Nuffnangx

Sunday, 3 September 2017

Raya & Korban 2017

Assalamu'alaikum. Raya Haji tahun ni lama betul cuti, pelik pulak rasanya. Maklumlah, biasanya orang tak banyak yang sempat balik kampung sebab cuti sehari je, dah pulak kalau jatuh pada hari bekerja macam Selasa contohnya, manalah boleh nak ghaib seketika dari tempat kerja. Nak ambik cuti karang, dah habis guna masa raya puasa. Tapi tahun ni special, Alhamdulillah... dah la hari Khamis cuti Hari Merdeka, raya pulak hari Jumaat, bersambung lagi Sabtu dan Ahad. Sekali dapat lagi bonus cuti sempena Malaysia menang besar temasya Sukan SEA (walaupun Harimau Muda takde nasib nak dapat pingat emas). Pergh... berganda-ganda kegembiraan orang Malaysia, ya? Bagi para majikan, gigit jari ler dah cuti lama bonar, gaji jalan samo, jang! 


Aku Rabu pagi-pagi lagi dah gerak ke kampung mertua kat Kuantan, jalan lengang lagi masa tu. Kali ni aku memang plan awal nak masak apa; seminggu sebelum balik kampung dah bagitahu cik abang menu hari raya. Buat biryani la senang, bawak balik pressure cooker dan bakul rempah ratus kesayangan aku. Dia punya part, beli daging kambing kat Pasar Borong Selayang, macam biasa. Beras basmathi aku mintak adik ipar belikan, settled. Malangnya, takde gambar raya ala OOTD langsung tahun ni, bila dah bersilat kat dapur dengan baju raya seharian. Panas gila, beb!


Cuma dah namanya hantu selfie, mestilah ada beberapa das tembakan sendiri dalam handphone, kenn? Nantilah aku pakai baju kurung modern kain pesen lama ni haa, mintak orang snap kan gambar penuh. Lawa betul kain ni, aku beli kat Nagoya je pun, tapi yang tak best tu, beriya turun warna, sampai melekat di lengan sebab terlampau berpeluh di dapur. Mau taknya, belum tengahari, nasi biryani dah tak  sampai separuh tinggal. Bimbang betul tak cukup, sebab dengar cerita, ada lagi group yang nak datang. Ah, sudah! Apa lagi, mem pun jap2 itu ler bersilat apa yang patut nak perap lauk dan masak nasi lagi. Macam nak pitam rasanya kepanasan. Tak sesuai la diva bersilat rupanya. Hehehe.


Pagi2 keesokannya, kami bergerak ke Temerloh pulak, mak masuk korban sebahagian lembu kat kampung. Cik abang aku terer melapah daging, jadi kita biarkan dia yang in charge dari kat tempat melapah hinggalah kat rumah. Aku punya part, bersilat di dapur ler, apa lagi, kan? Mak memang dari awal dah bagitau nak masak sup tulang jer, jamu sedara mara terdekat. Bila mak kata nak masak tu, maknanya bukan dia tapi aku ler, beb... dia dah level duduk saje, mana ada upaya nak buat kerja apa dah.. takpe la, dah 8 tahun kot duduk dengan aku, dia rehat aje, habiskan masa beribadat kat masjid dan join macam2 kelas agama.


Aku sampai  je kat rumah mak, sementara tunggu orang melapah daging balik, duk sibuk menyiapkan bahan2 untuk masak sup tulang. Bawang besar, bawang putih, halia, lengkuas, rempah ratus 4 sekawan, dimayang mana yang patut, ditumbuk mana yang harus. Siap je bahan2 mentah yang nak dimasak, bibik basuh dengan tepung bagai, aku dah boleh mulakan modus operandi dengan jayanya. Seronok betul mak tengok semuanya berjalan lancar. Sementara aku dengan dunia culinary penuh amatur, mak dengan adikku Ida sibuk menimbang daging dan dimasukkan ke dalam plastik untuk diagih2 kan kepada yang layak. Mak bawak balik pressure cooker Noxxa dia, jadi segala kerja memasak menjadi teramat mudah, Alhamdulillah... tak sampai sejam, kami semua dah boleh mengadap nasi dengan sup tulang yang sangat ohsem hasil kerjasama semua tenaga kerja. Atas meja, terhidang daging, hati dan paru goreng, salad timun campur lobak merah dan daging, sambal, cili potong dan of kos, sup tulang sebagai penyeri utama. Gila weh makan... rasa tak boleh bangun! Ini ada gambar yang Ida ambik untuk upload kat Instagram, boleh ler share kat sini. Harapkan aku, memang tak nampak handphone dah kalau jumpa makanan.


Aku ambik masa rehat kejap sebelum mula siapkan hidangan untuk jamu sedara mara pulak, mak panggil datang lepas solat Asar. Memang marathon la jawabnya, dan tetamu pun sungguh punctual amboi-amboi, nasib baik semua dah ready. Yang havoc nya, depa pakat turun serentak, sampaikan yang kata nak datang sebelah malam pun terpacak secara berjemaah. Berduyun-duyun tiba, ambik ko! Jenuh kami kat dapur menambah kuah, dan akhirnya terpaksa menambah daging. Habis tu macamana, kumpulan pertama saja dah ulang tambah 3 mangkuk besar isi dan kuah! Kalau tak bawak balik Noxxa, mereput ler aku kat dapur, dan mesti mak jatuh air muka sebab hidangan tak cukup. Alhamdulillah, ada je pertolongan Allah.


Batch terakhir yang aku mayang semula bawang, halia dan lengkuas tu, sup bunjut dah takde stok. Termenung mak, nyah! Takpe la, apa nak buat... terpaksa la teruskan jugak apa adanya, lagipun boleh campur nanti dengan kandungan kuah dan isi yang sedia ada dalam periuk induk, cuma produk daging batch yang ini warnanya lari sikitlah daripada yang lain. Masa menunggu batch yang itu siap, aku dah terjelepuk kat ceruk dapur, letih tak payah cakaplah kan... mata pun rasa pedih nak bukak. Itulah satu-satunya selfie aku sepanjang hari, memang pecah rekod.


Malam tu lepas Maghrib giliran kami pulak makan bihun dan mee kuning dengan sup, untunglah aku tambah batch terakhir tadi, kalau tak, memang tak cukup untuk kami. Cik abang je aku stimkan dua keping roti untuk dia cicah sup, orang lain semua makan hidangan yang para tamu makan lepas asar. Dia memang gitu, terasa berdosa nak makan mee, macam makan nasi jugak katanya, berat. Aku tak macam dia, tak terdaya nak tolak rezeki sebegitu menyelerakan. Adik-adik aku makan malam tu ya ampun... tak berhenti! Heheh memang lain macam penangan sup daging korban, baq hang...!

Lepas Isyak aku terpaksa bergerak balik ke KL dulu, tak boleh nak tunggu sebab ada hal urgent yang tak dapat dielakkan. Karak Highway sesak teruk sepanjang 5km, dari sebelum sehingga selepas terowong... memang hazabedah nak sampai ke daerah Gombak. Seperti yang dijangka, kesesakan tu disebabkan accident, yang hairan tu, takkanlah sampai 5km melingkor bagai ular kena palu! Lepas je kawasan accident tu, terus jalan clear dan ada ruang bernafas semula... manusia kepoh nak pakat bawak slow meninjau2 kawasan kemalangan, like, hey, welcome to Malaysia! We love to slow our cars down to peek at major crashes, we don't care if people suffer for hours and hours because of that! 




Hurmm... itulah dia, jam 11.30pm baru sampai Setiawangsa, beratur pulak kat McDonald, ada orang nak Big Mac dan apple pie. Melihatkan deretan kereta di lorong pandu lalu, aku ajak anak tunggu kat dalam je dan suruh daddy dia parking, tunggu je dalam kereta. Panjang jugak Q kat dalam McDonald tu, bercinta ler kami menunggu.. nombor giliran kami 168, pergh...! 




Dipendekkan cerita, malam tadi aku tidur mati, kalau ada bom jatuh pun confirm tak sedar punya! Nasib baik tak dinosaur Subuh aku, 6.30am aku tersedar dari lena yang panjang, terasa diri segar bugar kembali. Aku sambung tidur dan bermalas-malasan sampailah jam 9.30am, sebelum turun breakfast dan mulakan persediaan makan tengahari. Patutnya ada orang nak jumpa jam 2pm tapi dia mintak tangguh esok, aku ok je... boleh la rehat dulu, kan? 

Weh, panjangnya entry ni, mentang2 la banyak masa terluang. Terima kasihlah sudi baca sampai habis, selamat menghabiskan cuti anda, kita jumpa lain kali. Assalamu'alaikum.

~ Nai at Tak Pe Je.





No comments:

Post a Comment