Nuffnangx

Monday, 12 October 2015

Sebuah Tempat Bernama Tokyo

Assalamu'alaikum. Kita sambung cerita Tokyo bersama kami tiga beranak, jom! Sementara aku ada mood ni, baik teruskan momentum sebelum kuncup jadi semalu. 


Itu gambar kat Starbucks daerah Toritsu Daigaku, masa mula-mula sampai dari Narita Airport. Lepak kat Starbucks besar-besaran dengan bagasi yang mesra perjalanan. Entry kali ni aku share dengan korang apa yang kami buat pada hari ketiga kat sana. Hari kedua kat Disneyland nanti aku cerita lain kali, bila tu tak boleh gerenti. 


Antara tempat wajib dikunjungi kat Tokyo adalah Akibahara, especially untuk penggemar-penggemar gadgets dan games. IT Centre kat situ gedabak dan double triple happening daripada Low Yat. Tapi kena tau apa yang dihajati siang-siang, kalau tak masak korang nak singgah semua kedai dalam waktu sehari. 


Anak teruna yang teruja dapat pegang kamera ala-ala pengarah filem...


Aku pergi jugak buat lintasan hormat, terus tuju tempat hero kecik nak beli toys. Aku pun kena sampuk jugak, masih sangat kanak-kanak sebab tak boleh tahan tengok menda-menda comel yang dijual. Lebih 5 ekor jugak la anak2 patung kawai yang aku angkut keluar kedai, dari yang kecik sampailah yang tak berapa kecik. Itu pun aku kena kawal diri daripada beli patung watak-watak cerita Dragon Ball. Bila dah bayar semer menda dan selamat sejahtera di'pow' anak teruna dengan cemerlangnya, aku turun pergi lepak cari kopi. Daddy dia sambung jalan-jalan dengan junior.


Vie de France Cafe kat Akiba ni besar jugak, tapi kena Q nak dapatkan tempat kosong sebab permintaan memang melebihi pengeluaran. Masalah sket je bab-bab pesan minuman, pekerja-pekerja depa tak berapa fasih English. Aku pesan "1 hot cafe latte" tapi dapat secawan kopi O dan secawan cafe latte. Macam comel je, bisik hatiku sambil tertawa sorang-sorang. 


Perut mintak diisi bila tiba tengahari, biasalah. Jalan punya jalan ternampak gerai Doner Kebab berlogo 'halal', berenti la kami lepak makan kat situ. Gambar anak bujang kat depan sosej gergasi tu saje aku letak, nak tayang dekorasi orang Tokyo jemput pelanggan masuk kedai. Kat situ jangan berenti makan pulak, bukan untuk orang Islam yang menjaga halal haram.


Gerai kebab bersepah kat Tokyo, cuma kena hati-hati carik logo halal. Dan mengikut kata tauke kedai dalam gambar yang korang tengok ni, seluruh Tokyo yang terjamin halal kat kedai kebab hanyalah daging ayam, tak termasuk daging lembu. 

YouTube Video

Bohong dia bohonglah aku. 


 Kejap-kejap tu jugak tekak aku terasa kembang teringat masa mula-mula singgah makan kebab dan order beef special. Astaghfirullahal 'adzhim! Menyampah betul kalau mamat-mamat Arab bersumpah dengan nama Allah "Wallahi halal, sister!", walhal dah tau orang carik makanan yang betul-betul halal. Pengajaran untuk aku : Kalau dah rasa was-was tolong ikut kata hati! 


Kami macam biasa kalau pergi travel, memang guna public transport. Dah pulak sistem rangkaian pengangkutan secanggih dan sepraktikal Jepun, lagi gumbira riang ria menapak berlari dan berlenggang kangkung sehabis baik. Yang best nya, bila rasa leceh nak membimbit barang-barang ataupun hasil tangkapan perabis duit, kita boleh sewa locker kat stesen tren dan ambik semula masa nak balik. 


Baca arahan dan ikut je apa yang perlu dibuat. Mesra pengguna, jangan bimbang masalah bahasa sebab ada English translation kat mesin tu. Susah sket mula-mula tu terkial-kial jugak la separuh detik pertama. Tapi apa ada hal, agi idup agi ngelaban. Kita kat tempat orang jiwa harus kental, nak manja-manja duk rumah tengok DVD sudah. 


Lepas Akibahara, kami pergi carik barang aku pulak kat Komehyo, Shinjuku. Kat situ memang kena istighfar panjang dan bertenang ingat masa depan, kalau tidak nahaslah poket korang. Aku takpe, sebab takde wang yang sedia untuk dibakar, baik tunai mahupun plastik. Pergi pun memang dengan tujuan khas nak cari dua menda : bekas letak spek hitam dan personal agenda. Maka dengan penuh disiplin, itu je la yang aku bawak pulang. 


Ok, ada 1 menda yang takde dalam list aku beli jugak, small wallet kaler merah, comel gila tak tertolak godaannya. Anak terunaku pelik, "Tu je mummy beli? Sikitnya...!" Mak ai... Daddy dia duk tahan gelak sambil pandang aku turut mengejek. Ye la, bukan datang nak shopping pun, jawab aku selamba. 


Kami lepak kat Starbucks Shibuya, sebelum balik ke apartment sebelah malamnya. Solat jama' qasar kat ruang tangga satu mall ni, lupa dah nama apa, janji selesaikan Zuhur dan Asar sebelum masuk waktu Maghrib. Lepak situ melepaskan lelah, bagi anak teruna layan cerita Naruto dan aku betulkan kaki.


Manusia yang bertali-arus tanpa henti di Shibuya Crossing jelas kelihatan dari tingkap kaca Starbucks. Macam-macam pesen ada dengan kisah masing-masing.


Balik apartment, masak nasi dan lauk serba ringkas, makan bertiga dengan penuh selera. Rehat, sebelum sambung jalan-jalan keesokan harinya.


Okay, aku tinggalkan korang dengan salah satu daripada menda comel yang aku beli kat Akibahara. Disolek sana-sini, jadilah ia key chain/card holder 2 dalam 1 yang aku kelek ke hulu ke hilir. Nanti ada masa aku cerita lagi, ya. Terima kasih sudi baca sampai habis. Jumpa lagi, Assalamu'alaikum.

~ Nai at Tak Pe Je.

























No comments:

Post a Comment