangkit sama kepada bangsa-bangsa lain. Al-maklum, 1 Malaysia la katakan...

Implikasinya, penuh la JPJ dengan 'runner' kepada syarikat-syarikat menjual kereta dan individu-individu yang berebut nak dapatkan 'nombor cantik' bagi pendaftaran kereta masing-masing. Yang sanggup melabur sampai puluhan ribu ringgit pun ada semata-mata nak tempah nombor-nombor terhangat di pasaran, terutamanya nombor 1 - 3 digit dan yang mempunyai angka 8.

Angka 8 dikatakan sangat 'ong' kerana dikaitkan dengan kekayaan, manakala angka 4 amat dihindari kerana bersangkut-paut dengan kematian. Kepercayaan ini memang amat kuat di kalangan sesetengah kaum sampai bukan sahaja kereta, beli rumahpun tak mau ada nombor 4. Hatta bangunan pun tingkat 4 ditukar jadi 3A. Nasib baik masa mengira tak tukar semua nombor 4 kepada 3A. Yang hairannya, dah sampai masanya, mati jugak walaupun tinggal dalam rumah yang tak ada nombor 4. Sampai masanya, accident jugak walaupun pakai kereta yang tak ada nombor 4. 

Tapi pernah satu masa tu aku terjumpa seorang taukeh kedai komputer di Wangsa Maju. Waktu ditanya kenapa nombor akaun kedainya banyak nombor 4, bukan ke orang cina tak suka nombor tu? Dia selamba saja menjawab, 'Mana ada betul itu semua. I sudah pakai lama ini nombor, banyak ong jugak. Belum mati-mati, pun!'. Hahaha. I like...

Pernah aku borak dengan seorang Pengarah JPJ, katanya sejak kebelakangan ni nombor 4 dah jadi rebutan pulak di kalangan orang-orang cina. Kalau dulu bersepah nombor pendaftaran berangka 4 tak ada orang nak ambik, sekarang ada yang sanggup masuk tender mahal-mahal sebab nakkan nombor 4. Sebab dah jadi 'ong' pulak dah nombor 4 ni sekarang. Bak katanya, 'Entah la... macam-macam!'. Dalam hati aku, 'Ha'ah... engkau jugak yang untung, ya?' Hehehe.

Sebenarnya dalam Islam tak ada istilah nombor bertuah ataupun malang. Cuma di kalangan ahli sufi, terdapat beberapa nombor yang mempunyai rahsia tersendiri, terutamanya nombor-nombor ganjil seperti 7 dan 9. Jika dikaji nombor-nombor yang penting dalam Islam tak semuanya terdiri daripada yang ganjil. Memang la Asma-ul-Husna ada 99 nama agung bagi Allah. Tapi ayat al-Qur'an itu jumlahnya 6,666.. itu kan nombor genap? Ada jugak yang membesar-besarkan nombor '786' sebagai nombor paling suci bagi umat Islam, terutamanya di India. Padahal ia adalah nisbah kiraan jumlah nombor dalam Bahasa Arab bagi perkataan 'Bismillahirrahmanirrahim', yang jumlahnya adalah 786. Nak kena dalami lagi ni macamana cara nak mengira ikut nisbah yang betul. Setakat ni, kat sini saja la dulu.

Apa-apapun, jangan la sampai kita dengan sepenuh hati percaya kpd benda-benda macam ni. Nanti jadi khurafat, kan susah? Buat penat saja takutkan bayang-bayang. Berusaha sehabis daya, dengan izin-Nya dapat la kesenangan. Terima saja hakikat bahawa setiap yang hidup pasti akan mati. Tak ada kaitannya dengan apa-apa nombor sekalipun. Tumpukan la pengamatan dan perhatian kepada perkara-perkara yang lebih bermanfaat, mudah-mudahan hidup kita akan menjadi lebih aman dan tenteram.
















Comments

Popular posts from this blog

Mematikan Setem Hasil Di Hadapan Pesuruhjaya Sumpah

Dress Code Peguam Muslimah

Onak, Duri & Ranjau Kehidupan