Permulaan Minggu Baru

Assalamu'alaikum. Malam tadi aku terlelap lepas Maghrib, bangun-bangun tengok jam dah pukul 10.30 malam, maka meranalah mata nak bagi pejam sampai ke pukul 2.30 pagi. Berapa kali entah alarm Subuh aku berkokok, dan berapa kali jugak pakwe kejutkan, jenuh aku berjihad nak mengheret kaki masuk tandas, ambik wudhu' segala bagai. Aku berangan jugak nak sambung tidur semula dan bangun pukul 7.30, tapi itu semua janji dan harapan palsu semata-mata, sudahlah Nai! Disebabkan sangat mengenali diri dan kemampuan sendiri, maka aku tak berani nak ambik risiko itu, cepat-cepat aku lempang muka secara sopan dan bangun mandi. Elok je pukul 8.15 pagi aku pergi jenguk anak bujang, mentally prepared yang dia masih berselimut macam ulat gonggok, jadi aku takde la mengguruhkan suara kat dia, cukup buat gempak sikit-sikit je. Lagipun aku tau, malam tadi dia pun tertidur lepas Maghrib, macam berpakat pulak dengan aku. 

Apa nak buat, lambatlah kami pagi ni sampai ke destinasi, dah kena singgah isi minyak kereta dan reload kad Touch & Go kejap kat Petronas. Setibanya kat sekolah yang aku pilih untuk dia, Ujian Kelayakan dah pun bermula. Nasib baiklah boleh kawtim dengan budak admin tu, bawak masuk Junior buat ujian hafazan dulu sebelum ujian penulisan dan temuduga lisan. "Takpe", katanya, "kita tambah sikit masa untuk dia, puan jangan bimbang." Aku tak bimbang pun, apatah lagi anak aku, lagilah takde perasaan apa. Aduhai anakanda... Bagusnya la tahap ketenangan awak! Satu perangai anak bujang aku ni, dia berani macam bapak dia, walaupun pemalu macam mak dia. Ok la tu, bak kata dia, dia dapat separuh-separuh perangai kami berdua, kombinasi yang elok-elok. Amboi... ayat power tak ingat punya! Ye lah, aku sempat pesan kat dia suruh buat elok-elok, sementara aku uruskan bayaran deposit kat finance department.


Masa aku duk tahan rasa penat-penat badan dan mengantuk yang amat sangat, aku rasa kesian kat Junior. Dia lagilah nak kena buat hafazan impromptu setengah jam, mengantuk lebih kurang aku jugak. At least aku takat balas email dan whatsapp dan tengok instagram, bukan guna otak pun. Mudah-mudahan dia boleh buat sehabis baik, doa aku dalam hati. Aku dah cuak sangat-sangat bila dekat pukul 12.30pm dia belum sudah sesi terakhir, iaitu ujian lisan, sedangkan aku ada luncheon appointment pukul 1pm. Aku wassap cepat-cepat client, bagitau dia aku akan lambat dalam setengah jam, silalah makan dulu tak payah tunggu aku. Nasib menyebelahi aku, dia sukarela tarik masa sampai 1.45pm, tapi aku kata aku akan rempit nak kejar 1.30pm, mohon doakan kesejahteraanku, macam tu la lebih kurang ayat yang aku gunakan. 😎


Bila anak aku turun kat tempat aku menunggu, dia dah siap makan bihun goreng dan bawak air mineral free. Wah, bagusnya dapat makan-minum free lagi lepas Ujian Kelayakan, aku dulu-dulu telan air liur je ler dalam dewan. Happy je dia lepas ujian, hidup bebas tekanan ni sungguh damai lagi mendamaikan, ya tuan-tuan dan puan-puan. Aku soal-siasat la jugak macamana prestasi dia, selamba je dia jawab, "Hafazan ingat 'half-half' je mummy." Aku tanya lagi, ujian lisan soalan susah tak? Dia kata tak susah pun, ustaz tanya kenapa mintak program hafazan, minat ke? Habis Hazieq jawab apa, aku tanya. Dia kata, "Hazieq jawab, tak minat, mak saya yang suruh." Heheh aku tak tau nak gelak ke nak nangis, so aku pilih gelak dengan nada terkawal, takut orang ingat aku haiwan peliharaan terlepas pulak. Aduhai, itulah anak bertuah aku yang BMI nya tahap 'Underweight' dalam Ujian Kecerdasan Fizikal Tahun 6. Masa berjalan menuju ke tempat letak kereta tu la aku tanya, dia minat ke tak sebenarnya menghafal. Macam yang aku dah jangka, dia jujur jawab sepatah, 'Tak". Aku teringat masa aku Form 4 dulu, aku cakap terus-terang kat ayah, memang aku tak minat menghafal dan tak mau masuk kelas Thanawi. Siapalah aku nak paksa anak aku minat menda yang aku pun tak minat? Aku report kat daddy dia, tergelak besar mamat tu. Walaupun dia terer menghafal, aku tau dia takkan paksa anak buat benda yang tak diminati. 


Lepas hantar anak balik rumah, aku cepat-cepat pergi ke Aeon Mall Setiawangsa, mengambil tempat di Johnny's Steamboat. Sempat aku minum air separuh gelas barulah client sampai, masa tu pukul 1.45pm. Meeting berlangsung dengan tenang, P.A aku dengan penuh dedikasinya datang hantar dokumen yang aku terburu-buru dihambat waktu, tertinggal kat rumah. Syukurnya Ya Allah dapat staff macam dia, alhamdulillah. Aku solat zohor kat Aeon lepas tu dan singgah Mr. DIY carik USB Charger untuk anak bujang, entah berapa kali dah dia rosakkan charger. Balik rumah solat asar, rehat-rehat dan mandi-manda, siapkan diri nak jumpa client pukul 9pm pulak, walaupun sebenarnya aku dah terlampau penat dan tunggu masa nak terbongkang aje. Siap-siap solat Isyak barulah aku turun.



Tapi dah nama pun kerja, mana boleh tuang dan malas-malas, kan? Aku panggil sorang staff datang ambik, ikut aku sekali jumpa orang tu, dah tak larat nak bawak kereta sendiri. Lagipun, senang nanti dia dengar sekali perbincangan aku dengan client tu, tak payah nak kena brief banyak-banyak kali. Dengan hujan renyai-renyai sepanjang sejam perjumpaan kami, maka selesailah kerja untuk hari ni, sambung esok pulak. Hari ni adalah permulaan minggu baru yang indah, semoga segala urusan yang menanti akan dipermudahkan Tuhan, Ameeen...

~ Nai at Tak Pe Je.





Comments

Popular posts from this blog

Mematikan Setem Hasil Di Hadapan Pesuruhjaya Sumpah

Dress Code Peguam Muslimah

Onak, Duri & Ranjau Kehidupan