Ada Apa Dengan UPSR?

Assalamu'alaikum. Sebenarnya entry ni nak cerita pasal konvo Masters adik aku, si Apih. Kebetulan pulak minggu konvo tu result UPSR baru keluar, seluruh Malaya dilanda gempa dan tsunami kejatuhan pencapaian anak-anak terkasih, disebabkan gred permarkahan yang dinaikkan dua minggu sebelum exam bermula (dan pelajar Darjah 6 jadi bahan ujikaji silibus baru, KBAT ke apa mak neneknya lagi). Ok, ada banyak isu kat sini yang aku nak ulas, tapi lebih baik aku buat satu entry khas tentang topik ni, tak sesuai pulak dengan gambar-gambar kami sekeluarga yang tersengih macam kerang  busuk dari awal sampai akhir. Cuma satu yang aku kena tekankan, iaitu 3 orang adik aku takde UPSR pun sebab dorang ikut arwah ayah sambung belajar kat UK dari Masters sampai PHd, balik Malaysia dorang terus masuk sekolah menengah: Mi masuk Form 4, Apih Form 2 dan Ida Form 1. Adik masa tu umur 5 tahun, jadi dia tak termasuk dalam perbincangan ni.

Memang dorang kena lalui saat-saat yang sangat getir dalam meniti zaman persekolahan sekembalinya dorang ke tanahair, dengan tak paham Bahasa Melayu nya, silibus pelajaran yang langit dengan bumi, persekitaran dan kawan-kawan yang berbeza, dan macam-macam lagilah. Tinggal lagi, kami dibesarkan dengan semangat untuk mencari jalan penyelesaian dan bukannya mencari alasan. Dipendekkan cerita, ketiga-tiga mereka berjaya menamatkan pengajian di peringkat menengah dengan keputusan yang melayakkan mereka ke universiti awam. Jadi, apa yang gebang dan gegak-gempita mengamuk-ngamuk tak ingat Tuhan ni pasal 'gagal' nak dapat straight A's dalam UPSR? Ya Allah... bukan tak boleh masuk sekolah menengah pun kalau tak pass UPSR! Memang la tak boleh nak masuk Sekolah Berasrama Penuh, MRSM, sekolah-sekolah kluster, eh banyak la lagi pengelasan sekolah menengah tahap elit kat Malaysia ni. Tapi, adakah anak-anak kita takde masa depan yang baik kalau pergi ke sekolah menengah 'biasa'? Dari dulu sampai sekarang, tak habis-habis dengan polemik yang sama, penat dah aku tengok.


Apih ni ha, sekolah menengah 'biasa' je pun, ambik accounting kat 'UiTM' (je pun), tapi dia jenis rajin memperbaiki diri, tak sudah-sudah nak tambah kelulusan akademi. Dia jenis sanggup belajar sambil bekerja nak sambung buat Degree twinning program, makna kata, walaupun tak pergi overseas, dia tetap cari program degree universiti luar negara. Sebab utama: bajet dan dekat dengan bonda. Masters pun sama, dia ambik program yang macam tu jugak, berdikit-dikit seksa bayar yuran sendiri. Sanggup mengikat perut demi mendapat kelulusan dari universiti yang baginya berprestij, dengan program yang boleh buat kat SEGI Kolej Universiti, Kota Damansara. Adik aku Ida pun lebih kurang jugak, self-sponsored duit poket sendiri, kerja sambil belajar, cuma dia tak senekad Apih untuk invest dalam pengajian yang memerlukan bajet jauh lebih besar dan memilih universiti awam, bukannya universiti luar negara. 

Jadi, apa yang paling penting, bukanlah permulaan yang gilang-gemilang, tapi usaha dan semangat yang konsisten untuk menuju garisan penamat. Itulah yang patut dan perlu kita tanamkan dalam jiwa anak-anak bangsa kita, bukannya mengajar mereka untuk menyalahkan sistem ataupun orang lain apabila tidak mendapat apa yang dihajatkan. Hidup ini adalah satu medan untuk mencari peluang dan mencipta ruang dari segala keterbatasan yang melingkari keadaan. 


Mak adalah tonggak utama dalam semangat kami adik-beradik, dia tak pernah jemu mendidik kami menjadi orang yang kental dalam perjuangan. Sampai sekarang mak masih bersemangat menghadiri kelas-kelas agama, Bahasa Arab, tajwid dan segala bagai yang dia mampu untuk sertai di masjid-masjid dan surau-surau yang berdekatan. Mak SPM pun takde, dia berhenti sekolah tak sempat ambik exam, sibuk jaga suami lepas kahwin, padahal masa kat Madrasah al-Wusto dulu dia bukannya tak pandai, cuma prioriti dia sudah bertukar kepada membahagiakan suami dan seterusnya membesarkan anak-anak sesempurna yang mampu. 


Maka tak hairanlah kalau sepanjang majlis konvo Masters Apih, mak tak henti-henti tersenyum dan ketawa penuh bahagia. Kami tetap tak bagi dia berjalan, bimbang nanti mengah pulak, jadi dia memang kena dengar cakap dan duduk atas wheelchair, bangun bila nak bergambar je.


Yana masih dalam pantang dan baby Muhammad tak dapat hadir untuk raikan Apih, suami dan ayah yang handsome dan pandai. Hehehe puji adik sendiri. Takpe la, nanti masa PHd. Insya Allah dorang akan ada sama, Ameeen...


Melaram habis semuanya.


Ida dan aku of course la dengan spek hitam vogue. Panas gila, hokeh, matahari atas kepala tengahari Ahad tu!


Kebaya klasik pendek dan batik lepas dari kain batik asli Terengganu menjadi pilihan kanda Tak Pe Je hari tu. Ida masih mengekalkan imej smart casual dengan berkemeja dan berblazer.


Sangat praktikal untuk cuaca di Malaysia, sejuk dan nyaman walaupun di bawah terik mentari.


Tahniah kepada kami semua kerana berjaya menjadi support system kepada satu sama lain; susah dan senang kekal bersama. Kepada Apih, selamat maju jaya dan semoga berjaya menjadikan matlamat PHd sebagai kenyataan sedikit masa lagi. Proud of you, bro!


Dan semoga anak bujang aku mendapat suntikan semangat untuk mengekalkan konsistensi dalam usaha menuju garisan penamat dengan penuh dedikasi dan daya juang yang tinggi. Insya Allah.

~ Nai at Tak Pe Je.










Comments

Popular posts from this blog

Orang Malaya di Osaka : Kansai Trip

Teaser : Jejak Kansai Junior

Jubah Hitam dan Tudung Bawal Satin