Kurta, Songket & Set Kambing

Assalamu'alaikum. Alhamdulillah, Jumaat lepas jadi dah kurta anak bujang dengan leher yang dia mintak. Mummy bangga dapat buat sendiri, tak jemu-jemu mata memandang. Kurta ni adalah produk paling kemas yang aku buat setakat ni, siap dengan jahit tepi tempah kat kedai. Ingat nak buat poket sorok kat dada, tengok dulu macamana sebab mummy diserang batuk dan selesema.  


Sabtu pagi aku bersongket bagai pergi kenduri nun di Bandar Bukit Mahkota, Nilai, Negeri Sembilan Darul Khusus. Kainnya keras, entah berapa kali pakwe tanya panas ke tidak. Surprisingly tak, kain lining kat dalam aku memang pilih fabrik kapas yang menyamankan. Lagipun naik kereta yang ada ekon, bukannya menapak di bawah terik mentari. Takat turun berenti isi minyak kat BHP jalan ke kaunter kejap, apa ada hal. Turun lagi sekali, jalan sikit je masuk dewan kenduri kat UBE Banquet Hall. Dalam tu pun sejuk, bukan dewan cikai. Susah nak capture warna songket ni, tergantung pencahayaan sekeliling. Gambar ketiga yang diambil dalam dewan tu paling dekat dengan warna sebenar. Yang lagi dua ambik outdoor tengah panas memang lari warnanya. Aku beli kat IG kain.pasang.my, lubuk kain pasang yang sangat berhantu.


Ahad aku lepak rumah, mulakan projek menjahit seluar paras keting untuk pakwe pakai dalam jubah. Aritu beli kain kapas putih kat Nagoya Aeon Big sekali dengan kain kapas hitam yang buat kurta anak. Balik dari Nilai tengahari Sabtu aku dah start perit tekak dan bersin bagai, jadi bila terus menjahit dengan serat-serat benang menusuk hidung, maka allergy aku mula memberontak. Elok je siap seluar tu, aku dah batuk.


Isnin tiba, dah sempurna ranum batuk, demam dan selesema 3 serangkai. Tapi tetap join staff makan Nasi Arab Set Kambing kat Restoran Hadramawt, Ampang. Boss belanja, gila tak join? Lama dah tak singgah sini pekena nasi Arab, jadi kemaruk kejap masa menyuap. 


Budak-budak apatah lagi, macam ada malaikat lalu pakat diam, muka rapat ke pinggan 2 minit pertama. Lepas tu hingaq balik. Heheh.



Tak habis-habis nasi dalam bekas gedabak tu, rasanya dah nak meletup perut masing-masing makan. Itu set 'kecik' untuk 6 orang makan, kata waiter masa mula-mula kami nak order. Sekali hambek ko! Kecik la sangat, sampai boleh tapau buat 7 bekas bawak balik ofis.

Dan petang tu aku gi jumpa doktor, dia dengar kejap je dengan stetoskop ada bunyi weezy katanya, terus panggil nurse suruh bagi neb. Hurmm.. Mak Lom tak layak jadi tukang jahit nampak gayanya, allergic benang! Malam tadi memang mencabar, batuk dah macam anjing menyalak bukit, bukit tak jugak runtuh tapi suara jenuh hilang. Terjaga awal pagi jam 2.45, dosa banyak sangat kan, tak mampu nak gagah bangun buat solat sunat. Bangun lagi sekali jam 6.15 ok sila sempurnakan Subuh, Mak Lom! 

Lambat sikit masuk ofis jawabnya pagi ni, mintak-mintak takde yang datang mencari. Dan mintak-mintak tak la tertidur lepas ni, maklum aje ubat batuk dan selesema kan nak kasi kita padam, rehat biar cepat sembuh. Dalam kepala dah berkira-kira nak potong kain lagi.

~ Nai at Tak Pe Je.

Comments

Popular posts from this blog

Mematikan Setem Hasil Di Hadapan Pesuruhjaya Sumpah

Dress Code Peguam Muslimah

Onak, Duri & Ranjau Kehidupan