Nuffnangx

Friday, 25 August 2017

Seteguk Kasih Nan Biru: Bisik Pada Semilir, Aku Rindu

Assalamu'alaikum. Dalam hati ini, hampir tiada ruang untuk membenci, kerana aku adalah seorang yang gigih dalam menyayangi. Bagiku, kita takkan mampu untuk membenci orang yang kita sayangi sepenuh hati. Ya, kita mungkin ada diserang rasa marah, sakit hati dan rindu dendam dua tiga purnama, mungkin tiga, empat tahun, ataupun berabad-abad lamanya, tapi itu tak bermakna kita sedang membenci. Sekurang-kurangnya itulah keadaannya bagi hati dan diri ini, orang lain mungkin berbeza. Lagi teruk ditimpa perasaan, lagi dahsyat perasaan yang selalu disalahertikan sebagai benci itu tadi, sehingga ada kalanya membawa kepada perlakuan-perlakuan yang tergolong sebagai "crime of passion". Sebab itulah kita harus menjadi tuan kepada emosi, selayaknya sebagai khalifah di muka bumi. Tapi seringkali kita gagal memahami diri sendiri, terbabas menterjemah perasaan jauh di lubuk hati yang paling dalam. Lalu kita pun menjadi hamba kepada emosi, memberi laluan kepada bisikan iblis yang senantiasa mencari ruang dan peluang untuk menyesatkan.


Dua tiga hari ini aku kembali menyingkap perasaan marah, kecewa dan rindu dendam yang sekian lama dipendam. Lalu aku tersedar dari lamunan yang panjang, untuk apa aku teruskan perasaan ini, apa untung nya bagi diriku? Masih marahkan aku? Sudah pasti. Masih kecewakah hatiku? Ya, sangat. Masih rindu, masih dendamkah aku? Ya, masih. Bencikah aku? Tidak. Tidak pernah sesekali aku membenci, walaupun sesungguhnya aku berhak jika aku mahu. Mahu apa aku, jika begitu? Aku mahu berdamai. Aku mahu ketemu. Aku mahu sama-sama tersenyum dan mentertawakan kedunguan sekeping hati yang selalu mengasihi, senantiasa menyanyangi tanpa syarat. 

Adakah itu mungkin? Hampir pasti tidak, jujur aku katakan, kerana bukan semua orang berfikiran dan berperasaan sepertiku. Tapi aku tetap akan mencuba, kerana aku percaya bahawa akhirnya cinta, kasih dan sayang pasti akan menang. Berilah peluang kepada orang yang kita sayang, sebutlah dia dalam setiap doa, semoga dilorongkan jalan penyelesaian yang baik untuk kasih kembali bertaut. Jika tiada jodoh sekalipun di sini, biarlah berakhir dengan penuh keindahan. Kita bermula dengan kasih, sayang, cinta dan kemesraan yang bersimpul padu. Eloklah kita akhiri dengan segala keindahan yang sama, sekurang-kurangnya kita masih punya sebab untuk tetap tersenyum setiapkali merindu...

Untuk itu, aku hulurkan kemaafan bagimu, dan sambutlah kasihku di angin lalu. Tidak pernah aku membenci dirimu, damailah dikau dengan duniamu. Ingatlah, kau tak pernah dan takkan pernah lupus dari hatiku, akan selalu mekar dalam doa-doaku. Selamat tinggal.. semoga Allah menjagamu di setiap langkahmu. Sungguh aku sayang kamu. 

~ Nai at Tak Pe Je.

No comments:

Post a Comment