Nuffnangx

Monday, 3 July 2017

1 Syawal 1438 Hijrah : 25 Jun 2017 Masehi

Assalamu'alaikum. Masih lepak di kampung ke tu, kawan-kawan? Esok dah start sekolah dan kerja semula bagi kebanyakan orang, kan? Aku dah ada kat KL ni sejak Jumaat pagi lagi, nak elak makan jem takde roti kan? Lengang lain macam jalan masa tu, maklumlah lepas subuh tayar dah berpusing. Ikutkan hati nak tunggu sampai hari sabtu, sebab ada kenduri kahwin anak kepada mak sepupu kat Temerloh, tapi cik abang tak mau ambik risiko meredah traffic jam. Takpe la, janji bahagia. 


Entry kali ni haruslah dipenuhi dengan warna-warni hari raya, korang rasa? Halalkanlah, kawan-kawan.. memang itupun tradisi blog aku ni setiapkali raya menjelang tiba. Anyways, tahun ni malam raya aku bergerak dari rumah mertua ke kampung bonda di Temerloh. Alhamdulillah... setelah sekian lama, diizinkan-Nya untuk bersama-sama menyiapkan juadah wajib hari raya bersama bonda, iaitu nasi arab fusion (sebab ada gulai kambing/daging, ayam masak merah, acar timun dan sambal). Bergenang air mata aku sepanjang tolong bonda kat dapur, tuhan aje yang tau betapa aku terharu dan bersyukur. Ye lah, tempat isteri kan di sisi suami... kalau dia kata nak raya di Kutub Utara pun aku wajib ikut, macam tu lah perumpamaannya. Nak bergaduh bagai tak kuasa mak, nyah! Hari raya ni senyum mesti terlebih manis, buat apa nak bermasam muka pulak? 


Tinggal lagi, korang boleh tengok sendiri macamana lebarnya senyumanku dalam gambar-gambar kat sini, tanda perasaan yang berbunga-bunga kembang setaman. Anak aku pun happy sangat-sangat, maklumlah kat kampung bonda, dia banyak gang bas sekolah. 


Warna baju raya aku tiga beranak tahun ni, mustard, anak bertuah yang pilih. Jenuh jugak aku cari kain matching dengan baju Melayu depa berdua, akhirnya jumpa kat Nagoya Aeon Big, Wangsa Maju. Tempah awal-awal, bulan April lagi, takut kalut dan ribut takde orang nak terima tempahan. Tapi disebabkan aku banyak mengalami perubahan fizikal kesan diet air putih 3L dan pemakanan seimbang, baju-baju aku semua lari inci, dah macam baju pinjam. Masih boleh dipakai, takde masalah.. cuma pelik sikit je la rasa.


Dengan ahli keluarga takde pulak berjanji nak pakai tema apa, cuma kebetulan ada kombinasi mustard dengan coral, kecuali Ida yang match-make baju ala-ala Anugerah Skrin ikut mana yang ada dalam almari. Dia memang tak suka beli baju tradisi pun, bukannya pakai sangat macam aku ni. 


Tetamu tak putus-putus datang berkunjung dan kami sampai sudah tak sempat ambik gambar satu family, susah betul. Apih tahun ni giliran beraya di kampung mertua lagipun, memang takkan cukup korum punya! Ikutkan niat, nak kena berkumpul di KL untuk merealisasikan impian bergambar family cukup korum, mudah-mudahan berjaya hendaknya. Ameeeen...


Team Mustard in the house...


Nasi Arab bonda yang sangat ohsem itu kami makan awal-awal, balik dari solat sunat raya, sebelum dikerumuni saudara-mara dan rakan-taulan yang bertamu.


Aku duk tahan ngantuk sebenarnya tu... malam raya 3 pagi masih berjuang nak lelapkan mata, berubah tempat agaknya, susah nak tidur.


Anak bujang yang sangat ramping, jenuh berjuang nak pakaikan sampin bagi elok. Pukul 10 pagi dia dah bukak baju Melayu, tukar T-shirt dan jeans, pergi round kampung dengan gang bas sekolah sampai dekat nak Maghrib. Amboi... beraya betul dia!


Nampak tak baju aku yang lari inci itu? Ish... abaikanlah aje, ok? 


Nak dijadikan cerita, lepas ambik gambar dengan sedara-mara kat atas ni, aku boleh tertidur atas sofa dalam keriuhan suasana dan tetamu yang memenuhi ruang! Memang tak mampu nak buat apa lagi dah, anak-beranak aku takde pun sibuk nak kejutkan aku, semua kasi chance dan sporting. Sesiapa nak mengutuk kat belakang pun aku takkan ambik hati, sebab tak senonoh sungguh perbuatan itu, tapi apakan daya.. aku tak kuat! Pukul 12 lebih aku terjaga, terkebil-kebil dan tak percaya apa yang dah terjadi, tapi alhamdulillah.. aku rasa sangat lega dan refreshed. Pakat pergi beraya lepas solat zuhur dengan family ke rumah saudara-mara terdekat. Malam tu sambung menerima kunjungan tetamu lagi, mana yang tak sempat datang siang hari. 

Hari pertama berlalu dengan indahnya...

~ Nai at Tak Pe Je. 

No comments:

Post a Comment