Dan Demi Zaman Yang Sentiasa Berubah

Assalamu'alaikum. Lain padang, lain belalang. Lain dulu, lain sekarang. Sekali air bah, sekali pantai berubah. Apa lagi pepatah, peribahasa ataupun perumpamaan yang korang ingat tentang perubahan keadaan dan perwatakan? Walau apapun, semuanya memang sangat sesuai dan kekal relevan dengan situasi kehidupan, bak kata pepatah lagi, Tak Lekang Dek Panas, Tak Lapuk Dek Hujan. 

Tengok contoh kaedah fesyen kat seluruh dunia ni sudahlah, terutamanya fesyen Muslimah di Malaysia, senang ada pengkhususan kajian tempatan. Kalau dulu, dari tudung sampailah kasut, warna senada seirama, satu set hijau atas sampai bawah. Itulah maksud matching, iaitu sama. Tapi sekarang maksud matching bukan lagi sama, tapi sesuai dijodohkan bersama. Dah pulak ada color blocking, mis-match bukan lagi menjadi satu 'dosa' dalam berfesyen, sekurang-kurangnya bagi orang yang tak berapa kisahkan persepsi orang lain. 

Macam akulah. Takde la dahsyat sangat aktiviti color-blocking aku, setakat pakai tudung hijau dengan dress polka dot kelabu jurr... Bukan apa, penat la nak pakai tudung putih ataupun hitam pada hari-hari yang takde urusan rasmi. Memang la tak matching pun hijau dengan kelabu, tapi dah aku nak pakai tudung kaler hijau dengan dress kaler kelabu, suka hati aku la kan. Tak Pe Je! 


Kejadian itu berlaku pada hari Juma'at, 19hb Ogos 2016, sehari sebelum umur aku genap 4 series. Takde menda pun dah harijadi sejak sekian lamanya, sekadar melengkapkan putaran waktu di dunia ini, sebelum menuju negara abadi, yang sunyi daripada segala kesedihan dan air mata.


Tahun ni dugaan dirasakan terlebih perit daripada biasa, tapi Alhamdulillah.. Masih diberikan segala bagai sebab dan musabab untuk mensyukuri nikmat yang ada. Seberat manapun beban yang digalas, mungkin kekuatan menempuhinya berganda-ganda dek pengalaman. Lalu, nikmat Tuhan yang manakah mampu aku dustakan?


Dan mungkin atas dasar itulah, kata orang, wanita makin berseri dengan makin bertambahnya kematangan. Aku tak pasti sejauh mana kebenarannya terhadap diriku ini, tapi bagi aku secara peribadi, aku memang suka pandang wanita yang tersenyum penuh ketenangan. Aku mudah alah pada sejuk dan bening mata wanita yang penuh pengalaman hidup, kuat dalam tangisan dan sepak terajang kehidupan.


Aku ingin menjadi wanita sebegitu, jika diizinkan Tuhan, mudah-mudahan. Aku tak mahu menjadi wanita yang hatinya mengeras bak kerikil disebabkan keterjangan dunia. Bahkan aku ingin menjadi seperti cendawan Mekah, yang makin lama makin berfungsi sebagai penawar segala penyakit, walaupun kekal dalam kelembutan. Dengarkanlah rintihan hati ini, Tuhan.. 

~ Nai at Tak Pe Je.



Comments

Popular posts from this blog

Mematikan Setem Hasil Di Hadapan Pesuruhjaya Sumpah

Dress Code Peguam Muslimah

Onak, Duri & Ranjau Kehidupan