Nuffnangx

Tuesday, 21 February 2017

Isnin Nan Ungu

Assalamu'alaikum. Isnin tak semestinya berwarna biru, kan? Kalau tak nak jadi biru, pakai je warna lain, purple ke, cuba? Betapa semangatnya nak pakai tudung baru, sampai tak bagi bibik basuh dan aku siap gosok sendiri malam tadi. Lembut, selesa, cantik dan mudah dibentuk kain bawal satin yang aku beli kat Jalan T.A.R hujung minggu aritu. Menyesal tak ikut cadangan Ana suruh beli 6 helai dan try mintak jadi RM50 semua sekali. Aku tengok kat pasar malam ada jugak benda yang sama, tapi malas nak berhenti membelek dan bertanya, sebab bukak je mulut, adik yang jaga gerai tu dah mulakan dengan RM15, potong betul. Aku tak suka la kalau memang dah harga RM10, sibuk je nak sebut RM15 lepas tu konon-konon turunkan jadi RM10 kalau beli banyak. Tak mau la, dik... akak takde mood nak bargain.


Hari Isnin memang jadual jadi lebih padat, maklumlah permulaan hari dalam minggu yang baru. Itupun aku dah terpaksa kensel rencana nak uruskan proses pengangkatan anak sorang client kat Putrajaya, kebetulannya dia perlu ikhtiarkan dokumen-dokumen peribadi mak kandung budak tu kat Batam. P.A aku pulak kena cuti emergency, anak dia masuk wad akibat serangan asma. Jadi, aku ambik peluang untuk menyelesaikan dua tiga perkara yang memerlukan personal touch, dengan menggunakan khidmat uber dan grab car services.


Mungkin sebab terlampau panas kat luar, aku demam selesema dan terpaksa telan ubat sebiji sebelum pergi hantar handphone anak bujang untuk diperbetul dan jemput dia kat sekolah. Tekak ni perit semacam dan teringin nak makan aiskrim, jadi aku mintak Junior pergi beli kat bawah pokok depan pagar sekolah dia tu. Pergh.. nyaman je bila aiskrim tu landed kat tekak yang tengah kering. Alhamdulillah... 


Sebelum sampai rumah, aku singgah kejap jenguk telefon anak bertuah kat kedai, kawan aku tu cakap motherboard telefon tu rosak, nak kena ganti baru dan sila sediakan RM130. Hurmm... macam mahal je! RM100 tak leh ke? Dia gelak dan geleng, kedekut betul. Hehehe. Dalam pukul berapa entah tadi dia wassap bagitau yang handphone dah elok, masa update anak aku, punyalah excited dia dengar. Esoklah kan ambik, sila bersabar. 



Oh, ya... tadi masa berlalu pergi dari kedai Ah Ti, hidung aku tertangkap bau nenas yang sangat manis, memanggil-manggil aku berhenti dan membelinya kat gerai buah yang dah lma sangat aku tak singgah. Aku beli sekali mempelam lemak manis dan RM3 bertukar tangan. Ternyata bau nenas itu tidak berbohong, memang rasanya tersangat manis, sampai aku tak boleh handle dan move on lagi daripada keenakannya. Mempelam tu pun sedap, langsung tak masam. Memang hari Isnin kali ni sungguh ungu, seungu bawal satin yang aku gayakan. Gitiewww... 

~ Nai at Tak Pe Je.

















Monday, 20 February 2017

Hari Membeli Tudung Sedunia

Assalamu'alaikum. 
Semalam adalah hari berjimba dengan kawan macam orang bujang, sesekali apa salahnya, kan? Bulan lepas aku temankan kawan tu pergi beli shawls kat Ariani dan terjatuh hati pada koleksi bawal satin bercorak tapi keadaan tak mengizinkan aku buat apa-apa tindakan selain menyentuh dan mencuba sehelai dua yang berjaya mencuit hati. Ada lebih 4 tahun rasanya tak beli tudung Ariani, sehinggalah sekarang. Kisahnya, masa tahun 2012 ke 2013 gitu, aku pernah beli dari kedai tudung favourite aku di alam maya, Nadiahijabs dua helai printed satin shawl dan sangat menyayangi kedua-duanya. Mungkin disebabkan kurang mendapat sambutan, maka satin bercorak susah nak dijumpai di pasaran. Sedar tak sedar, sejak hujung tahun 2016 hingga kini, dah meletup-letup satin shawl bercorak pucci dan bawal satin bermacam-macam design. Orang dah ke bulan, semalam baru aku ambik port dan berkenan nak 'mencemar duli' lalu dapatkan sehelai printed satin shawl kat salah satu kiosk dalam Aeon. Aku tau harganya lebih mahal sikit daripada Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Masjid India, tapi apa nak buat, dah berkenan betul. Masa tu aku baru lepas lepak menikmati brunch dengan sepupuku kat Starbucks dan sementara menunggu dia pergi beli alat-alat yang nak dihantar kepada anak lelakinya di asrama, aku membelek-belek tudung di ruang lobi Aeon. 


Balik tu aku try pakai style yang paling mudah, ambik selfie dan upload kat Instagram, because I was crazy like dat, y'know! 


Lepas solat zuhur, kawan aku yang aku panggil Ana, datang ambik dan kami menuju ke destinasi tujuan, dia guna khidmat valet parking macam kebiasaannya setiapkali menjengah Ariani. Kira macam Fatah Amin rasa happy hasrat dia pergi ke KLCC dengan kereta sendiri dan park kat valet dah pun tercapai, aku takde rasa poyo apa-apa pun. Sebabnya, tak salah langsung seseorang nak menyatakan rasa gembira pada dunia setelah hasrat yang terpendam akhirnya terlaksana. Orang kita ni cepat sangat buli dan jadikan sesiapa saja yang boleh dibuli, sebagai punching bag, mungkin sebab banyak sangat masa lapang dalam hidup mereka dan keluarga mereka, yang mungkin jugak banyak kepincangan peribadi.


Aku beli jugak akhirnya bawal satin bercorak yang dah mencuri hatiku bulan lepas, hahahah (kelakar ke?), dan aku beli lagi satu yang berkenan, menjadikan dua helai hasil tangkapan di situ. Terus jadi tak kelakar masa bayar kat kaunter, hurrmmm... takpe la, aku berhak memanjakan diriku sendiri. Malam semalam jenuh la aku mencuba kedua-dua tudung tu dan kongsi gambar-gambar poyo aku dengan sepupuku, Lela dan kawanku, Ana. Itu pun lepas Lela duk beriya tanya mana gambar tudung berulang-ulang. Maklum la, bila balik rumah kenalah layan makan-minum pakwe sebelum dia keluar mencari rezeki, siap temankan dia makan mee goreng basah sambil aku makan sayur dan lauk-pauk tengahari punya. 


Lain kualiti produk Ariani ni, korang, sesuailah dengan harganya. Tak hairanlah aku jadi pelanggan dorang seawal tahun 2010, atau mungkin lebih awal. Cuma masalahnya, kalau dah terjebak semula, agak hazabedah ler nak keluar dari cengkaman. Lawa, kan? 


Masa kat KL sana, aku beli jugak tudung-tudung terbaru semurah RM10 hinggalah RM25. Dan korang tau, lepas dinner sayur dengan lauk-pauk dan temankan pakwe makan mee goreng, aku pergi ke pasar malam dengan bibik untuk mencari bekalan lauk mentah. Nama pun dah lambat, maka takde ikan untuk kami, tu pun nasib baik sempat beli dua ekor ayam dan sedikit daging lembu. Jadilah daripada takde langsung, kan? Masa nak balik menuju kereta, aku terpandang pulak long shawl daripada kain bubble bercorak pucci, RM15 sehelai, kau rasa? Adoi, gila tak terjebak? Aku angkut jugak dua helai, memang semalam adalah hari melepaskan rindu dendam pada tudung. Korang, kali terakhir aku beli tudung adalah bulan puasa tahun lepas, dalam lipatan sejarah hidup aku, itu adalah keajaiban yang harus dibukukan dan dibuat hashtag.. Gitiewww!


Okaylah, takde menda pun, borak kosong pasal tudung je pun. Terima kasihlah sudi baca, ya... sayang awak semua, tau! Jumpa lagi, Assalamu'alaikum.

~ Nai at Tak Pe Je.


















Sunday, 19 February 2017

Selamat Ulangtahun Kelahiran, Cinta.

Assalamu'alaikum. Selamat berhujung minggu kepada semua pembaca budiman, semoga segala urusan dipermudahkan hendaknya. Aku semalam dah berjimba sakan ala-ala bujang dengan seorang kawan, lama sangat terpenjara dalam kesibukan tugas dan tanggungjawab tak boleh jugak. Macam terlepas kandang keadaan aku, nak tergelak kat diri sendiri. Pergi pulak ke jajahan takluk kenangan muda-mudi, Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Masjid India. Memang menikmati panorama weekend sebenar la jawabnya, menyusuri kemeriahan pasar minggu hari Sabtu. Jakun pun ada, betul-betul terasa macam zaman dulu kala, masa mula-mula turun KL awal umur 19 tahun. Tapi hari ni aku nak cerita pasal benda lain, itu cuma introduction, pemanas jari-jemari menari zapin di keyboard. 


Gambar-gambar dalam entry ni diambil masa cuti Tahun Baru Cina dan Hari Wilayah. Aku komplot baik punya dengan anak teruna terkasih pergi cari hadiah harijadi daddy dia, mengambil kesempatan dari kesibukan manusia itu mencari rezeki. Dengan keadaan yang menyesakkan nafas ini, ketua keluarga haruslah sanggup berbuat apa saja demi memastikan kelangsungan hidup anak isteri, kan? Atas itu, alhamdulillah, aku bersyukur, walaupun kadang-kadang pulangannya tak memadai dengan lelah dan keringat. Aku macam biasa, meringankan beban dari segenap sudut dan penjuru, sekali lagi bersyukur dengan limpah kurnia Yang Maha Esa, atas anugerah rezeki dari pintu-pintu yang tak terjangkau dek fikiran.


Tak mampu menyediakan yang indah-indah, aku ajari Junior memanfaatkan apa yang ada untuk memilih tanda ingatan sempena harijadi seorang bapa. Mudah-mudahan proses mencari hadiah, menulis kad dan menyimpan baik-baik sebelum waktu yang sesuai akan terpahat kemas dalam ingatannya, membentuk sahsiah dan keperibadiannya sebagai seorang anak.


1hb Februari sekian lamanya disambut sebagai Hari Wilayah, sejak kami menetap di Kuala Lumpur lebih 13 tahun. Junior bersekolah di Selangor, jadi aku tetap kena hantar dan ambik dia macam biasa sebelum keluar menyambut harijadi daddy dia. Kali ni, aku memang dah bagitahu siap-siap kat kedua-dua anak dan bapa tempat sambutan, sebab senang nak arrange masa. First time la aku tentukan tempat dan waktu, kira tersangat menyerlah tugas menyelenggara banyak benda sejak dua tiga menjak ni. Dah takde pilihan, memang semua kena well-planned demi kelancaran segala perkara.


Lepas solat Maghrib, kami parking kereta di stesen LRT dan sama-sama menuju ke KL Sentral, gila nak meredah jalanraya waktu-waktu perdana sebegitu ke sana? Memanglah KL cuti, tapi Selangor kan kerja macam biasa, dah pulak orang KL memang ambik peluang berjimba pada waktu cuti. Nak diikutkan, itupun masih banyak warga kota yang bercuti panjang sempena Tahun Baru Cina dan jalan jauh lebih kurang padat berbanding hari-hari kebiasaannya. Tapi memandangkan tempat yang aku pilih tu letaknya berhadapan dengan KL Sentral, maka memang dah diputuskan awal-awal kami nak naik LRT je ke sana. 


Seronok gila budak bertuah tu dapat naik LRT, macam aku dulu-dulu seronok dapat naik bas. Bukan senang nak dapat peluang macam ni, bertiga menaiki LRT di tempat sendiri, kan?


Pakwe aku ni suka Chinese food, jadi masa dia pulangkan kat aku mana nak bawak dia dinner sempena birthday dia, aku bagi 3 cadangan, samada Western, Thai ataupun Chinese (walaupun dah tahu jawapannya apa). Seperti soalan bocor tahap empangan bocor, dia pilih Chinese food. Ada satu Chinese Restaurant ni client aku pernah bawak dua, tiga kali meeting kat situ, dan aku pernah cerita kat dia betapa masakannya superb dan lazat berkrim, dan katanya nantilah ada rezeki nak pergi try. Jadi, aku pun pejam mata aje la dan buat reservation, walaupun aku tahu bil yang menunggu akan membuatkan aku terbaring kaku dua tiga minggu. Hahhaha. Cinta punya pasal!


Kat sini takde gambar makanan, tau... aku cuma nak share cerita dan suasana tempat tu. Masa bukak menu, aku tau pakwe aku over-whelmed tahap gaban dan dia menahan perasaan, dah kenal sangat dia. Aku tanya dia nak makan apa, katanya dia okay dengan semua pilihan, ikut aku je, dan dia mintak diri nak ke toilet, siap tinggalkan telefon atas meja. Disebabkan kebiasaannya dia akan tanya menu apa yang aku pesan, aku spontan je update dia bila dia kembali duduk bersama kami. 


Satu hari nanti, kalau dimurahkan rezeki dan diizinkan Allah, aku nak datang lagi makan kat sini. Selama hari ni, selamba je aku tengok client aku tu order segala macam menu sampai penuh meja dan bayar dengan muka yang manis. Betapa jauhnya beza aku dengan client tu, dan aku sungguh menginsafi kekurangan diri. Tapi dalam masa yang sama, aku baru sedar, betapa dia menghargai diriku dan tak lokek mengajak aku berkongsi rezeki, dan atas itu, aku amat bersyukur. 



Sebelum pulang, aku mintak jasa baik kakak Melayu yang melayan kami dari awal sampai akhir, mengambil gambar kami bertiga sebagai kenang-kenangan. Nampak sangat dah biasa, dia siap suruh kami berpindah meja untuk dapatkan sudut dan penjuru yang elok untuk bergambar. Ternyata dia bukan saja arif bab-bab ikan (khabarnya dia selalu ikut suaminya memancing) dan padanan lauk-pauk bersama ikan, bahkan juga mahir bab-bab mengambil gambar. Huntong laa... *sambil buang ingatan jumlah service charge dari kenangan. 

~ Nai at Tak Pe Je.







Friday, 17 February 2017

Cinta Dunia Akhirat

Assalamu'alaikum. Lama mak sihat, kali terakhir dia masuk wad, dalam iddah Aidilfitri tahun lepas. Rekod peribadi dah tu, kawan-kawan..! Sehinggalah minggu lepas, bila doktor terpaksa tahan dia disebabkan ada sikit kuman dalam paru-parunya. Dengan rekod kesihatan mak, doktor tak mau ambik risiko dan lepaskan mak balik. At least 3 hari, doktor kata, dengan rawatan antibiotik. Kali ni mak tak seteruk biasa, berjalan ke tandas pun mudah je pergerakan dia, jadi tak la sedih sangat nak tinggalkan dia kat hospital. Kalau sebelum ni, memang bergilir-gilir sentri siang dan malam. 


 Mak kalau masuk wad, dia ada special menu yang dia order dari rumah, biasanya ayam goreng kunyit je pun. Kali ni sebab nak bagi cepat baik batuk, dia dengar cakap kami dan tukar menu kepada ikan bakar. Disebabkan terasa sihat dan walafiat, semangat dia pun takde la merudum macam tahun lepas, banyak berborak, siap bergossip bagai. Tapi satu yang paling ketara, dia nak aku yang datang hantar makanan dan bawak dia mandi. Setiapkali aku ada, memang aku akan pastikan mak mandi dulu, tolak dia atas wheelchair walaupun dia kata tandas dekat je dan dia tak semput. Masa malam mula-mula dia kena tahan tu, aku lepak dengan dia sampai pukul 11.30pm, tinggalkan dia dengan senyuman sebelum dia tidur. 


Kebetulan esok tu cuti Thaipusam, awal jugak la aku datang, bawak makanan tengahari. Lepas tu, bawak dia mandi, sebelum solat zuhur. Beramai-ramai la kami pakat kerumun mak, buat havoc macam kat rumah sendiri. Memang lain keadaan kali ni, sebab kuman jahat yang menyerang paru-paru mak sebenarnya sikit je daripada biasa, jadi kami semua takde la diserang rasa cemas ataupun bimbang. Lagipun, doktor kata paru-paru mak jauh lebih elok daripada tahun-tahun sebelum ni. Alhamdulillah, syukur pada Tuhan, pemberi segala rahmat. 


Junior dan Athiyya ada bersama kami, of kos.. kena latih budak-budak ni datang jenguk orang tua, sebab esok-esok kita pun tua jugak, kan? Kalau diizinkan berumur panjang, depa akan bawak pulak anak-anak depa jenguk kita masa sakit, mudah-mudahan. Nak ikutkan depa, mesti lagi best lepak kat rumah main game, tapi kitalah yang kena mencorakkan depa, bukan terbalik pulak.


Begitulah rutin harian aku sampailah mak dibenarkan keluar pada hari Sabtu, sedia berkhidmat untuk dia, siang dan malam. Aku ni kalau single dan available takde anak dan suami kat rumah, takde nya aku sibuk nak balik, lagi sanggup berkampung jaga mak kat hospital. Rugi sangat bagi aku sesiapa yang ada pilihan nak buat macam tu, tak rebut peluang keemasan. Mak tau perasaan aku, tu pun dah buat dia happy, aku rasa.


Disebabkan aku ke hulu ke hilir dari hospital, hantar dan ambik anak sekolah, jumpa client, maka haruslah berpakaian seselesa yang mungkin. Jadi, aku memang sengaja pilih baju kain cotton nak kasi tak berpeluh masyam bagai, kau rasa? Tudung pun memang tak boleh yang tebal-tebal berbelit kat muka, kalau tak nak menjemput pitam ataupun gelap mata la, kan?


Malam terakhir mak kat hospital sebelum dibenarkan keluar hari Sabtu, aku tetap lepak sampai malam. Masa nak balik tu, mak pandang aku macam orang bercinta tak nak lepaskan jantung hati jauh dari mata. Sebak hati aku, korang, Tuhan aje yang tau. Malam tu adik aku si Ida tidur kat hospital, temankan mak, memandangkan esoknya kan hujung minggu. 


Mak beruntung, anak-anak semua sayangkan dia. Banyak di luar sana yang tak seberuntung dia, aku tau, dan aku harap sangat mak dipanjangkan umur dan diberikan waktu yang lebih lewat usia bonus ini. Macam aku anak seketul je, entah macamana nasib aku pulak esok bila dah tua. Apa-apa pun, hargailah ibu dan bapa kita, kerana mereka takkan ada galang gantinya. Cinta mereka kepada kita tak mengenal sebarang kekurangan, tak pernah ada sebarang terma dan syarat. Cinta mereka, cahaya hidup kita di dunia dan di akhirat nanti.

~ Nai at Tak Pe Je.






Wednesday, 15 February 2017

WW ~ OOTD Post: Pink Against Black

OOTD 


~ Nai at Tak Pe Je.


Payung, Bhaai..!

Assalamu'alaikum. Aku ni penat dan mengantuk, tapi banyak pulak menda nak kena buat. Bukannya esok takde, tapi esok pun banyak lagi menda lain yang menunggu. Tapi takpe la, kena pelan-pelan tinggalkan semua kerja dan pejamkan mata kejap lagi. Sementara tu, meh kita borak-borak kosong, meh, cerita pasal payung. Sekarang kan cuaca tak menentu, kalau panas sebelah pagi, belum tentu sampai ke petang, kadang-kadang tengahari dah mulai gerimis. Ada satu hari tu, ribut kuat dan hujan lebat betul masa aku pergi ambik anak kat sekolah. Kereta dah bersimpang-siur kat mana-mana, aku terpaksa kreatifkan otak dan parking kat bahu jalan, kemudian cepat-cepat aku masuk ke perkarangan sekolah, tunggu anak. Ngam-ngam je tengah standby nak lari meredah hujan, dengan beg sekolah kat atas kepala, aku nampak dia dengan kawan baiknya, si Shafi'e. Nasib baik aku bawak sekaki payung extra, bolehlah bagi kat kawan anak aku tu, kalau tak memang lencun la dia. Aku dengan anak pun lencun jugak walaupun berpayung, angin kuat sangat, tapi at least takde la kepala kena hujan. 


Hala aku balik tu, sempat la aku nampak pokok tumbang dan lopak air kat sana-sini sekitar jalan menuju ke MRR2 dari exit UIAM. Sampai je rumah, dah dapat berita U aku tu dilanda banjir kilat dan banyak kereta tenggelam dan dihempap pokok. Ya Allah.. Alhamdulillah kami selamat sampai rumah takde apa-apa kejadian yang tak diingini berlaku. Sejak dari hari tu, aku wajibkan anak bertuah aku tu bawak sekaki payung ke sekolah, tak kisahlah hujan ke tidak. Dia pun tak membantah, sebab memang dia tau sangat keadaan hidungnya yang sensitif pada air hujan, macam mummy dia jugak. 


Al-kisahnya, satu hari dia bukak la payung maroon dia tu masa hujan lepas latihan karate. Abang-abang senior pakat perli dia, "payung, bhaai?", anak aku selamba je tersengih dan jawab, "Ha'ah bhaai, payung..!" Heheh comel. Aku tergelak besar masa dia cerita kat dalam kereta. Baguslah, katanya dia tak malu pun, orang Jepun kecik besar, tua muda, lelaki perempuan semua kelek payung hari-hari keluar rumah. Amboi... lupa pulak aku, dia peminat tegar negara Jepun.


Tapi tak bermakna aku nak malukan dia dengan bagi dia bawak payung favorite aku yang kaler pink ni haa pergi sekolah.  Kena jugak jaga imej dan air muka dia, kan? Takpe la, janji dia tetap maintain dengan keyakinan diri yang tak berbelah bahagi untuk berpayung semasa hujan, aku dah cukup bahagia. Ok la tu, bhaai, payung je pun, bhaai! 

~ Nai at Tak Pe Je.