Majlis Pertunangan Mok Su


Assalamu'alaikum. Minggu lepas ada majlis pertunangan adik ipar aku yang bongsu, adik perempuan sebapa kepada cik abang, yang anak-anak saudara panggil Mok Su. Aku dengan bibik in charge buat gulai kawah kambing. Malam sebelumnya, cik abang dan adik-adik ipar aku berganding bahu mengerjakan daging kambing itu apa yang patut supaya pagi-pagi nanti senanglah Gang Gulai Kawah meneruskan kerja. Bawang dan halia bagai pun dah siap dikupas, tinggal nak mayang je lagi. Masa tu la aku perasan, tahap kesyahduan saat mengadap bawang dah banyak berkurangan, tak macam dulu-dulu. Mungkin jugak sebab masa tu kat tempat terbuka, udara bergerak bebas dan tak mengepung segala deria. Selama ni kan aktiviti mayang-memayang ni dibuat dalam rumah, maka tak hairanlah kalau ada perbezaan yang ketara. Tapi teori tu takde la aku boleh sokong dengan bukti saintifik pulak, sekadar kemungkinan yang didasarkan oleh pemerhatian apa adanya.




Tiba bab menggunakan tenaga yang lebih kuat, muncullah para pembantu yang beriya mintak diambil gambar.. mentang-mentanglah dia dah mandi dan tukar pakai baju lawa (statement dengki). Aku takde maknanya nak masuk gambar, selebet dan berpeluh tak ingat punya. Tapi yang sebenarnya, kaum-kaum Adam kat rumah tu la yang banyak meringankan tugas dan beban kami kaum Hawa, terutamanya bila memerlukan kudrat empat kerat. Nama pun rewang, kan... bergotong-royong sesama kita la, makanya.  


Majlis bermula selepas zuhur, dipengerusikan oleh cik abang selaku MC Bidan Terjun, apa ada hal, dari zaman sekolah kot dia jadi MC. Takde pantun-pantun bagai, terus kepada tujuan dan maksud yang kedua-dua belah pihak keluarga dah sedia maklum. Kalau tak, takkan la bergulai kawah jemput orang kampung segala, kan? Ringkas-ringkas aje, cukuplah buat rumusan tak lebih daripada 80 patah perkataan gitu. Lagipun bapa mertua aku tak berapa sihat, emosi kacau-bilau dan bercampur baur di kalangan kami sebenarnya, biasalah musim demam ni memang selalu menyerang golongan warga emas dan kanak-kanak.



Sorry la ya, gambar gegar-gegar vaganza sikit, aku kena paksa rela jadi camerawoman lepas menggulai kambing. Bukan reti sangat ambik gambar guna kamera selain henfon, mulalah kualitinya jadi goyang gerudi. Dah pulak jenis senang nak rasa segan yang amat bila berdiri kat tengah-tengah orang ramai secara solo, sibuk ambik gambar... rasa self-conscious yang tak terbandingkan gitu. Pelik jugak, sebab kalau selfie takde nak rasa segan... mungkin sebab tak perlu melibatkan orang lain. 

Beriya jugak majlis Mok Su, ni baru bertunang, dah nikah esok tak tau la macamana. (Ketara sangat Mok Su ada keturunan Hindustan bila solek dan pakai macam tu, kan? Lawa adik ipar aku ni...) Jakun kejap aku tengok ada pelamin dan mak andam bagai, maklum la zaman aku dulu sempoi mempoi je, duduk bersila atas karpet pun dah rasa grand. Tapi bab kenduri memang tak dapat nak elak, kecik-kecik pun akan jadi besar jugak, sebab keluarga kan ramai nak kena panggil. Jadi, aku paham semua ni.. cuma masa aku dulu, orang-orang kampung penuh datang membantu, beban tu jauh lebih ringanlah. Kebetulan pulak masa majlis Mok Su, ramai tukang masak yang diserang demam, dah musim kan. Mak memang aku tak bagi buat kerja apa-apa, rehat sudah. Dia sihat nak ikut aku balik rumah mertua pun dah seribu rahmat, seronok sangat dia ada sama.


Ni gambar dah hujung-hujung rancangan, orang di belakang kamera pun dah bertukar. Cik abang macam biasa, hanya akan lalu makan bila tetamu dah beransur pulang, setiap kali buat jamuan macam tu la dia. Bapa mertua aku yang belum betul-betul sihat pun adalah jugak jamah nasi sikit, buah sikit, kambing sikit, ambik rasa, bak kata orang. Yang pasti, bila dia dah tak sihat macam tu, barulah mengalah nak ambik catering je nanti bila kenduri kahwin Mok Su. Semua yang kat meja masa tu seronok macam nak tepuk tangan, lega yang amat, sebab selama ni dia teguh dengan pendirian nak pakat masak ramai-ramai macam zaman sambut menantu (aku la tu, kan) 14 tahun yang lampau, dan majlis sambut menantu selepas aku, 5 tahun yang lepas. Betapa zaman dah berubah, keadaan dah tak berapa mengizinkan nak buat kaedah lama, terutamanya bila orang-orang tua dah banyak yang uzur dan tak segagah dulu. Orang-orang muda pulak berapa kerat je yang reti potong bawang, apatah lagi nak menggulai bagai panggil orang makan. 



Majlis ni nama je kecik, tapi sebenarnya kalau dah lebih 30 orang jemputan pun akan bertukar jadi besar. Kerja sebelum, semasa dan selepas kenduri memang sangat banyak lagi memenatkan. Dah pulak melibatkan krew yang sama, hatta bakal pengantin pun sebelum berhenti mandi, bersiap dan berdandan, sama-sama bersilat dengan krew belakang tabir ke hulu ke hilir. Dan krew yang samalah jugak jadi MC, jurukamera, penyambut tetamu, pelayan, eh segala macam tugas lagi la, kan. Belum lagi cerita bab yang krew tu bersilat kat tempat kerja masing-masing sebelum sama-sama berkumpul bersilat kat persediaan majlis pulak. Haaa... nampak tak keperluan catering kat situ? Sebab tu la orang bisnes catering boleh buat duit....



Apa-apa pun, selesai sudah majlis pertunangan Mok Su Ika, alhamdulillah. Semoga segala urusan makin dipermudahkan untuk kami semua, Insya Allah. Terima kasih sudi singgah dan baca kisah biasa-biasa seorang aku. Sehingga berjumpa lagi, jaga diri dan hiasi peribadi. Assalamu'alaikum.

~ Nai at Tak Pe Je.

Comments

Popular posts from this blog

Orang Malaya di Osaka : Kansai Trip

Teaser : Jejak Kansai Junior

Jubah Hitam dan Tudung Bawal Satin