Tentang Sehelai Baju Peplum

Assalamu'alaikum. Ok korang, sekarang aku dah makin paham asas menjahit, bab menyambung lengan khususnya, alhamdulillah. Lepas je selesai cheongsam-kurung moden kain batik aritu, aku terus mulakan projek peplum top pulak, siap buat pola atas kertas minyak dulu. Nampak kesungguhannya di situ, kan? Kata tengah training, mana boleh main-main, wajiblah berdedikasi tahap dewa. Gitieww...


Dugaan nak jadikan projek ni satu kenyataan sangatlah hebat, terkena kain yang jenis benang cepat tertarik. Aku dah la amatur yang amat, jarum patah entah berapa bilah. (Err.. Aku siap google kejap penjodoh bilangan bagi jarum, ko rasa?). Ingatkan sebab salah guna saiz jarum, kecewa sangat hatiku ini tau... Berenti buat peplum kejap, potong kain nak buat kaftan kat bonda. Hurmm.. Lagi ke laut jadinya, tertarik-tarik benang kain tu sampai sakit mata tengok! 


Tak pernah lagi dapat kain macam ni, yang lepas-lepas beli kat IG kainpasang.my helok je.. Yang aku buat batwing kaftan kurung aritu takde pulak jadi gini. Ok, frust biasalah kan, tapi semangat jangan sampai patah.. Jarum yang patah, jangan disimpan di dalam peti, campakkan aje ke dalam bakul sampah. Itu makan dia!

Tengahari masa lunch break, aku menapak dari ofis ke Taman Keramat Permai, berpayung di bawah terik mentari Lembah Kelang, semata-mata nak pergi beli jarum baru kat kedai alat menjahit. Nak bawak kereta malas, kat situ susah parking. Balik kerja, punya la semangat terus ganti jarum baru, cess budus punya tauke kedai, aku mintak beli jarum jenis HA, dia kasi Singer punya, boleh jugak guna untuk mesin cikai yang aku beli kat Lazada tu katanya. Harammmm tak boleh, bengkok kejap-kejap itu jugak, tak bleh blah langsung!  Muka aku dah labuh ke meja, kecewa Tuhan aje yang tau.

Takpe la, aku pergi Daiso carik jarum HA saiz 11 dan 14, try and error la dalam trauma jarum patah berbilah- bilah. Ternyata HA #11 pun tak boleh guna untuk kain ni walaupun material nya satin, tak tebal. Akhirnya, HA #14 berjaya membuatkan projek peplum pertamaku siap dengan penuh jaya. Siap sembat leher baju segala hatiku terasa bagaikan terawang-awang, satu kepuasan yang tak terhingga kerana tercapai sudah impian untuk menjahit sehelai peplum top dari awal.


Makanya, bergumbira la aku pakai peplum hijau zamrud pergi kerja hari ni. Dah boleh gantung gunting buat seketika, sebab dah makin paham tentang asas menyambung lengan. Tinggal nak beranikan diri buat baju kurung Pahang ataupun Riau, dan lebih memandang ke depan: kebaya. Waduh Mak Lom, biar betik? Tak komplen ke nanti Mr. Ragaman? Nasib la baik, mood dia baik...

Ya Allah. 

~ Nai at Tak Pe Je.

Comments

Popular posts from this blog

Mematikan Setem Hasil Di Hadapan Pesuruhjaya Sumpah

Dress Code Peguam Muslimah

Onak, Duri & Ranjau Kehidupan